Friday, October 28, 2011

LIMA BELAS

Dzakirah melihat sekeliling biliknya. Kemas dan teratur. Dia berjalan menuju ke arah almari lalu dibuka, kosong. Dia memeriksa setiap laci dan setelah berpuas hati, dia duduk di atas katil. Dia merenung dua bagasi besar di hadapannya. Hatinya sakit sekali, seperti ada sesuatu yang meremukkan, cuba menghancurkan jiwanya. Dia meletakkan tangan kanannya di atas dada dan beristighfar. Kedengaran pintu bilik diketuk. Dzakirah menarik nafas panjang dan membuka pintu.
Assalamualaikum,” Dhamiri memberi salam lalu masuk ke bilik adiknya. “Wa'alaikumussalam,” balas Dzakirah. Dia tidak mahu berbicara panjang. “Adik sudah siap?” tanya Dhamiri. Sudah dua minggu dia berada di Malaysia, sedikit sebanyak sudah boleh bercakap Melayu walaupun agak pelat sedikit. “Sudah,” balas Dzakirah. Dia mengalihkan pandangan ke luar tingkap. “Penerbangan kita lagi empat jam, marilah kita bertolak. Abang akan tunggu adik di bawah. Turunlah bila sudah bersedia,” Dhamiri mengangkat kedua bagasi Dzakirah lalu keluar dari bilik. Dia tahu, Dzakirah sedang bersedih.
Setelah Dhamiri menutup pintu, Dzakirah mengeluh sendiri. Sudah dua minggu berlalu sejak dia bertemu kembali dengan Qaiser. Cepat sahaja masa berlalu. Qaiser sedaya upaya cuba berada di rumah, menemani dia dan abangnya jika tiada kelas di QU. Nadhirah juga begitu. Walaupun begitu, dia merasakan dua minggu cukup pendek sekali untuk dia meluangkan masa di sini. Tapi apakan daya, abangnya perlu kembali bekerja. Rumah di Turki juga perlu didiami kembali.
Sekali lagi terdengar ketukan di pintu. Dzakirah membuka pintu dan melihat Nadhirah di hadapannya. Setelah memberi salam, Nadhirah memeluk Dzakirah. “Pakailah niqabmu, abang berada di bawah menunggumu,” kata Nadhirah sambil meleraikan pelukan. Kelihatan matanya merah akibat menangis. Dzakirah tetap senyap, lalu menuju ke arah meja solek dan memakai niqab. Dia memakai pakaian serba hitam. Tidak pula berhias dengan sebarang perhiasan. Dhamiri melarangnya berhias walau dengan cara apa pun. Tidak pernah dia memakai pakaian yang berbunga.
Is Qaiser here?” tanya Dzakirah semasa mereka menuruni tangga. Qaiser dan Dhamiri tidak tinggal di rumah itu sepanjang mereka di situ. Mereka bermalam di hotel di ibu kota. Selain malam ketika mereka keluar bersiar-siar, mereka berdua tidak berada di rumah waktu malam. Qaiser dan Dhamiri hanya berada di situ ketika waktu siang, dan ketika semua pembantu rumah bersama. Dia tidak mahu fitnah terjadi.
Nadhirah menjawab pertanyaan Dzakirah dengan anggukan. Abangnya juga lebih suka mendiamkan diri sejak pagi. Dia berjumpa dengan Qaiser di QU sebelum mereka berdua menuju ke rumah untuk menghantar Dzakirah dan Dhamiri. “Adakah dia merasa kesedihan yang ku rasakan?” bisik Dzakirah sendiri. Nadhirah memandang, lalu berkata, “I never seen him more happy before he met you. It saddens him to be apart from you, again.” Dzakirah diam membisu. Hatinya sedih sekali. Lalu dia berzikir. Bukankah Allah sudah berfirman, dengan mengingati Allah, bahagia akan menyusul. Dia tenang.

