Saturday, February 2, 2013

LIMA PULUH DUA


Farhan melirikkan mata ke tangan kanannya, melihat jam. “Sudah hampir tiba waktu Zohor,” bisiknya sendiri. Dia memerhati sekeliling. Langkahnya dihala menuju ke arah masjid berdekatan. Masjid itu hanya berjarak beberapa ratus meter sahaja dihadapannya. Tidak jauh daripadanya, dia terlihat seorang wanita berpurdah sedang berjalan seorang diri. Dia kehairanan, tidak pernah lagi dia melihat seorang yang memakai purdah di kawasan kediamannya itu. Arah yang mereka tuju juga sama, ke arah masjid. Dia menepis segala andaian. “Bukan urusanku,” dia menegur dirinya sendiri.
Sedang dia menghampiri destinasi, wanita di hadapannya berlari menuju ke arah jalan raya. Farhan terpana. Dia tahu kenderaan sedang lalu-lalang di situ. Beberapa saat kemudian bunyi hon mula bingit kendengaran. Pantas langkahnya cuba mengejar untuk melihat apa yang berlaku. Dia berlari hingga kelibat wanita itu dilihat. Terhenti dia di tepi jalan. Ditengah jalan raya itu, wanita yang dilihatnya tadi sedang memegang seekor anak kucing. Beberapa inci saja di sebelahnya, sebuah kereta yang sedikit lagi akan melanggar jika tidak berhenti tepat pada masanya.
"ALLAH,” bisik Farhan. Tangannya mengurut-urut dada. Dia membuka mulut, mahu berbicara.
"ALLAHU AKBAR, ALLAHU AKBAR,” azan berkumandang. Farhan membatalkan niat untuk menegur. Wanita dihadapannya bangun dan berjalan menuju ke arahnya. Dia terkejut. Beberapa tapak sahaja jarak mereka, wanita itu menghala ke sebelah kanan. Menuju ke arah masjid. Pemandu-pemandu kenderaan di sekitar memandang satu sama lain kebingungan. Namun mereka tidak membuang masa lalu kembali ke kenderaan masing-masing dan meneruskan perjalanan.
Farhan juga kembali meneruskan langkah. Dari kejauhan dia melihat wanita itu menghampiri seorang lelaki berjubah putih di hadapan pintu masjid. Anak kucing itu bertukar tangan. Lelaki itu yang sedang tersenyum meletakkan tangan kanannya di atas kepala wanita itu. Kemudiannya, kedua-dua mereka masuk ke perkarangan masjid dan berpisah masing-masing menuju ke bahagian muslimin dan muslimat. Farhan tersenyum sendiri. 'Mungkinkah mereka sepasang suami isteri?' detus hatinya.
Azan terus berkumandang hingga tamat. Farhan mengambil wudhu' dan menunaikan solat tahiyyatul masjid sebelum solat sunat qabliyyah Zohor. Tidak jauh daripadanya, di saf pertama, dia terlihat kelibat lelaki berjubah tadi. Di hadapannya serban yang sudah terbentang dan seekor ana kucing sedang tidur diatasnya. Farhan terkesan dengan apa yang dilihat.
Iqamat berkumandang. Farhan menuju ke saf pertama. Takbir diangkat, “ALLAHUAKBAR.”

No comments:

Post a Comment