Wednesday, November 30, 2011

DUA PULUH SATU


Nadhirah berlegar di ruang tamu. Niqabnya masih menutup muka, walaupun di dalam rumah sendiri. Sedikit dia risau, Farhan akan menziarahi sebentar lagi, untuk mengetahui jawapan. “Cahaya, duduklah,” pinta Qaiser. Dia sedang membaca buku al-Hikam karya Ibn' Ata'illah. Dia beristighfar, Nadhirah masih kurang matang dalam bersabar. Nadhirah akur dengan abangya, dia duduk. Tidak lama kemudian, dia berdiri kembali. Kereta Toyota Camry milik Farhan sudah berada di hadapan rumahnya. Pembantu rumahnya segera membuka pintu, Farhan memberikan salam sebelum masuk.
Dia melihat Nadhirah, membuatkan Nadhirah tertunduk. Farhan tersenyum. “Ana lewatkah? Cahaya seperti resah menunggu, hingga tidak duduk,” tegurnya. Dia bersalaman dengan Qaiser. Qaiser tersenyum, menahan tawa. Dia teringat, Rasulullah s.a.w juga hanya tersenyum menampakkan gigi apabila gembira, tidak tertawa. “Kef Helk, ya ahi?” Qaiser bertanya. “Alhamdulillah, wa anta?” “Alhamdulillah aidhan,” balas Qaiser. Nadhirah hanya memerhati.
Mereka berdua duduk, meninggalkan hanya Nadhirah yang berdiri. “Apakah abang sudah bersedia mengetahui jawapannya?” tanya Nadhirah. “InsyaAllah, sudah. Tidaklah abang meletakkan harapan terlalu tinggi, tapi ia tetap ada,” balas Farhan. Nadhirah lega sedikit. Dia duduk di atas kerusi di penghujung meja. Farhan menatap wajah Nadhirah, walaupun tidak nampak di sebalik niqab. Dia kadang-kadang terfikir, alangkah baiknya jika dia mampu melihat menerusi niqab, untuk membaca ekspresi seseorang. Benarlah, niqab itu menjadi pelindung yang nyata bagi seorang wanita.
Iklil minta ditangguhkan, sehingga graduasi,” jelas Nadhirah lancar. Sedikit pantas perkataan yang terucap itu.
Tangguh?” ujar Farhan bingung. Dia sudah menangguhkan hasratnya itu berbulan lamanya. Kenapa perlu ditangguh lagi apabila sudah terluah? Hatinya mengeluh kecewa, namun dia segera beristighfar. Berfikir seketika. Qaiser dan Nadhirah hanya membiarkan Farhan sunyi. Mereka tahu, dia sedang menilai apa yang berlaku, memikirkan sebab mengapa ia berlaku. Sudah bertahun lamanya Farhan dikenali mereka berdua.
Tidak lama kemudian, Farhan berbicara. “InsyaAllah ada hikmah disebaliknya. Kalau begitu, kita tangguhkan dulu hajat di hati hingga graduasi tamat. Tapi selepas itu, ana akan terus menghantar rombongan ke rumah Iklil.” Qaiser diam lagi. Dia menarik nafas, “Sudahkan ana maklumkan, Iklil itu seorang yatim piatu?” katanya.

