Sunday, July 29, 2012

LIMA PULUH SATU



Fajar menyingsing pergi. Farhan berjalan kaki cuba menenangkan diri. Setiap satu langkah diiringi istighfar. Setiap hela nafasnya bersulam duka. Sukar sekali baginya menikmati keindahan dunia yang hanya sementara ketika itu. Kehijauan taman di Bukit Batok tidak mampu melembutkan hatinya. Farhan meneruskan perjalanan. Dia berjalan hingga dia menemui sebuah masjid.
Ar-Raudhah,” bisiknya sendiri.
Sudah menjadi kebiasaan baginya untuk menziarahi rumah Allah jika berkesempatan. Perasaan hatinya ditepis. Dia melangkah menuju ke Masjid ar-Raudhah itu, mengambil wudhu' dan menunaikan solat tahiyyatul masjid. Lama dia di dalam sujudnya dan berdoa. Bukan untuk menghilangkan kesedihan, bukan pula untuk memberikan apa yang terbaik untuk dirinya. Dia berdoa, supaya Allah meredhai akan dirinya.
Adakah Engkau redha akanku ya Allah?” hatinya berbicara.
Farhan melangkah ke satu sudut di ruang solat masjid lalu duduk di situ. Dia beriktikaf, mengingaati hadith di dalam kitab Sahih Bukhari, Abdullah bin Umar r.a. berkata, "Rasulullah s.a.w biasa melakukan i'tikaf pada sepuluh hari yang terakhir dari bulan Ramadhan."
Matanya dipejamkan. Dia teringat ketika kedua ibu bapanya bertanya mengapa dia tidak mahu menjadi seorang doktor. “Farhan tidak mahu terlalu sibuk hinggakan tiada masa untuk beribadah,” balasnya ketika itu. Sememangnya dia seorang yang suka mengunjungi masjid. Di hujung minggu jika dia ketiadaan kelas mahupun apa-apa yang perlu dibuat, dia akan memandu merentasi Indonesia, berhijrah dari satu masjid ke masjid yang lain.
Matanya dibuka. Dia tidak tahu hendak berbuat apa. Sudah cukup kejutan yang diberikan Qaiser apabila dia melamar Iklil. Dia tidak mampu untuk menunggu di situ untuk bertanya. Bukan kerana dia tidak mahu mendengar sebab, tapi dia tahu dia akan menarik balik lamarannya pula. Qaiser seribu kali lebih baik daripadanya dirinya pada pandangannya. Sudahlah berjaya di usia muda, kehidupannya sangat menitik beratkan Islam.
'Siapakah aku, untuk menandinginya?' fikir Farhan sendiri.
Matanya dipejamkan. Memori lama terimbau kembali. Pertemuan pertamanya dengan Qaiser.
*****

LIMA PULUH


Farhan terkedu di penjuru masjid. Dia tidak percaya dengan apa yang didengarnya. Qaiser telah melamar Iklil Bahiyyah sejurus selepas dia memberitakan lamaran bagi pihaknya. Hampir sahaja dulang ditanggannya terlepas ke lantai. Dia menguatkan diri untuk utuh berdiri. Dulang yang berisi minuman dan kuih-muih untuk sahabatnya itu diletakkan di satu sudut. Farhan keluar dari masjid. Hatinya memarahi diri sendiri kerana tidak sabar.
Amirullah memegang tangan Qaiser, mengharapkan penjelasan. Namun Qaiser tidak memberi reaksi apa-apa. Lalu Amirullah menganggukkan kepala dan berlalu pergi. Dia berjalan menuju ke kediamannya. Salam diberikan di pintu rumah dan kedengaran suara Iklil menyahut. Dia meminta Iklil duduk di halaman rumah bersamanya lalu Iklil menurut.
Adakah sesuatu yang menganggumu?” tanya Iklil.
Amirullah menggelengkan kepala. “Tidak, abang hanya hendak menyampaikan hajat.” balasnya. “Dan apakah hajat itu?” tanya Iklil lagi. “Wahai Iklil Bahiyyah, adakah kamu bersedia untuk bernikah?” tanya Amirullah kembali.
Bukankah anta sendiri mengetahui hadith Nabi s.a.w, 'Apabila datang melamar kepadamu seseorang yang kamu redha agamanya dan akhlaknya, maka kahwinkanlah. Jika tidak kamu laksanakan, maka akan terjadi fitnah di muka bumi dan kerosakan yang luas.' Masihkah abang ada keraguan tentang kesediaan Iklil?”
Sekali lagi Amirullah menggelengkan kepala. “Tidak, wahai adikku. Maka dengarkanlah, dirimu dilamar oleh dua pemuda yang abang redha akan agama dan akhlak mereka. Dengarkanlah pengetahuan tentang mereka dan bermusyawarahlah denganku.

