Sunday, July 29, 2012

LIMA PULUH SATU



Fajar menyingsing pergi. Farhan berjalan kaki cuba menenangkan diri. Setiap satu langkah diiringi istighfar. Setiap hela nafasnya bersulam duka. Sukar sekali baginya menikmati keindahan dunia yang hanya sementara ketika itu. Kehijauan taman di Bukit Batok tidak mampu melembutkan hatinya. Farhan meneruskan perjalanan. Dia berjalan hingga dia menemui sebuah masjid.
Ar-Raudhah,” bisiknya sendiri.
Sudah menjadi kebiasaan baginya untuk menziarahi rumah Allah jika berkesempatan. Perasaan hatinya ditepis. Dia melangkah menuju ke Masjid ar-Raudhah itu, mengambil wudhu' dan menunaikan solat tahiyyatul masjid. Lama dia di dalam sujudnya dan berdoa. Bukan untuk menghilangkan kesedihan, bukan pula untuk memberikan apa yang terbaik untuk dirinya. Dia berdoa, supaya Allah meredhai akan dirinya.
Adakah Engkau redha akanku ya Allah?” hatinya berbicara.
Farhan melangkah ke satu sudut di ruang solat masjid lalu duduk di situ. Dia beriktikaf, mengingaati hadith di dalam kitab Sahih Bukhari, Abdullah bin Umar r.a. berkata, "Rasulullah s.a.w biasa melakukan i'tikaf pada sepuluh hari yang terakhir dari bulan Ramadhan."
Matanya dipejamkan. Dia teringat ketika kedua ibu bapanya bertanya mengapa dia tidak mahu menjadi seorang doktor. “Farhan tidak mahu terlalu sibuk hinggakan tiada masa untuk beribadah,” balasnya ketika itu. Sememangnya dia seorang yang suka mengunjungi masjid. Di hujung minggu jika dia ketiadaan kelas mahupun apa-apa yang perlu dibuat, dia akan memandu merentasi Indonesia, berhijrah dari satu masjid ke masjid yang lain.
Matanya dibuka. Dia tidak tahu hendak berbuat apa. Sudah cukup kejutan yang diberikan Qaiser apabila dia melamar Iklil. Dia tidak mampu untuk menunggu di situ untuk bertanya. Bukan kerana dia tidak mahu mendengar sebab, tapi dia tahu dia akan menarik balik lamarannya pula. Qaiser seribu kali lebih baik daripadanya dirinya pada pandangannya. Sudahlah berjaya di usia muda, kehidupannya sangat menitik beratkan Islam.
'Siapakah aku, untuk menandinginya?' fikir Farhan sendiri.
Matanya dipejamkan. Memori lama terimbau kembali. Pertemuan pertamanya dengan Qaiser.
*****

LIMA PULUH


Farhan terkedu di penjuru masjid. Dia tidak percaya dengan apa yang didengarnya. Qaiser telah melamar Iklil Bahiyyah sejurus selepas dia memberitakan lamaran bagi pihaknya. Hampir sahaja dulang ditanggannya terlepas ke lantai. Dia menguatkan diri untuk utuh berdiri. Dulang yang berisi minuman dan kuih-muih untuk sahabatnya itu diletakkan di satu sudut. Farhan keluar dari masjid. Hatinya memarahi diri sendiri kerana tidak sabar.
Amirullah memegang tangan Qaiser, mengharapkan penjelasan. Namun Qaiser tidak memberi reaksi apa-apa. Lalu Amirullah menganggukkan kepala dan berlalu pergi. Dia berjalan menuju ke kediamannya. Salam diberikan di pintu rumah dan kedengaran suara Iklil menyahut. Dia meminta Iklil duduk di halaman rumah bersamanya lalu Iklil menurut.
Adakah sesuatu yang menganggumu?” tanya Iklil.
Amirullah menggelengkan kepala. “Tidak, abang hanya hendak menyampaikan hajat.” balasnya. “Dan apakah hajat itu?” tanya Iklil lagi. “Wahai Iklil Bahiyyah, adakah kamu bersedia untuk bernikah?” tanya Amirullah kembali.
Bukankah anta sendiri mengetahui hadith Nabi s.a.w, 'Apabila datang melamar kepadamu seseorang yang kamu redha agamanya dan akhlaknya, maka kahwinkanlah. Jika tidak kamu laksanakan, maka akan terjadi fitnah di muka bumi dan kerosakan yang luas.' Masihkah abang ada keraguan tentang kesediaan Iklil?”
Sekali lagi Amirullah menggelengkan kepala. “Tidak, wahai adikku. Maka dengarkanlah, dirimu dilamar oleh dua pemuda yang abang redha akan agama dan akhlak mereka. Dengarkanlah pengetahuan tentang mereka dan bermusyawarahlah denganku.