Monday, November 28, 2011

DUA PULUH


Langkah dipercepatkan, Dhamiri mengenggam tangannya. Dia membuka pintu bilik Dzakirah, lalu terlihat kembarnya itu sedang duduk di sisi katil. Nafasnya deras, dia menghampiri Dzakirah dari belakang dan memegang bahunya. Dzakirah diam sahaja. Kelihatan di atas karpet dan katil titisan-titisan darah. Malahan kedua tangannya juga dipenuhi darah berwarna merah pekat. Tanpa dia sedari, air matanya mengalir keluar, sedikit cuma.
Sudah sampai masanya kita kembali ke Turki,” kata Dzakirah sayu. Sudah beberapa hari sejak mereka berdua meninggalkan Malaysia dan berpijak di bumi London, kediaman kedua mereka. “La,” jawab Dhamiri tegas. Dia mengambil sehelai kain lalu menghilangkan kesan darah yang ada pada kembarnya. “Sudah sampai masanya,” ulang Dzakirah. “Putuskan pertunanganku dengan Qaiser,” katanya. Saat kata-kata itu terluah, lebih banyak air mata yang mengalir keluar. Bagaikan hujan di panas hari, air mata itu seperti tidak mahu berhenti.
Simpanlah sedikit air matamu, untuk dijadikan simpanan hari esok,” kata Dhamiri. “Qaiser tidak akan menerima keputusanmu, ya ukhti.”
Dzakirah tahu itu yang akan dikatakan Dhamiri. Dia tahu, Qaiser tidak akan mahu memutuskan janji yang sudah lama diikat. Bahkan, mereka bercadang untuk bernikah tahun hadapan. “People can't kill love, but people can hate it. I'll make him hate me,” terang Dzakirah. Dhamiri terkesima. Siapakah yang lebih mengenali Qaiser daripada Dzakirah sendiri? Dia sedikit takut, untuk membayangkan, bagaimana perihal itu akan terjadi. Bagaimana Dzakirah akan membuat Qaiser yang memutuskan pertunangan, bukannya sekadar menerimanya daripada Dzakirah.
You won't dare. It'll hurt you twice as much,” kata Dhamiri. “Istighfar, ya ukhti.”
Dzakirah beristighfar. Dia merehatkan kepala di atas bahu Dhamiri. Mereka senyap seketika. “Kebahagiaan dia, kebahagiaanku. Begitu juga sebaliknya. Maka jika dia tahu penderitaanku, pasti sakit sekali hatinya. Jika, dia mengetahui. Biarlah rahsiaku tersimpan, asalkan dia mampu meneruskan hidup tanpaku. Cintaku kepadanya, ibarat cinta rumput kepada matahari. Setiapnya ia hendak tumbuh tinggi, mendekati cintanya, sedikit sahaja, pasti akan terhalang. Dicantas dek manusia. Cintaku terhalang begitu,” kata Dzakirah. Dia menutup mata, ingin berehat.
Maka cintaku kepadamu ibarat cintanya daun kepada bunga. Akan ku biarkan diriku dicantas untuk membuat dirimu kelihatan cantik, ataupun dipetik bersama tangkai dan kekal denganmu sebagai perhiasan. Ya ukhti, uhibbuki fillah. Berehatlah, akan abang uruskan pemergian kita ke Turki,” balas Dhamiri. Dia juga, tanpa disedari, mengalirkan air mata. Kediaman di Tukri kelihatan semakin jelas di mata.