Bagi yang pertama, seorang yang amanah dan
keimanannya hanya Allah yang mengetahui. Al-Quran di dadanya seperti mana di perlakuannya. Istikharah sudah dilakukannya, dan jawapannya adalah anti, wahai adikku.

Bagi yang kedua pula, seorang yang mengalami kesukaran di dalam hidupnya dan ketahuilah bahawa Allah tidak akan menduga hambaNya melebihi kemampuannya. Ketahuilah bahawa dia seorang yang bersopan dan berbudi, lamarannya ini tidak ku ketahui sebabnya.”
Tidak adillah bagiku jika tidak mengetahui sebabnya kerana istikharah itu petunjuk Allah, dan lamaran kedua itu juga mungkin gerak hati dari Allahu Rabbi. Kembalilah abang kepada yang bertanya dan meminta kepastian. Adik menunggu,” balas Iklil. Kemudiannya dia bangun dan mengucapkan salam sebelum kembali masuk ke dalam rumah.

EMPAT PULUH SEMBILAN


“Adik anta yang bernama Cahaya itu bersama siapa?” Amirullah bertanya kepada Qaiser. Mereka berdua sedang berehat di anjung masjid. Masing-masing sedang berzikir, menghayati ayat al-Quran di dalam surah ar-Ra'd.
Ketahuilah, dengan mengingati Allah hati akan menjadi tenang,” balas Qaiser.
Amirullah menyepi, menerima teguran. Ditepisnya perasaan ingin tahu. Entah kenapa, hatinya yang tenang selama ini terkesan dengan kehadiran seseorang yang dia tidak pernah lihat mukanya. Seingatnya dia tidak pernah bertemu, jadi apa salahnya bertanya. Tapi dia mengenali bagaimana Qaiser, seperti mana dia berbicara. Beberapa ketika kemudian dia terasa seperti Qaiser memerhatikannya. Dalam kegelapan itu dia masih mengetahui Qaiser sedang tersenyum. Bahkan, selama dia mengenali Qaiser, tidak pernah dia terlihat Qaiser bermasam muka.
Adakah diri atau nafsumu yang akan berbicara?” Qaiser menganjurkan pertanyaan. Amirullah senyap memikirkan bicara dan membetulkan niatnya di dalam hati. “Iringilah ana ke dalam kebenaran, insyaAllah 'akal dan hati masih mendahului,” balas Amirullah. “Maka dengan itu, ana memulakannya. Dengan nama Allah ana berbicara, insyaAllah niat ana ke mari berjumpa anta, adalah untuk melamar Iklil Bahiyyah binti Syed Furqon. Anta walinya, adakah anta akan terima kewalianmu?” tanya Qaiser.
Ana terima kewalianku. Ya ikhwani, adakah sebarang soalan tentang jagaanku ini?” Amirullah pula membalas. Kedengaran Qaiser mengambil nafas. Pengkhitbahan bermula.
Adakah jagaanmu itu sudah dilamar sebelum ini?
“Sudah, tapi tiada yang diterima. Maka jagaanku bukan tunangan sesiapa.”

“Adakah jagaanmu itu dara atau janda?”
“InsyaAllah sepanjang pengetahuanku dan dengan pemeliharaan Allah, seorang dara.”

“Adakah keputusan di tanganmu seorang atau anta akan bertanya kepadanya?”
“Ana akan bertanya kepadanya, insyaAllah.”

“Maka, khabarkanlah kepadanya. Dirinya dipinang oleh Farhan as-Samih, seorang yang amanah dan keimanannya hanya Allah yang mengetahui. Al-Quran di dadanya seperti mana di perlakuannya. Khabarkanlah, istikharah Farhan as-Samih menjadi tekad.”

Amirullah menganggukkan kepala. “InsyaAllah,” balasnya. Sedang dia berkira-kira mahu berdiri atau tidak, Qaiser menyambung kembali perbicaraan.

“Dan khabarkanlah kepadanya. Dirinya dipinang oleh Muhammad Qaiser Zahirul Haq-qul Furqon.”

EMPAT PULUH LAPAN

"Iqra'."