Bagi yang pertama, seorang yang amanah dan
keimanannya hanya Allah yang mengetahui. Al-Quran di dadanya seperti mana di perlakuannya. Istikharah sudah dilakukannya, dan jawapannya adalah anti, wahai adikku.

Bagi yang kedua pula, seorang yang mengalami kesukaran di dalam hidupnya dan ketahuilah bahawa Allah tidak akan menduga hambaNya melebihi kemampuannya. Ketahuilah bahawa dia seorang yang bersopan dan berbudi, lamarannya ini tidak ku ketahui sebabnya.”
Tidak adillah bagiku jika tidak mengetahui sebabnya kerana istikharah itu petunjuk Allah, dan lamaran kedua itu juga mungkin gerak hati dari Allahu Rabbi. Kembalilah abang kepada yang bertanya dan meminta kepastian. Adik menunggu,” balas Iklil. Kemudiannya dia bangun dan mengucapkan salam sebelum kembali masuk ke dalam rumah.

EMPAT PULUH SEMBILAN


“Adik anta yang bernama Cahaya itu bersama siapa?” Amirullah bertanya kepada Qaiser. Mereka berdua sedang berehat di anjung masjid. Masing-masing sedang berzikir, menghayati ayat al-Quran di dalam surah ar-Ra'd.
Ketahuilah, dengan mengingati Allah hati akan menjadi tenang,” balas Qaiser.
Amirullah menyepi, menerima teguran. Ditepisnya perasaan ingin tahu. Entah kenapa, hatinya yang tenang selama ini terkesan dengan kehadiran seseorang yang dia tidak pernah lihat mukanya. Seingatnya dia tidak pernah bertemu, jadi apa salahnya bertanya. Tapi dia mengenali bagaimana Qaiser, seperti mana dia berbicara. Beberapa ketika kemudian dia terasa seperti Qaiser memerhatikannya. Dalam kegelapan itu dia masih mengetahui Qaiser sedang tersenyum. Bahkan, selama dia mengenali Qaiser, tidak pernah dia terlihat Qaiser bermasam muka.
Adakah diri atau nafsumu yang akan berbicara?” Qaiser menganjurkan pertanyaan. Amirullah senyap memikirkan bicara dan membetulkan niatnya di dalam hati. “Iringilah ana ke dalam kebenaran, insyaAllah 'akal dan hati masih mendahului,” balas Amirullah. “Maka dengan itu, ana memulakannya. Dengan nama Allah ana berbicara, insyaAllah niat ana ke mari berjumpa anta, adalah untuk melamar Iklil Bahiyyah binti Syed Furqon. Anta walinya, adakah anta akan terima kewalianmu?” tanya Qaiser.
Ana terima kewalianku. Ya ikhwani, adakah sebarang soalan tentang jagaanku ini?” Amirullah pula membalas. Kedengaran Qaiser mengambil nafas. Pengkhitbahan bermula.
Adakah jagaanmu itu sudah dilamar sebelum ini?
“Sudah, tapi tiada yang diterima. Maka jagaanku bukan tunangan sesiapa.”