Sunday, November 27, 2011

SEMBILAN BELAS


“Assalamualaikum, Iklil,” satu suara menegur. Iklil menoleh.
“Wa'alaikumussalam,” balasnya. “Nadhirah,” Iklil tersenyum. “Sibuk ke?” tanya Nadhirah. Mereka berjalan beriringan menuju ke dewan. Sebentar lagi ada forum yang bakal membahaskan tentang Al-Quran dan tafsirannya. Panel dan moderator yang berpengalaman dan sudah berpuluh tahun mempelajari kitab Allah itu telah dipilih sendiri oleh Qaiser. “InsyaAllah, tidak. Cuma sebentar lagi kan ada forum. Iklil hanya berniat menuju ke situ,” jawab Iklil, berterus-terang.
Oh, begitu. Sebenarnya, Ghazalah datang membawa hajat,” terang Nadhirah. Dia hanya membahasakan dirinya sebagai Ghazalah jika bersama pelajar QU. Jarang ada yang memanggilanya Nadhirah mahupun Cahaya. Iklil diam, menanti sambungan. Hatinya tenang sahaja, begitulah dia sepanjang masa. Tidak pernah merasa terganggu. Kerana dalam hatinya suci mengingati Allah. “Ada yang ingin bertanya, jika Iklil sudah dikhitbah orang sebelum ini. Lantas, jika belum, insyaAllah, saya mewakili pihaknya ingin taqdim. Lalu disusul dengan khitbah,” jelas Nadhirah.
Di saat itu, Iklil masih lagi terdiam. Nadhirah sedikit risau, kerana mungkin Iklil sudah ditanya sebelum ini. Manakan tidak, dia merupakan salah satu mahasiswi yang dikenali. Saidatina Aisyah r.a. pernah berkata, “wanita yang baik itu tidak dilihat dan tidak melihat.” Begitulah perihalnya Iklil Bahiyyah, namanya dikenali kerana maruahnya, kerana tinggi tatatusilanya. Walaupun begitu, jarang sekali namanya disebut, kerana perasaan malu untuk menyebut. Pekertinya adalah seperti muslimah sejati. Walaupun tidak berniqab seperti kebanyakan pelajar QU, wajahnya juga jarang dilihat. Kerana dia sering berseorang dan yang lain juga malu untuk mengangkat muka apabila berbicara dengannya.
InsyaAllah, belum,” jawabnya pendek. Nadhirah menarik lafas lega. “Namun, maaf, Iklil tidak mahu menerima sebarang khitbah buat masa sekarang. Tunggulah, setelah graduasi,” tambah Iklil. Maka Nadhirah pun bertanya, “Mengapa? Bukankah graduasi hanya sebulan sahaja lagi?”
Benar, hanya sebulan saja lagi. InsyaAllah yang ingin mengkhitbah itu sanggup menunggu,” balas Iklil. “Baiklah, akan Ghazalah sampaikan,” kata Nadhirah mengakhiri bicara. Dia tidak mempersoalkan kenyataan Iklil kerana dia sendiri tahu, setiap apa yang berlaku itu ada hikmahnya. Iklil menolak untuk menerima, malahan tidak bertanya siapa. Sungguh, dia tidak memahami tapi tidak pula bertanya.

LAPAN BELAS

Suasana di dalam kelas sepi seperti biasa. Tiada yang berbicara, hanya kedengaran coretan pena yang menulis di atas lembaran kertas. Tidak diketahui bila akan berhenti. Perkataan membina ayat, fikiran berjalan jauh mencari sesuatu. Otak ligat berfikir. Di hadapan kelas, meja pertama di bahagian sebelah kanan, Iklil sedang leka menjawab soalan Biologi. Tak disedari, hanya beberapa tapak dari dia yang memikirkan diri, ada lagi yang menumpang sekali. Membina impian di dalam sanubari.
Farhan hanya melihat dari jauh.
Tapi segera dialihkan. Bukankah Allah telah berfirman di dalam al-Quran al-Karim,
Firman Allah s.w.t maksudnya : "Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menundukkan pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka sesungguhnya Allah Amat Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang mereka kerjakan". (An Nur: 30)
Maka dia pun melihat pelajarnya yang lain. Sudah disampaikan hasrat hati kepada rakan yang paling dipercayai iaitu Qaiser. Dia belum taqdim, belum juga mengkhitbah. Dia mahu menunggu, tamatnya peperiksaan akhir di QU. Biarlah rahsia hati itu menjadi rahsia. Kerana cinta dengan nama Allah itu, adalah cinta yang mengingatkan akhirat. Dengan izinNya akan dibawa ke syurga. Cinta yang mengingatkan mati, menjadi pelindung kepada segala kemaksiatan.
Tidak lama selepas itu, masa yang terluang dipenuhi dengan tasbih dan tahmid, maka peperiksaan pun berakhir.
Iklil menghela nafas lega. Biologi adalah kertas ujian terakhirnya. Hatinya berlagu riang, mengucapkan syukur ke hadrat Illahi. Akhirnya pembelajarannya sudah sampai ke penghujung. Tiada lagi ujian, tiada lagi kelas di QU. Dia terdiam seketika. “Tiada lagi kelas di QU,” bisiknya hatinya. Kertas ujian dikumpul Farhan, lalu dia memberi isyarat untuk pelajar kelar dari lokasi ujian.
Iklil bersalaman dengan pelajar muslimah yang lain sebelum melangkah keluar kelas. Hatinya sekali lagi diulam pilu, dia bakal meninggalkan QU.