“But,” Nadhirah cuba membantah. Surat yang tadinya dihadapannya sudah dipegang oleh Qaiser. “Iqra',” ulang Qaiser. Nadhirah tidak jadi meminta Qaiser membaca surat itu. Dia mula membaca surah al-Fatihah disusuli surah ar-Rahman secara tartil.
“Dan nikmat Tuhanmu yang manakah yang kamu dustakan?
Maha Suci nama Tuhanmu Pemilik Keagungan dan Kemuliaan.”
Setelah Nadhirah menamatkan bacaannya. Qaiser bangkit dari duduk lalu memberikan senyuman kepada Nadhirah sebelum melangkah keluar. Nadhirah tahu abangnya itu mahu berfikir. Naskhah al-Quran itu kembali diletakkan di atas meja kecil itu lalu dia mula mengeluarkan pakaian dari bagasi untuk disusun di dalam almari. Berbeza dengan kediamannya di Malaysia, kediaman Amirullah sederhana sekali. Terletak betul-betul di sebelah masjid dan sekitarnya pohon menghijau.
Setelah selesai mengemas, Nadhirah memakai niqab sebelum melangkah keluar dari bilik. Qaiser, Farhan dan Amirullah akan bermalam di masjid kerana tidak mahu berlakunya fitnah walaupun hanya semalam sahaja mereka berkunjung ke situ mengikut perancangan. Matanya melirik mencari kelibat Iklil. Hanya beberapa langkah dia sudah berada di hadapan pintu bilik Iklil dan segera dia mengetuk pintu dan memberi salam.
Kedengaran suara menjawab salam dan pintu bilik terbuka. Iklil Bahiyyah tersenyum melihat gerangan dihadapannya. “Cahaya selesa?” tanya Iklil. Nadhirah menganggukkan kepala. “Alhamdulillah, terima kasih sudi menerima kami sebagai tetamu,” balas Nadhirah. Iklil melebarkan senyumannya, terserlah kegembiraan di wajahnya. “Bukankah tetamu itu suatu penghormatan yang mulia kepada tuan rumah? Marilah, Cahaya, kita makan bersama. Pasti Cahaya sudah lapar bukan?” gesa Iklil sambil menarik tangan Nadhirah. Mereka berdua berjalan beriringan menuju ke dapur. Iklil membuka tudung saji dan membuka pintu peti ais untuk mengambil jus.
“Kenapa ada kuih koci?” tanya Nadhirah memecahkan kesunyian yang sementara. “Abang teringin nak makan beberapa hari lepas, tapi baru tadi Iklil jumpa gerai yang menjualnya. Cahaya suka bukan? Makanlah,” balas Iklil. Nadhirah terdiam. Ketenangan hatinya bergolak kembali namun dirahsiakan. Dia menjamah juga sedikit kuih itu bagi menjaga hati Iklil.

Friday, March 2, 2012

EMPAT PULUH TUJUH


“Cahaya.”
Nadhirah memusingkan badannya. Sedari tadi dia hanya berdiri di tepi tingkap, kini dia melihat abangnya di hadapan pintu bilik. “Masih tidak berkemas?” tanya Qaiser. Dia melihat bagasi adiknya yang masih tidak disentuh di penjuru katil. Sudah lebih kurang setengah jam yang lalu mereka tiba di kediaman Amirullah dan Iklil. Qaiser tahu adiknya tidak selesa, namun apakan dayanya, mereka merancang namun Allah juga merancang dan Allah adalah sebaik-baik perancang. Kini dia berdiri di rumah itu bukan sebagai wakilnya Nadhirah, permata hatinya, namun mewakili sahabatnya untuk Iklil Bahiyyah.
Qaiser beristighfar di dalam hati. Kemudiannya dia berselawat. Dia mendekati Nadhirah. “Bagaimana keadaanmu?” tanya Qaiser. “Baik,” Nadhirah membalas pendek. “Dalam hati ada apa?” Qaiser melanjutkan pertanyaan. Nadhirah tersenyum kecil. “Dalam hati ada cinta,” balasnya. “Law kana bainana, ya qalbi. Maza taf'al?” Nadhirah bertanya, namun kepada diri sendiri.
Kedua-duanya diam beberapa ketika.
That's a very serious question, if I might say,” Qaiser memulakan bicara setelah sepi yang beberapa lama. “But what will I do?” kata Nadhirah. “Allahua'lam,” balas Qaiser pendek. “Cahaya, we were raised, decently. Abi sudah menjalankan tanggungjawabnya, dan abang sedang cuba. Adakah abang gagal?” sambung Qaiser. Mata Nadhirah mula berkaca, tangis ditahan.
Innalaha ma'asabirin,” Qaiser meletakkan tangannya di atas tangan Nadhirah.
Mereka kekal begitu beberapa ketika.
Have you read the Quran for today?” tanya Qaiser. Nadhirah mengangguk. “Could you read it again for me?” tanya Qaiser lagi. Nadhirah tersenyum. “You know, you should find a nice wife, a solehah one so she can read the Quran specially for you my dearest brother,” katanya. “Jodoh abang Allah dah tetapkan, abang hanya menanti. Cahaya bawa al-Quran?” Qaiser menukar kembali topik perbicangan. “Oh ya, Cahaya masuk ke kamar abi dan ummi. Cahaya membawa al-Quran abi yang lama itu,” jawab Nadhirah sambil menuju ke meja kecil di sebelah katilnya.
Cahaya masuk ke kamar ummi?” tanya Qaiser sedikit pelik. “Khair,” balas Nadhirah pendek. Di tangannya kini senaskhah al-Quran yang kelihatan sedikit usang namun tetap utuh. Dia duduk di penjuru katil. Dia mula menyelak halaman al-Quran dihadapannya. Qaiser duduk di sebelah Nadhirah. Seketika kemudian Nadhirah berhenti menyelak dan hanya menatap al-Quran itu. “Limaza?” tanya Qaiser. Nadhirah memandang Qaiser. “There's a letter for you,” kata Nadhirah.

