Saturday, February 2, 2013

LIMA PULUH TIGA


"Assalamualaikum warahmatullah,” salam pertama diberikan.
"Assalamualaikum warahmatullah,” salam kedua diberikan.
Wirid dibaca, doa dipanjatkan tanda harapan kepada Yang Esa. Jemaah masjid bersalaman sesama sendiri. Farhan memerhati dari duduknya, kesemua jemaah seperti mesara bersama lelaki yang tidak dikenalinya itu. Dia sedikit hairan, bagaimana dia boleh tidak mengenali lelaki tersebut jika jemaah lain sudah seperti bersahabat lama dengannya sedangkan dia sering solat di situ. Farhan menghampiri imam masjid untuk bertanya.
"Tok Imam, kenal ke muslimin itu?” tanya Farhan sambil tangannya mengisyaratkan lelaki berjubah itu. Imam di hadapannya itu tersenyum. “Maksud Farhan, Qaiser?” balas Tok Imam. “Qaiser?” Farhan masih tertanya-tanya. Tok Imam mengangguk-angguk. “Ha'ah, Muhammad Qaiser Zahirul Haq Furqon,” balas Tok Imam. “Panjangnya nama dia Tok Imam,” secara lewa Farhan membalas. “Tak baik kamu Farhan meragui pilihan nama ALLAH beri padanya,” tegur Tok Imam lembut sambil tangannya diletakkan di bahu Farhan. Farhan tersedar sendiri kesalahannya.
"Astaghfirullah,” Farhan mengurut-urut dadanya. Rasa serba salah mula mencengkam di jiwa. “Tapi Tok Imam, kenapa jemaah lain nampak macam rapat sahaja dengan dia? Saya tak pernah nampak dia. Ini baru kali pertama biizniLLAH,” Farhan meluahkan pertanyaan yag terbuku di hati. “Oh, begitu. Patutlah kamu memandang dia pelik. Itulah Qaiser, anak kepada Abu Muhammad,” jelas Tok Imam. “Kamu kenal kan Abu Muhammad, itu 'kunyah' yakni gelaran untuk bapanya Qaiser. Dia sering datang ke sini sewaktu kamu masih kecil. Seminggu tak kurang sekali dua pasti dia menjengah walaupun sebenarnya dia tinggal di kawasan lain. Masjid ini terbina sebegini kerana sifat pemurahnya Abu Muhammad. Jika ada apa-apa pasti dia akan menghulurkan bantuan,” panjang Tok Imam berbicara. Secara tiba-tiba pandangannya semakin suram.
"Tapi, ALLAH lebih menyayanginya. Semasa Qaiser kecil dan beberapa tahun selepas Ummu Muhammad meninggal dunia, Abu Muhammad pula menyahut seruan Ilahi. Tinggallah Qaiser besama adiknya, Cahaya,” sambung Tok Imam.
'Oh, jadi tadi mungkin adiknya yang bernama Cahaya,' detus hati Farhan. Tok Imam cuba mengembalikan senyumannya. “Kamu pergilah tegur dia, insyaALLAH boleh bersahabat selepas ini,” cadang Tok Imam. Dia menepuk bahu Farhan lalu berlalu pergi menuju arah Qaiser. Setelah bersalaman, Tok Imam melangkah keluar dari masjid. Meninggalkan Farhan yang sedang bingung memerhati Qaiser.