Saturday, December 31, 2011

EMPAT PULUH


“Mak cik restu,” suara Mak Cik Maimunah memecahkan kesunyian yang sementara itu. Kesemua mata memandang ke arahnya. “InsyaAllah, Cahaya akan dijaga dengan baik,” tambahnya lagi. Pak Cik Zahid, Pak Hassan dan Mak Cik Embun menganggukkan kepala mereka. Ketiga-tiga mereka turut merestui perkahwinan Nadhirah. Nadhirah tersenyum, lalu mengucapkan 'Alhamdulillah' di dalam hatinya. Dia bersyukur kerana kesemua orang yang paling dikasihinya menerima dengan redha. Dia memeluk Mak Cik Embun dan Mak Cik Maimunah. Tidak lama kemudian, dia menemani mereka semua ke pintu lalu melihat mereka menaiki kenderaan masing-masing untuk pulang ke rumah.
Nadhirah memandang Qaiser disebelahnya. “Alhamdulillah,” kata Nadhirah. Qaiser senyum. “Tak sangka adik abang akan berkahwin dulu dari abang,” usik Qaiser. MataNadhirah terbeliak, dia memukul abangnya di lengan kanan. “Mana ada. Nadhirah kahwin tahun depan. InsyaAllah, sebelum itu abang kena kahwin dulu,” tingkah Nadhirah. Sebolehnya dia mahu mendirikan rumah tangga selepas Qaiser berkahwin. Dia tidak mahu dikatakan 'langkah bendul'. Walaupun dia tahu mungkin saudara-maranya tidak kisah, namun dia masih akan terasa pelik jika abangnya berkahwin selepas dia.
Qaiser menggelengkan kepala. “InsyaAllah, belum sampai masanya lagi. Bukankah abang akan melanjutkan pelajaran ke Belford tak lama lagi? Mungkin hanya seminggu dua saja abang di sini,” kata Qaiser. Dua tahun lagi barulah pembelajaran peringkat sarjananya akan tamat. Ketika itulah baru dia hendak memikirkan tentang perkahwinan.
Abang nak tinggalkan Cahaya lagi?” tanya Nadhirah sambil membuat muka sedih. Di matanya jelas terpancar kesedihan yang mula singgah di hati. Qaiser baru sahaja mendapat segulung ijazah, kini perlu lagi ke luar negara untuk menyambung pelajaran. Bukan selalu Qaiser akan kembali ke Malaysia. “Mana ada abang nak tinggalkan Cahaya, kan setiap hari abang telefon Cahaya... Tengok bil telefon itu, melambung naiknya,” gurau Qaiser mencuba untuk menghiburkan hari Nadhirah. “Orang tak suruh pun telefon,” gumam Nadhirah sendiri. Memang benar Qaiser akan menelefon dia setiap hari. Dia tidak suka sekadar bersembang di Yahoo Messenger.
Sudahlah, hanya 2 tahun sahaja lagi, abang akan terus menetap di sini. Cahaya sudah penat bukan? Pergilah ke bilik dan berehatlah. Jangan lupa untuk membaca al-Quran,” kata Qaiser menutup perbualan. “Abang kejutkan Cahaya untuk qiamullail boleh?” tanya Nadhirah. “InsyaAllah. Cahaya jangan tak bangun pula. Nanti abang renjiskan dengan air sejuk,” gurau Qaiser lagi. Sekali lagi lengannya menjadi mangsa pukulan Nadhirah. Qaiser hanya membalas dengan senyuman.