Wednesday, October 26, 2011

EMPAT BELAS

Iklil melangkah keluar masjid. Kelas Kimia yang diajar Qaiser akan bermula tidak lama lagi. Sedang dia mempercepatkan langkah, dia terlihat dua manusia yang sedang berjalan tidak jauh darinya. Dia tersenyum. Kedua-duanya adalah pensayarahnya, Qaiser dan Farhan. Mereka berdua sedang menyusuri jalan yang sama dengannya, menuju ke arah kampus. Dia melambatkan gerak langkah, menjaga jarak. Dia tidak mahu kehadirannya mengganggu perbualan kedua pensyarah itu yang kelihatan agak serius. Dia menundukkan pandangan, lalu berzikir.
Ana sudah mengenali Iklil sejak hari pertama dia mendaftar di sini,” maklum Qaiser kepada Farhan. Mereka sedang berjalan menuju kampus. “Benarkah? Pastilah begitu, dia paling menonjol dalam kalangan pelajarmu. Kertas kerjanya sungguh berlainan sekali, itulah yang menarik perhatianku. Malah, dia tidak malu untuk meluahkan pendapat,” kata Farhan. Inilah kali pertama pintu hatinya diketuk oleh seorang wanita. Dia memanjatkan syukur kepada Illahi kerana ternyata wanita itu seorang muslimah yang berbudi. Hatinya sedikit ragu, adakah dia layak untuk menjadi pasangan wanita sebegitu.
Dia seorang hafizah, sebelum tiba di sini,” kata Qaiser. “Dialah yang membantu rakan-rakan yang lain untuk menghafaz al-Quran. Alhamdulillah, dengan bantuannya, ramai yang tidak merasakan belajar ilmu duniawi dan menghafaz al-Quran pada waktu yang sama satu perkara yang membebankan. Dia, seorang da'i yang baik,” tambahnya. Dia teringat waktu pertama dia melihat Iklil. Iklil tidak memakai niqab seperti beberapa orang rakan yang bersamanya ketika itu. Seratus pelajar perubatan sedang sibuk mendaftar ketika dia, yang sedang duduk, tenang membaca al-Quran. Membiarkan yang lain menamatkan pendaftaran dahulu. Kesabarannya menarik perhatian Qaiser.
Farhan mengangguk, memahami. Bertambah sedikit kerisauannya. “Adakah anta rasa dia akan menerima ana?” tanya Farhan. “Adakah anta sudah istikharah?” balas Qaiser dengan pertanyaan. “Belum, subhanallah, belum,” Farhan tertunduk. Dia baru menyedari bahawa dia masih tidak melakukan istikharah. Setiap keputusan seharusnya hendaklah dirujuk kepada yang Maha Esa. “Istikharahlah sebelum membuat keputusan. Yakni, jika benar Iklil jodohmu, tidak akan ana menghalang malah ana akan membantu,” kata Qaiser. Mereka sudah memasuki kawasan kampus. Mereka akan berpisah di situ kerana Farhan juga mempunyai kelas di bangunan lain. Sedangkan Qaiser perlu ke bangunan Sains.
Mereka berhenti sebelum berpisah, dan bersalaman. Salam diberikan dan kedua-duanya melangkah menuju destinasi masing-masing.
Iklil, masih menjaga jarak, berjalan menuju jalan yang sama dengan Qaiser. Dia tertanya-tanya apakah yang mereka bincangkan.