Monday, January 23, 2012

EMPAT PULUH ENAM


“Orang yang bernama Cahaya itu jua ikut Qaiser?” tanya Amirullah kepada adiknya. Iklil mengangguk lalu mengiakan. Dia sedang memandu kereta menuju ke lapangan terbang untuk menjemput Qaiser, Farhan dan Nadhirah. “Adakah dia mengenali abang?” tanya Amirullah lagi. Iklil hairan sedikit. “Kenapa abang berfikiran begitu?” dia membalas dengan pertanyaan. “Saja bertanya. Bukankah ada sedikit masa dalam kehidupan abang yang tidak mampu abang ingat? Mungkin kami pernah bertemu,” balas Amirullah jujur.
Dia berasa sedikit hairan dengan dirinya sendiri. Semenjak Iklil menyebut nama Nadhirah di hadapannya, perasaan ingin tahunya membuak-buak. Seingat dia ketika mengenali Qaiser, dia tidak pernah kenal akan adik rakannya itu.
Adik bawa kereta kelajuan berapa?” tanya Amirullah. Dia memegang kuat kerusinya. Fobianya akan kelajuan bermula semenjak kemalangan yang mengorbankan keluarganya. Iklil memperlahankan kelajuan kereta sebelum menjawab. “Maaf, tadi adik hendak cepat. Terlebih laju sedikit,” balas Iklil. “Berhati-hatilah,” pesan Amirulllah. Tidak lama kemudian, kereta itu menyusur masuk ke kawasan mengambil penumpang. Iklil sudah berjanji dengan Nadhirah untuk tunggu di situ. Matanya yang juga berwarna hazel seperti Amirullah mencari-cari kelibat Nadhirah. Dia melihat seorang wanita berniqab hitam tidak jauh dihadapannya lalu dia pun memarkir kereta berdekatan.
Segera dia mendail nombor Nadhirah dan memberitahu akan kehadirannya apabila Nadhirah mengangkat telefon. Dia melihat Nadhirah memberitahu sesuatu kepada Qaiser dan Farhan yang berada berdekatan dan ketiga-tiga mereka berjalan menuju ke arah keretanya sambil Qaiser dan Farhan membawa beg.
Assalamualaikum,” Qaiser memberi salam di tepi kereta. Iklil telah menurunkan cermin kereta di bahagian sebelah Amirulllah. “Wa'alaikumussalam,” balas Amirulllah. Mukanya bersinar bahagia. Dia mengangkat tangannya sebagai tanda huluran salam. Qaiser menyambut salam Amirullah dan mereka berbicara buat seketika. “Abang, biarlah Qaiser masuk ke dalam kereta telebih dahulu. Di rumah boleh jua berbincang,” tegur Iklil. Amirullah setuju lalu meminta Qaiser masuk ke bahagian belakang. Nadhirah duduk di sebelah Qaiser.
Iklil memandu keluar dari kawasan lapangan terbang menuju ke rumahnya. Nadhirah hanya melontarkan pandangan jauh ke luar tingkap. Tidak sanggup mengangkat muka melihat Amirulllah.