Wednesday, November 9, 2011

TUJUH BELAS

“Tapi tidak ada apakan kalau berpisah seketika?” Nadhirah mengulang pertanyaan. Dia sedikit memahami, tapi tidak pernah merasa bagi pihaknya sendiri.
Wahai Cahaya, penyeri hatiku. Itulah soalan yang hanya akan diajukan oleh mereka yang tidak memiliki cinta seperti abang terhadap bakal jodohku. Sesungguhnya Cahaya, bahkan jika Dzakirah dihadapanku, mengalihkan pandangan sedikit pun, sudah sakit hati ini. Bukan kerana marah, tapi kerana pilu. Layakkah abang untuk dia? Sungguh sempurna budi pekertinya, diasuh sejak kecil menjadi seorang puteri. Kadang kala, abang ada terfikir, ada baiknya bagi siapa yang masih tidak memiliki cinta. Tidaklah merasa sakitnya perpisahan, mahupun kemungkinan perpisahan akan berlaku,” Qaiser mengakhirkan bicara. Dia mengunci mulut. Sudah tidak mahu berkata. Sesak hatinya mengingatkan perpisahan yang tidak difahami sejuta manusia yang lain.
Dzakirah pula membuka bicara, meleraikan sepi.
Kalau benar cinta, bercintalah kerana Allah. Itu Cahaya amat pasti abang sedang lakukan sekarang. Dengan keimanan abang, percayalah pada Allah. Allah akan menjaga cinta abang yang jauh dari pandangan mata abang, tapi dekat dalam ingatan. Tiada galang gantinya penjaga yang lebih baik melainkan Allah semata-mata. Cahaya tahu abang tidak akan tenggelam dalam belaian cinta duniawi, malah abang akan membawanya ke alam yang kekal abadi. Cuma sekarang ini, dalam perantauan abang sebagai hamba Allah, telah diuji dengan perpisahan. Selama ini, Allah telah memberikan kemudahan kepada abang untuk melakukan apa sahaja, maka mungkin Allah ingin menguji dengan perasaan cinta abang yang paling kuat. Cinta kepada jodoh.”
Qaiser memandang Nadhirah, tersenyum pahit. Hatinya tertanya sejak bilakah adik kesayangannya ini pandai berbicara tentang cinta. Dia menghampiri Nadhirah, menghulur keluar tangan kanannya dan memegang tangan kiri Nadhirah. Mereka bersama berjalan menuju ke tempat letak kereta. Sudah tiada urusan mereka di KLIA. Sekilas pandang, ramai manusia memandang mereka sebagai sepasang suami isteri. Nadhirah mengeluh sendiri, moga sahaja yang memandang itu bersangka baik.
Setibanya di kereta, Qaiser duduk di tempat bahagian pemandu. Dengan berhati-hati dia memandu keluar ke jalan raya. Nadhirah senyap saja di sebelahnya. “Apa pendapat Cahaya tentang Iklil?” tanya Qaiser. Nadhirah sedikit tersentak, namun tenang. “Siapa?” tanyanya kembali. “Iklil Bahiyyah binti Syed Furqon,” balas Qaiser. “Kenapa?” tanya Nadhirah lagi. Dia runsing. “Jawab dahulu soalan abang, dan akan abang nyatakan sebabnya,” Qaiser berkata tegas. Nadhirah mengeluh. “Cahaya tidak ada sebarang pendapat tentang Iklil. Dia baik, muslimah yang baik juga. Tidak ada bezanya dengan muslimah lain di QU,” balas Nadhirah.
Bezanya, dia berjaya menambat hati Farhan,” terang Qaiser. Nadhirah menyepi.