TIGA BELAS

Dia duduk, mengikat tali kasut di penjuru masjid. Bibirnya sentiasa berzikir, seiring dengan apa yang dilakukan. Kedengaran kicauan burung, dia memandang ke langit. “Qaiser,” satu suara memanggil. Dia menoleh, dan tersenyum. “Assalamualaikum,” sapanya. “Wa'alaikumussalam,” balas Farhan. “Anta dah solat Dhuha?” tanya Farhan. “Alhamdulillah, sudah,” balas Qaiser. “Baru saja sebentar tadi. Kelas ana seterusnya setengah jam lagi,” tambahnya. Dia memandang Farhan yang baru saja melabuhkan punggung di sebelahnya. “Bagaimana dengan kelas anta, Farhan? Ada sebarang masalah?” tanya Qaiser. Farhan tersenyum lebar. “Alhamdulillah, tiada sebarang masalah. Malah semuanya baik-baik sahaja. Peperiksaan hampir tiba, pelajar ana semuanya sedang bertungkus-lumus,” Farhan menjawab panjang lebar.
Qaiser mendengar penuh tekun. Kurang dari dua minggu, peperiksaan akhir semester di QU akan bermula. Setelah habis, semua pelajar di siitu akan bercuti selama sebulan. Dia terdiam sendiri, memikirkan sesuatu.
Diam sahaja anta pagi ini, mengapa?” tanya Farhan memecahkan kesunyian. “Oh, ana teringat. Ana hendak bertanya, apakah pelajar tahun akhir di sini akan lakukan selama beberapa bulan sebelum graduasi?” Farhan melanjutkan pertanyaan. Dia merupakan pensyarah Biologi baru di QU, menggantikan sementara pensyarah yang sedang cuti bersalin. Baru saja memperoleh Ijazah Sarjana Perubatan dari Queens University. Dia dan Qaiser mula berkenalan semasa kedua-duanya menduduki peperiksaan untuk memperoleh biasiswa.
Kebiasaanya, pelajar tahun akhir akan masih berada di QU setelah tamat cuti untuk menamatkan hafazan al-Quran dan pembelajaran hadith. InsyaAllah, menjelang graduasi, kesemua mereka sudah menghafaz al-Quran dan hadith yang diperuntukkan,” balas Qaiser. “MasyaAllah, anta sungguh menitik beratkan bekalan akhirat mereka,” kata Farhan sedikit terkejut. Barulah dia sedar mengapa setiap masa pasti saja pelajar di sini membawa al-Quran. Tidak pernah pula dia bertanya.
Sesungguhnya, kita semua musafir di dunia. Tidaklah ana mahu mereka berjaya di dunia saja, dan melupakan akhirat. Sedangkan sudah nyata akhirat itu yang patut kita kejar,” jelas Qaiser. “Berbalik kepada soalan anta, mengapa anta hendak mengetahui?” tanya Qaiser. “Oh, ana sebenarnya, ada sesuatu yang hendak ana lakukan setelah mereka tamat belajar,” jawab Farhan. Dia tunduk. Qaiser hairan, tidak pernah dia melihat Farhan begitu malu menjawab sesuatu. Lantas dia mendapat ilham dari Allah. Dia meletakkan satu tangan di atas bahu Farhan. “Adakah anta hendak melamar salah seorang pelajar ana?” tanyanya. Dia senyum. 'Pastilah itu sebabnya,' bisik hatinya.
Farhan mengusap mukanya dengan tangan kanan. Dia memandang Qaiser. “Benarlah kata anta,” jawabnya. Qaiser tersenyum lebar. “Siapakah gerangan muslimah yang sudah membuka pintu hatimu dengan izin Allah?” Qaiser bertanya.
Iklil Bahiyyah,” balas Farhan.

DUA BELAS

Iklil mengeluh. “Subhanallah,” bisiknya kecil. Dia sedang merehatkan diri di kawasan taman di kampus. Jam sudah menunjukkan pukul 10 pagi, bermakna sudah tiga jam dia berada di situ untuk menelaah Biologi. Burung berkicauan, berterbangan gembira tinggi di angkasa. “Alhamdulillah, cerah sungguh hari ini,” dia bermonolog sendiri. Pernah dia membaca tentang kaitan perilaku haiwan dengan cuaca. Dikatakan jika burung terbang tinggi di langit, maka cuaca hari itu akan cerah. Entah benar, entah tidak, hanya Allah yang tahu.
Dia segera mengemaskan buku yang berada di atas meja dan memasukkan beberapa buah ke dalam beg. Hanya al-Quran sahaja akan dipegang. Sudah menjadi kebiasaan pelajar di QU, setiap mana mereka pergi, al-Quran atau tafsir akan dibawa ke mana-mana sahaja. Itulah yang diterapkan oleh pengasasnya, Qaiser. Dia pernah mengatakan, “Sebelum antum membuat apa sahaja, ketahuilah kebenaran tentang perbuatan kamu itu ada di dalam al-Quran. Sesungguhnya Al-Quran adalah satu-satunya kitab yang wajib untuk kamu menelaah setiap hari. Bukanlah kitab yang lain. Bacalah al-Quran semampumu, al-Quran sentiasa merindui bacaanmu. Maka janganlah ketika kamu hendak membacanya, ia tiada di sisimu.”
Kerana itulah, dan kerana Allah, al-Quran sentiasa berada di tangan dan hati setiap pelajar di situ. Dia melangkah melintasi taman, menuju ke arah masjid. Sudah tiba masanya untuk dia menunaikan solat Dhuha. Sentiasa ada pelajar yang menunaikan solat Dhuha secara berjemaah di masjid al-Falaq selang satu jam. Kerana setiap kali satu sesi kelas tamat di waktu pagi, di situlah mereka akan berkumpul sebelum masing-masing membuat hal sendiri.
Setibanya dia di pintu masuk masjid di bahagian muslimah, dia meletakkan kasut di rak yang tersedia. Hanya beberapa pasang kasut sahaja ada di situ. Dia menaiki tangga lalu tiba di ruangan solat muslimah. Segera dia mengambil wudu' dan memakai telekung yang dibawa bersama. Beberapa minit kemudian solat dhuha secara berjemaah dimulakan imam di bahagian muslimin. Hatinya tenang ketika itu, bersama dengan yang lain. Saf yang rapat mengeratkan ukwah secara tidak langsung.
Usai memberi salam. Doa dibaca.