EMPAT PULUH LIMA


Tiga beg kecil memenuhi ruang belakang kereta. Qaiser dan Nadhirah menaiki Toyota Vios milik Qaiser manakala Farhan menaiki kenderaannya sendiri. Mereka bertiga akan ke KLIA untuk menaiki penerbangan 3 jam kemudian ke Singapura. Nadhirah jarang sekali memandu, malahan hanya jika terpaksa. Qaiser juga hanya memandu dalam kelajuan sederhana jika Nadhirah ada di tempat duduk penumpang kerana Nadhirah sedikit takut akan kelajuan. Pernah sahaja dahulu ketika kecil dia menolak Nadhirah di buaian dengan kelajuan yang baginya biasa sahaja, namun Nadhirah telah menangis minta diturunkan.
Setibanya mereka tiba di KLIA dan menguruskan tiket, ketiga-tiga mereka duduk di terminal penerbangan antarabangsa menanti panggilan penerbangan ke Singapura. Farhan memandang Nadhirah yang duduk tidak jauh dengannya. “Tidak mengapakah bagimu jika abang bersama Iklil?” tanya Farhan. Qaiser yang duduk di antara mereka hanya diam, berzikir di dalam hati. Nadhirah tidak memandang Farhan buat beberapa ketika. Kemudiannya dia mengangkat muka lalu berkata, “InsyaAllah, tiada apa.”
Lagipun, sudah lama Cahaya tidak bertemu dengan Amir,” tambahnya. Nama itu apabila disebut terasa pahit sedikit di bibirnya. 'Perasaan saja,' bisik hatinya. Farhan menganggukkan kepala, tanda memahami. Mereka berdua sepi kembali memikirkan hal masing-masing.
Di dalam sepi itu Qaiser berbicara,
“Selalu saja, manusia itu bersedih tatkala mengenangkan jarak antara kekasih hati. Mandi dikatakan tak basah, tidur dikatakan tak lena, makan dikatakan tidak kenyang. Bahkan itu sekadar cinta kepada manusia, cinta kepada makhluk. Sehari tak bersua bagaikan seribu tahun. Cuba fikirkan, bagaimana hubungan dengan al-Quran? Al-Quran itu juga mempunyai perasaan. Sehari kita tak baca, al-Quran juga mampu merajuk. Jika hafalan tidak diulang, ia juga bakal meninggalkan kita malah jauh sekali tak mahu kembali. Cuba fikirkan, bagaimana hubungan dengan Allah? Dia yang menciptakan kita dan menciptakan orang yang digelar kekasih itu. Setiap perasaan itu nikmat, namun ada batasannya.”
Salahkah ana jatuh cinta, Qaiser?” tanya Farhan. “Cinta itu cahaya sanubari, kurniaan Tuhan fitrah insani. Cinta itu tidak pernah meminta, tetapi memberi sepenuh rela,” balas Qaiser dengan bait-bait daripada sebuah lagu. “Tidak salah, malah kita juga akan membawanya ke jalan yang halal bukan? Cuma ana hendak mengingatkan ketiga-tiga hati di sini. Cinta mungkin penyebab segala-gala maka hendaklah kita tetap bersedia. Membezakan antara nafsu dan fitrah,” sambung Qaiser.
Perbualan mereka terhenti tatkala terdengar panggilan untuk mereka masuk ke dalam pesawat.

Sunday, January 22, 2012

Senarai Watak.


Watak:
Muhammad Qaiser Zahirul Haq-qul Furqon
(Raja Pendukung Hak Yang Terpuji Yang Mampu Membezakan Hak dan Batil)Watak utama. Yatim piatu sejak remaja. Berumur 26 tahun.
Bachelor for Science in Business Administration (Hodges University)
Master Degree in International Management (Belford University)
Founder (Qaiser University)
Mahir berbahasa Melayu, Arab, Inggeris, Cina, Perancis dan Jepun.

Nur Ghazalah Nadhirah
(Cahaya Mentari Terbit Yang Bersinar)Adik kepada Qaiser. Berumur 24 tahun.
Sedang menuntut di QU bidang perubatan.

Zayyad Dhamiri
(
Semakin Bertambah Perasaanku)Sepupu Qaiser. Berumur 28 tahun.
Seorang doktor dan menetap di United Kingdom.
Keturunan Arab-Turki. Berbahasa Arab dan Inggeris.

Zhufairah Dzakirah
(Yang Banyak Mendapatkan Kebenaran, Yang Selalu Berzikir)Sepupu dan tunang Qaiser. Berumur 25 tahun.
Tinggal di Turki sejak kematian abi dan ummi ketika mereka baru bertunang.
Keturunan Arab-Turki. Berbahasa Arab dan Inggeris.

Iklil Bahiyyah
(Mahkota Yang Bersinar)Adik Amirullah, pelajar Qaiser. Berumur 25 tahun.
Sedang menuntut di tahun akhir QU dalam bidang perubatan.
Keturunan Inggeris-Melayu.

Muhammad Amirullah (Pemimpin Yang Terpuji)Abang Iklil, kawan rapat Qaiser. Berumur 26 tahun.
Imam di sebuah masjid di Singapura. Buta kedua-dua mata.
Keturunan Inggeris-Melayu.