“Adakah jagaanmu itu dara atau janda?”
“InsyaAllah sepanjang pengetahuanku dan dengan pemeliharaan Allah, seorang dara.”

“Adakah keputusan di tanganmu seorang atau anta akan bertanya kepadanya?”
“Ana akan bertanya kepadanya, insyaAllah.”

“Maka, khabarkanlah kepadanya. Dirinya dipinang oleh Farhan as-Samih, seorang yang amanah dan keimanannya hanya Allah yang mengetahui. Al-Quran di dadanya seperti mana di perlakuannya. Khabarkanlah, istikharah Farhan as-Samih menjadi tekad.”

Amirullah menganggukkan kepala. “InsyaAllah,” balasnya. Sedang dia berkira-kira mahu berdiri atau tidak, Qaiser menyambung kembali perbicaraan.

“Dan khabarkanlah kepadanya. Dirinya dipinang oleh Muhammad Qaiser Zahirul Haq-qul Furqon.”

EMPAT PULUH LAPAN

"Iqra'."


“But,” Nadhirah cuba membantah. Surat yang tadinya dihadapannya sudah dipegang oleh Qaiser. “Iqra',” ulang Qaiser. Nadhirah tidak jadi meminta Qaiser membaca surat itu. Dia mula membaca surah al-Fatihah disusuli surah ar-Rahman secara tartil.
“Dan nikmat Tuhanmu yang manakah yang kamu dustakan?
Maha Suci nama Tuhanmu Pemilik Keagungan dan Kemuliaan.”
Setelah Nadhirah menamatkan bacaannya. Qaiser bangkit dari duduk lalu memberikan senyuman kepada Nadhirah sebelum melangkah keluar. Nadhirah tahu abangnya itu mahu berfikir. Naskhah al-Quran itu kembali diletakkan di atas meja kecil itu lalu dia mula mengeluarkan pakaian dari bagasi untuk disusun di dalam almari. Berbeza dengan kediamannya di Malaysia, kediaman Amirullah sederhana sekali. Terletak betul-betul di sebelah masjid dan sekitarnya pohon menghijau.
Setelah selesai mengemas, Nadhirah memakai niqab sebelum melangkah keluar dari bilik. Qaiser, Farhan dan Amirullah akan bermalam di masjid kerana tidak mahu berlakunya fitnah walaupun hanya semalam sahaja mereka berkunjung ke situ mengikut perancangan. Matanya melirik mencari kelibat Iklil. Hanya beberapa langkah dia sudah berada di hadapan pintu bilik Iklil dan segera dia mengetuk pintu dan memberi salam.
Kedengaran suara menjawab salam dan pintu bilik terbuka. Iklil Bahiyyah tersenyum melihat gerangan dihadapannya. “Cahaya selesa?” tanya Iklil. Nadhirah menganggukkan kepala. “Alhamdulillah, terima kasih sudi menerima kami sebagai tetamu,” balas Nadhirah. Iklil melebarkan senyumannya, terserlah kegembiraan di wajahnya. “Bukankah tetamu itu suatu penghormatan yang mulia kepada tuan rumah? Marilah, Cahaya, kita makan bersama. Pasti Cahaya sudah lapar bukan?” gesa Iklil sambil menarik tangan Nadhirah. Mereka berdua berjalan beriringan menuju ke dapur. Iklil membuka tudung saji dan membuka pintu peti ais untuk mengambil jus.
“Kenapa ada kuih koci?” tanya Nadhirah memecahkan kesunyian yang sementara. “Abang teringin nak makan beberapa hari lepas, tapi baru tadi Iklil jumpa gerai yang menjualnya. Cahaya suka bukan? Makanlah,” balas Iklil. Nadhirah terdiam. Ketenangan hatinya bergolak kembali namun dirahsiakan. Dia menjamah juga sedikit kuih itu bagi menjaga hati Iklil.