SEBELAS

“Assalamualaikum, akhi,” Dzakirah memberi salam. Pintu rumah dibuka dan dia segera mencari abangnya. Nadhirah menyusul di belakang.
Akhi?” Dzakirah menjengukkan kepala ke dalam bilik abangnya. Kosong. Dia pelik. Jam sudah menunjukkan pukul 9.30 malam. Tidak mungkin abangnya sudah tidur. Masih awal. Namun dia juga resah kerana berpergian sehingga malam. Kalau tidak kerana Nadhirah bersunggguh mengajaknya bersiar-siar, dia hanya bercadang untuk duduk di rumah sahaja.
Nadhirah melangkah menghampiri Dzakirah, “I think they went out,” dia meluahkan pendapat. Dzakirah sekadar tersenyum di sebalik niqab. Abangnya tidak pernah keluar rumah pada waktu malam melainkan untuk urusan kerja atau ke masjid. Tapi oleh kerana abangnya tidak kelihatan di mana-mana, malah Qaiser juga tidak berada di situ, dia membuat kesimpulan mungkin sesuatu telah terjadi dan mungkin sahaja Dhamiri keluar.
La, ya ukhti. I'm still here.”
Dzakirah menoleh, sekali lagi dia tersenyum. Terus sahaja dia menghampiri Dhamiri, menyatakan segala apa yang dilakukan bersama Nadhirah sepanjang mereka di Kuala Lumpur. Matanya bercahaya kegembiraan dan cukuplah bagi Dhamiri untuk mengetahui bahawa adiknya telah memperoleh pengalaman yang baik. Dia mendengar penuh teliti tanpa menganggu dan tidak pula bertanya melainkan apa yang perlu. Nadhirah hanya memerhati kerana dia tidak memahami lahjah Arab yang digunakan mereka.
Qaiser menyentuh bahu Nadhirah, membuatkan adiknya menoleh. “Astaghfirullah, abang,” kata Nadhirah geram. “Terkejut Cahaya,” tambahnya. Qaiser senyum. “Sudah puaskah antunna berjalan?” dia bertanya. “Mungkin,” balas Nadhirah pendek. “Mungkin? Jadi ada peluang lagi untuk adik keluar dan menghabiskan duit abang?” Qaiser mengerutkan dahi. “Abang tak benarkan, bukan kerana duit, tapi kerana Dzakirah,” sambung Qaiser. “Oh, tidak sekali kami menggunakan duit abang, Dzakirah mengeluarkan duitnya sendiri. Kami membuat pertukaran wang asing setibanya kami di sana,” Nadhirah menjelaskan.
Sekali lagi Qaiser mengerutkan dahi. Sedangkan tadi dia hanya bergurau saja perihal menghabiskan duit. Bukannya dia tidak mahu adik kesayangannya keluar membeli belah, tapi dia cuma tidak mahu adiknya boros kepada sesuatu yang tidak perlu. Namun berita tentang Dzakirah menggunakan duitnya sendiri cukup untuk buat dia terkejut. Nadhirah menyedari perubahan air muka abangnya.
Dzakirah masih tidak mahu terhutang budi, mahupun duit dengan abang. Bukankah kalian akan melangsungkan akad nikah tidak lama lagi? Setelah itulah dia bersedia menerima nafkah daripada abang. Sedangkan sekarang, dia mahu membelanjakan apa yang diperolehinya sendiri,” terang Nadhirah. Tujuannya untuk menenangkan hati Qaiser.
Qaiser memahami. Dia menukar topik, “sudahkan anti solat?” Nadhirah mengangguk. “Membaca Quran?” Nadhirah menggeleng. “Bacalah,” tambah Qaiser sebelum berlalu pergi.