Muhammad Habibullah
(Kekasih Allah Yang Terpuji)
Adik kepada Amirullah. Meninggal dalam kemalangan.
Farhan as-Samih
(Kegembiraan, Pemaaf)Rakan Qaiser. Berumur 26 tahun.
Pensyarah Biologi di QU.
Keturunan Melayu.

EMPAT PULUH EMPAT


Sumaiyyah memandang suaminya setelah ketiga-tiga anak mereka masuk ke bilik masing-masing. “Abang tahu kan kita tidak mungkin menjodohkan mereka?” tanya Sumaiyyah. Syed Furqon melepaskan keluhan berat. “Pastilah, abang berada di situ ketika ayahanda Haq-Qul Furqon menulis wasiat,” balas Syed Furqon. “Kalau begitu, bagaimana hendak kita terangkan kepada Amirullah?” tanya Sumaiyyah lagi. “Kita hanya katakan kita tidak memberi restu. Wasiat itu hanya boleh dibacakan pada waktunya yang telah ditetapkan,” jawab Syed Furqon.
Sumaiyyah menganggukkan kepala setelah mendengar jawapan suaminya. Mereka berdua kekal menyepi buat beberapa ketika sebelum beransur ke bilik. Tanpa mereka sedari, Habibullah yang masih kecil itu bersembunyi di sebalik dinding. Setelah mereka menutup pintu barulah dia berlari anak ke tingkat atas lalu mengetuk salah satu pintu bilik. Dia memberikan salam. Tidak lama kemudian, pintu terbuka.
Adik mendengar perbualan ibu dan ayah lagi ya?” kata Iklil tatkala dia melihat adiknya itu. Habibullah mengangguk. “Adakah itu dosa?” tanya Habibullah. “Itu tidak sopan, Habibullah,” balas Iklil. “Masuklah,” sambungnya. Habibullah menapak masuk ke kamar Iklil. Keluasan bilik kakaknya itu sama sahaja seperti biliknya. Cuma warna temanya berbeza. Kakaknya menggemari warna coklat, namun dia lebih suka memilih warna krim.
Akh Qaiser juga menyukai warna coklat bukan? Warna kayu, dahan,” kata Habibullah. Dia duduk di sudut katil. Iklil duduk di sebelah adik bongsunya itu. “Bagaimana kamu tahu akan itu?” tanya Iklil hairan. “Abang pernah membawa ku ke rumah akh Qaiser. Besar. Sepi. Namun tidak pernah pula bertemu dengan kekasihnya abang,” jawab Habibullah jujur. “Bukan kekasih, ya Habibullah. Bercinta hanya selepas nikah,” Iklil memperbetulkan persepsi Habibullah.
Habibullah terdiam seketika. Dia berkira-kira mahu menceritakan atau tidak apa yang diketahuinya, apa yang didengarinya. Dia masih kecil, tidak memahami apa-apa. Dia tidak tahu apa itu cinta, yang dia hanya tahu cintanya kepada Allah, Rasulullah, al-Quran dan keluarga. Islam pegangan hidupnya sejak dia kecil.
Habibullah menarik nafas panjang.
Ya ukhti,” dia berkata. Iklil senyum lalu membalas dengan jawapan yang sering digunakan Habibullah apabila dipanggil sesiapa pun, “Ya saya.”
Habibullah memandang tepat ke arah Iklil lalu berkata, “Bagaimanakah sekiranya, sebenarnya, akh Qaiser itu dijodohkan untuk akak, Iklil Bahiyyah?”