TIGA PULUH SEMBILAN


“Abang, kenapa ayahanda menyuruh Cahaya memakai niqab?” tanya Nadhirah yang berumur 6 tahun itu. Dia melihat abangnya sayu dengan mata birunya yang bundar. Terasa kasihan sedikit apabila Qaiser melihatnya. Adiknya itu baru sahaja hendak mendaftar memasuki tadika. Walaupun kebanyakan murid tadika itu diasuh untuk memakai hijab, namun Nadhirah telah diarahkan ayahandanya untuk memakai niqab. Tiada siapa pernah melihat wajah adiknya yang satu-satunya itu.
Qaiser meletakkan tangan di atas kepala Nadhirah. “Tahukah adikku, Fatimah r.ha pernah berkata,
'Seorang wanita itu lebih cantik daripada mangkuk yang cantik, wanita yang berpurdah itu lebih manis daripada madu, dan mendapatkan seorang wanita yang tidak pernah dilihat orang lain kecuali muhrimnya lebih sulit dari meniti sehelai rambut,” kata Qaiser sambil mengusap kepala Nadhirah.
Mungkin kerana itu, ayahanda meminta Cahaya memakai niqab. Ayahanda mahukan Cahaya menjadi wanita yang istimewa dan sukar untuk dicari. Abang juga ingin Cahaya menjadi wanita sebegitu. Wanita yang menjada dirinya, yang menjaga agama dan maruahnya. Aduhai Cahaya, wajahmu persis wajah bonda. Sedangkan abang juga tidak mengingati wajah bonda, namun kata ayahanda, lihatlah Cahaya maka bonda akan berada di situ.Cahaya, bonda juga berniqab setelah bernikah dengan ayahanda. Tidakkah Cahaya ingin menjadi seperti bonda?” tambah Qaiser.
Nadhirah menundukkan kepala. Air matanya mengalir membasahi pipi. “Tapi Cahaya tidak pernah melihat bonda,” kata Nadhirah. Qaiser membiarkan air mata itu mengalir. Dia tidak mahu adiknya bersedih di kemudian hari, biarlah dia bersedih hari ini. Pandangannya dihalakan ke muka pintu. Ayahandanya sedang berdiri di situ. Beberapa saat kemudian, ayahandanya berlalu pergi. Qaiser kembali memandang Nadhirah. Dia menahan air mata sendiri. Sudah dia berjanji sejak dia mula memahami apa yang terjadi dalam hidupnya, bahawa dia tidak akan menangis. Dia juga tidak pernah ketawa, hanya tersenyum sahaja jika gembira.
Tidak lama kemudian Nadhirah berhenti menangis lalu memandang abangya. “Nak tisu,” kata Nadhirah. Qaiser tersenyum lalu menghulurkan sekotak tisu. Adiknya sudah menghilangkan segala kesedihan di dalam hati. “InsyaAllah, Cahaya akan istiqamah memakai niqab dengan ikhlas,” kata Cahaya sambil menghembuskan hidungnya. Sekali lagi Qaiser tersenyum. Kata-kata Nadhirah bagaikan seorang wanita yang matang namun perilakunya tetap kebudak-budakan. “Ana uhibbuka akul haga. Wa anti?” tanya Qaiser. “Aiwa. Eiz eh?” tanya Nadhirah kembali. “Kuih koci,” jawab Qaiser. Nadhirah tersenyum lalu terus memakai hijab dan berniqab dan mengikut Qaiser pergi ke dapur sambil memanggil nama Mak Cik Embun dan Mak Cik Maimunah meminta kuih koci.

TIGA PULUH LAPAN


Kediaman Qaiser pada malam itu sepi seperti biasa. Namun, kali ini, semua pembantu rumah masih berada di situ. Tidak kembali ke kediaman masing-masing. Nadhirah telah meminta mereka tunggu seketika kerana dia mahu berbincang tentang lamaran Amirullah. Mereka semua baru sahaja selesai solat Isya' berjemaah dan sedang berehat di ruang tamu.
Pak Cik Zahid, Pak Hasan, Mak Cik Maimunah dan Mak Cik Embun, Cahaya hendak membicarakan sesuatu,” kata Nadhirah memulakan bicara. Keempat-empat mereka sangat dihormati oleh Qaiser dan Nadhirah. Mereka semua telah bekerja sejak Nadhirah dilahirkan dan bonda mereka menyambut seruan Illahi. Ayahanda Qaiser dan Nadhirah pula menyusul beberapa tahun kemudian kerana sakit. Qaiser dan Nadhirah telah menganggap mereka sebagai keluarga sendiri.
Cahaya nak cakap tentang mat saleh yang datang rumah tadi ke?” tanya Mak Cik Embun. Nadhirah dan Qaiser tersenyum. Ramai yang salah sangka akan keturunan Amirullah walaupun sebenarnya memang susur galurnya berdarah Inggeris-Melayu. “Mestilah tentang itu, kamu ini pun Embun,” kata Pak Hasan. “Dia datang meminang Cahaya ke?” tanya Pak Cik Zahid pula. Cahaya mengangguk. “Ya, dia datang untuk melamar saya. Sebab itulah, saya hendak bertanya, adakah pak cik dan mak cik restu,” terang Nadhirah. “Bukankah Cahaya masih bersekolah? Muda lagi nak kahwin,” kata Mak Cik Maimunah yang sedari tadi hanya mendengar sahaja.
Ketiga-tiga kepala di sebelahnya mengangguk-angguk. Mereka juga beranggapan Nadhirah masih terlalu muda untuk berkahwin. “InsyaAllah, kalau diikutkan, Cahaya akan bernikah setelah umur Cahaya 18 tahun. Sekarang hanya bertunang sahaja. Ini cincin lamaran yang diberikan Amir tadi,” kata Nadhirah sambil meletakkan kotak baldu bersaiz kecil yang berwarna biru tua di atas meja. Pak Cik Zahid mengambil kotak itu lalu dibuka. “Maksudnya dia serius dengan Cahaya...” luah Pak Cik Zahid. “Kalau begitu, pak cik setuju,” tambahnya lagi.
Dia pernah melihat wajah Cahaya?” tanya Mak Cik Embun. Cahaya menggeleng. “Kamu ini Embun, kamu dan aku pun tak pernah tengok wajah dia selepas dia memakai niqab, manakan pula lelaki mat saleh itu,” tingkah Pak Hasan. “Manalah tahu, dia pernah jumpa Cahaya masa Cahaya kecil lagi, tak pakai niqab,” kata Mak Cik Embun mempertahankan diri. Dia teringat pesanan ayahanda Nadhirah. Dia dan Mak Cik Maimunah telah diamanahkan untuk tidak membenarkan seorang pun lelaki melihat wajahnya kecuali Qaiser. Malah wanita juga tidak dibenarkan setelah Nadhirah sudah mampu memahami pemakaian niqab.
Qaiser memandang adiknya. Dia tahu Nadhirah terasa sedikit apabila Pak Hasan mengatakan begitu walaupun dia tahu Pak Hasan tidak berniat apa-apa apabila mengatakannya. Qaiser teringat kembali perbualannya dengan Nadhirah ketika dia mula memakai niqab.