ENAM BELAS

Pasport diletakkan kembali ke dalam beg. Dzakirah menoleh, tiada siapa. Dia memandang kembali ke depan. Dhamiri sedang menunggu. Mereka berdua sudah mengucapkan selamat tinggal kepada Qaiser dan Nadhirah. Dzakirah merasa sedikit pening. Pandangannya kabur. Dia melihat Dhamiri bergegas mendapatkannya dan memegang lengannya, mengelakkan dia dari terjatuh. Titisan darah kelihatan di tudung. “Nose bleed,” bisik Dzakirah.
Dhamiri sekadar mengangguk, mengeluarkan tisu dan menghalakannya kepada Dzakirah. Dzakirah memebersihkan darah yang tersisa di sebalik niqab. Dia menundukkan kepala, mengharapkan darah segera berhenti mengalir. Beberapa minit kemudian, dia mengangkat kepalanya, memandang Dhamiri. “Let us go,” katanya perlahan. Dhamiri mengangguk lagi. Dia masih memegang lengan Dzakirah, memimpinnya memasuki kapal terbang. Oman Air berlepas tidak lama kemudian.
Qaiser diam sahaja memandang kapal terbang itu membelah awan biru. Nadhirah menoleh memandang abangnya. Tidak tahu hendak mengatakan apa. Dirinya sendiri tidak pernah jatuh cinta, mana mungkin memahami perasaan abangnya yang sekali lagi terpaksa berjauhan dengan tunangnya sendiri. Mungkin dia boleh berkata, terdapat banyak cara untuk berhubung. Malahan sekarang zaman sudah moden, tapi dia tidak memahami mengapa abangnya masih bersedih.
Qaiser mengalihkan pandangan kepada Nadhirah. “Cahaya memikirkan apa?” tanyanya. Nadhirah sedikit terkejut, namun ditanya juga persoalan di benak hati. “Cahaya hairan mengapa abang masih bersedih berjauhan dengan Dzakirah. Sudah banyak cara boleh berhubung, setiap hari boleh bersua muka, mendengar suara. Tetapi mengapa, hatimu masih bersedih?” tanya Nadhirah. Qaiser tersenyum pahit. Dia tahu Nadhirah tidak mengerti perasaannya. Bagaimanakah dia bakal mengungkapkan kata, menghuraikan jawapan? Dia menarik nafas, berfikir-fikir.
Lalu memulakan kata.
Tidaklah seorang itu menjadi muslim sebenar sehingga dia mencintai Allah dan RasulNya melebihi cintanya pada dunia. Sungguh, cintaku kepada kedua-duanya bercambah setiap hari. Abang tidak bersedih mencintai sesuatu yang ada di hati abang. Sesungguhnya Allah dekat dengan kita, jika kita mendekatkan diri kepadaNya. Selawatlah selalu, lalu Rasul kita kekal di sini,” Qaiser meletakkan tangan di dadanya.
Tapi,” dia tertunduk. “Cinta abang kepada Dzakirah, satu nikmat Allah berikan kepada abang. Tidaklah abang sedikit pun meragui jodoh yang telah ditetapkan. Maha Suci Allah dengan segala kebesaranNya telah menciptakan seorang pasangan bagi abang. Mana mungkin, tidak abang menyayangi pilihan Allah bagi abang? Dalam semua manusia, hanya dia sahaja. Dia sahaja. Satu-satunya cinta hatiku.”
Qaiser diam seketika. Menahan perasaan, menanggung kesakitan.