EMPAT PULUH TIGA


Syed Furqon memandang isterinya, lalu meneruskan bicara. “Ibundanya menyahut seruan Illahi ketika melahirkan adik Qaiser itu. Sejak itu, kami tidak pernah melihat keluarga mereka. Ayahandanya sudah tidak menziarah kenalannya sehinggalah satu hari, kami menerima berita bahawa dia juga sudah kembali ke rahmatullah.”
Saya tahu semua itu ayah, saya mengenalinya juga ketika saat dia kehilangan ayahnya. Tapi, saya tidak memahami mengapa kewujudan Nadhirah itu bagaikan satu rahsia?” tanya Amirullah. “Kerana wanita itu sememangnya satu rahsia. Tidakkah kamu pernah terfikir mengapa tiada nama wanita di dalam al-Quran melainkan Maryam? Kerana darjatnya wanita itu sememangnya perlu dijaga. Demi Allah, anakku. Ketika ini tiada risaunya ayah tentang keturunan dia kerana dia lebih terjaga daripadamu. Jika kamu tahu bagaimana Islam datang kepada kedua nendanya pasti sahaja kamu menangis dan tafakkur akan begitu mudahnya kamu dilahirkan menjadi seorang Muslim. Apakah penderitaan Haq-qul Furqon yang kamu tahu bahkan adakah yang kamu mahu tahu?” balas Syed Furqon. Dia berhenti.
Giliran Sumaiyyah pula melihat Amirullah yang kelihatan keliru. “Amirullah, kami risau, jika Nadhirah itu tidak mahu menerima kamu. Keluarganya berada, dan mereka diwasiatkan dengan harta yang tidak kita mampu tandingi. Bukankah mencari pasangan yang sekufu itu juga satu kemestian?” kata Sumaiyyah. “Kemestian bukan kewajipan ibu. Abang, pastikanlah dahulu jawapan Nadhirah untukmu,” kata Iklil pula. Perbualan mereka terhenti dengan bunyi deringan telefon.
Habibullah berdiri lalu mengangkat telefon dan meletakkan gagang di telinganya. Salam diberikan. Dia tersenyum seketika dan berbicara dengan yang menelefon. Seminit kemudian gagang dihalakan kepada Amirullah. Amirullah mengambilnya lalu mendengar suara di hujung talian untuk mengetahui siapa pemanggilnya. “Qaiser,” bisik Amirullah. Buat beberapa minit dia hanya mendengar apa yang dikatakan Qaiser dan kadang-kala mencelah di mana-mana. Setelah tamat perbualan, dia meletakkan kembali gagang telefon dan berpaling kepada ahli keluarganya. “Cahaya terima,” katanya. Dia tidak tersenyum. Hatinya berbelah bahagi sama ada mahu gembira atau tidak walaupun sinar kebahagiaan sudah mula bertapak di hati. Kata putus ibu dan ayahnya masih tidak diketahui.
InsyaAllah, ibu dan ayah akan berbincang dahulu berkenaan ini. Kalian boleh kembali ke kamar masing-masing,” kata Sumaiyyah. Amirullah memandang Iklil dan adiknya itu memberi isyarat supaya menurut sahaja kata ibu mereka. Dia, Iklil dan Habibullah melangkah ke bilik tidur mereka dengan penuh tanda tanya.

EMPAT PULUH DUA


“Kamu masih muda,” kata Syed Furqon. Isterinya, Sumaiyyah hanya mengangguk disebelahnya. “Tiada ada had usia untuk berkahwin, ayah,” kata Amirullah. Dia menggetap bibirnya. “Siapa ayahnya? Kami harus tahu keturunannya,” tanya Syed Furqon. Dia sungguh mementingkan keturunan dan asal usul. Baginya, pentingnya keturunan yang baik seperti pentingnya udara kepada dirinya.
Namanya, Nur Ghazalah Nadhirah,” Amirullah mengulang nama Nadhirah. “Dia, adiknya Haq-qul Furqon.”
Adik Qaiser?” tanya Iklil Bahiyyah yang sedari tadi menyepi di sebelah Habibullah. Dia sedikit terkejut, malah apabila dia melihat reaksi ibu bapanya, mereka juga kelihatan tersentak. “Mengapa kamu tidak memberitahu kami sebelum ini?” tanya Sharifah Sumaiyyah. “Saya baru tahu, ibu,” jelasnya. “Dia, tidak pernah dilihat,” kata Sharifah Sumaiyyah. Baru sekarang dia memahami mengapa anaknya berkata dia tidak pernah melihat wajah wanita yang mahu dinikahinya. “Empat keturunan satu darah,” kata Syed Furqon. Mereka berdua diam, memikirkan sesuatu.
Amirullah mula hilang sabar, dia berdiri. “Apa pentingnya keturunan ayah? Saya mahu menikahinya. Tiada persoalan yang patut ditanya. Bukankah ayah juga bernikah dengan ibu tanpa memikirkan keturunanmu?” katanya tegas. “Abang,” kata Iklil. “Adakah begini tingkahmu terhadap ibu dan ayah? Abang baik sahaja di hadapan wanita yang abang cinta, tapi kamu berkeras terhadap ibu dan ayahmu sendiri? Cinta telah membutakan abang. Istighfar,” sambung Iklil. Dia sendiri beristighfar. Dia berasa tidak selesa apabila ketegangan mula kelihatan.
Maafkan saya,” kata Amirullah. Dia kembali duduk. Suasana diam seketika. “Haq-qul Furqon, adakah dia tahu tentang perkara ini?” tanya Syed Furqon. Amirullah mengangguk. Ibu dan ayahnya ternyata lebih mengenali Qaiser daripada dia sendiri. Ayahanda dan ibunda Qaiser bersahabat dengan mereka sebelum dia lahir lagi. Dia hanya bertemu Qaiser ketika zaman persekolahan. Amirullah menarik nafas panjang. “Bagaimana dengan keturunannya?” tanya Amirullah. Dia tahu bahawa pasti ibu dan ayahnya tahu bagaimana salasilah keluarga Qaiser.
Syed Furqon menatap wajah anaknya. Nafas yang panjang turut diambil dan dihela. “Ayahanda mereka, berdarah Pakistan dari sebelah ayahandanya kembali dan Perancis dari sebelah umminya. Ibunda mereka, lahir di sini, berketurunan Melayu dari ayahandanya dan Cina daripada umminya. Mata biru Qaiser itu dari nenda sebelah ayahandanya. Mungkin kamu dapat mengagak, seperti ibumu sendiri, keluarga mereka bukanlah dari keluarga Muslim sepenuhnya. Kedua-dua nenda Qaiser adalah muallaf,” kata Syed Furqon.

Friday, January 6, 2012

EMPAT PULUH SATU


Kereta Amirullah memasuki laman rumahnya. Dia keluar daripada kereta dan melangkah menuju ke pintu banglo dua tingkat itu. Dia terhenti di pintu, tanggan kanannya di atas tombol. Kedengaran suara yang merdu di telinganya. Amirullah tersenyum, alunan bacaan al-Quran itu adalah suara adiknya yang bongsu, Habibullah. Dia membuka pintu sambil memberi salam. Tiada siapa yang menyahut. Dia berjalan sedikit menuju ke arah bilik yang paling hampir dengan ruang tamu. Dia mengetuk pintu dan memberi salam sekali lagi.
Seketika kemudian, alunan al-Quran itu berhenti dan kedengaran bunyi seseorang meletakkan sesuatu dan pintu terbuka. Amirullah menundukkan pandangan sedikit dan tersenyum melihat adiknya itu yang sedang mendongakkan kepala. “Sakif Habibi,” kata Amirullah. “Ya saya,” balas Habibullah. Dia senyum lebar menunjukkan barisan gigi yang putih. “Mana ibu?” tanya Amirullah. Habibullah mengangkat kedua-dua bahunya sebagai tindakan refleks. “Tak tahu, wallahua'lam,” katanya. Dia melangkah ke dalam biliknya lalu duduk di atas katil. Senyumannya mulai pudar.
Ibu, tidak bersetuju dengan keputusan abang,” kata Habibullah. Senyuman Amirullah juga terhenti, namun dia cuba mengekalkannya. Dia melabuhkan punggung di sebelah adiknya. “Bagaimana dengan adik?” tanya Amirullah. Habibullah tidak segera menjawab. Dia memandang abangnya buat beberapa ketika. “Adakah begitu susah menurut kata ibu?” balasnya jua dengan pertanyaan. Amirullah terkesima, dia mengeluh sedikit. Adiknya yang berumur 10 tahun itu cukup pandai berkata-kata. Amirullah menggelengkan kepala. “Tidak susah, cuma payah,” balasnya. Habibullah mengerutkan dahi, tidak memahami.
Syurga itu di bawah tapak kaki ibu,” katanya menguatkan hujah. Amirullah menganggukkan kepala. “Benar, sahih,” balasnya. “Lalu?” tanya Habibullah. Amirullah senyum lalu mengangkat tangan kanannya dan mengusap kepala Habibullah. “Adik masih tidak bertemu dengan Cahaya ku. InsyaAllah, nanti kamu akan mengerti,” katanya.
Tiba-tiba satu suara membalas. “Pertemukan kami dengan dia.” Amirullah dan Habibullah kedua-duanya menoleh. Kelihatan ibu mereka sedang berdiri di muka pintu. Air mukanya tenang sahaja namun Amirullah tahu, hatinya gelisah. Baru sahaja dia memaklumkan tentang niatnya untuk berkahwin beberapa hari lepas. Dia tidak mendapat restu, namun dia berazam untuk mendapatkannya. “Namanya Nur Ghazalah Nadhirah. Saya memanggilnya Cahaya, ibu,” kata Amirullah. “Adakah kerana kecantikannya membuatkan kamu terpesona?” tanya ibu mereka. Amirullah menggeleng. “Bahkan wajahnya pun masih belum saya lihat,” balasnya. Ibunya menahan nafas. Berfikir. Maksudnya wanita yang ingin dinikahi anaknya itu berniqab. Hatinya sedikit lega. “Kalau begitu, marilah. Berbincang dengan ayah sekali lagi di ruang tamu,” katanya. Seketika kemudian mereka sekeluarga berkumpul di ruang tamu kediaman itu.