TIGA PULUH TUJUH


Nadhirah memberi salam lalu terus sahaja masuk ke dalam rumah. Dia telah dijemput oleh pemandunya yang dipanggil Pak Cik Zahid di sekolah tadi. Tatkala kakinya sudah melangkah di dalam rumah, dia sudah melihat bermacam lagi jenis bunga yang berwarna putih. “Kali ini bunga betul pula,” desis hatinya. Dia tersenyum sendiri membayangkan bagaimana pembantu-pembantu rumahnya akan sibuk mengemaskan bunga-bunga itu apabila ia layu nanti.
Cahaya,” panggil satu suara. Pandangan Nadhirah melirik ke tangga dan melihat Qaiser sedang melangkah menghampirinya. Di belakang Qaiser adalah lelaki yang dikenali sebagai Amirullah itu. “Apa Amir itu buat di sini?” tanya Nadhirah. Amirullah terkejut, tiada siapa pernah memanggilnya dengan nama pendek seperti itu. Malahan kawan-kawannya semua menggunakan panggilan 'Amirullah'. “Cahaya, tak manis memanggil seseorang dengan nama yang tidak disukainya. Panggillah Amirullah,” tegur Qaiser. “Tapi...” Nadhirah cuba membantah. “Tak apa, Qaiser. Ana terima saja panggilan apa pun,” potong Amirullah. Nadhirah menjeling Amirullah. “Jangan harap nak ambil hati aku,” bisiknya di dalam hati.
Mari kita duduk dan berbincang. Cahaya sudah solat kan di sekolah tadi?” tanya Qaiser. Nadhirah sekadar mengangguk. Mereka bertiga duduk di ruang tamu. Nadhirah di sebelah Qaiser manakala Amirullah pula di hadapan mereka berdua. Amirullah memulakan bicara,
Begini, saya rasa sudah sampai masanya untuk saya mendirikan rumah tangga. Walaupun saya masih belajar, insyaAllah saya mampu untuk menyara seorang isteri. Setelah beristikharah dan mencari, saya dipertemukan dengan awak,” Amirullah memandang Nadhirah. “Saya dipertemukan dengan Nur Ghazalah Nadhirah.” “Saya rasa saya tidak pernah bertemu dengan awak,” tungkas Nadhirah. “Benar, saya hanya ternampak ketika saya sedang menemani rakan saya di Masjid Negeri minggu lepas. Bukankah awak dan abang awak juga berkunjung ke situ pada masa yang sama?” jelas Amirullah.
Nadhirah terdiam. Dia mengingat kembali kunjungannya ke Masjid Negeri minggu lepas. Sememangnya setiap hujung minggu Qaiser akan membawanya ke situ untuk solat berjemaah dan beriktikaf seharian. Pasti Amirullah terlihatnya ketika dia keluar untuk memperbaharui wudhu' ketika waktu solat seterusnya hampir tiba. “Bagaimana awak tahu siapa saya?” tanya Nadhirah lagi. “Saya bertanya kepada semua yang hadir di saat itu dan tatkala saya ternampak Qaiser di kalangan jemaah, saya juga bertanya kepada dia. Subhanallah, rupa-rupanya ternyata Qaiser abang kepada wanita berniqab yang telah mengetuk pintu hati saya,” jelas Amirullah.
Qaiser yang mendengar hanya menyepikan diri. Bibirnya tidak berhenti dari berzikir dan berselawat. Persoalan jodoh baginya belum lagi mampu dibicarakan. Dia baru sahaja mendapat surat tawaran ke Belford ketika itu.

Tuesday, December 27, 2011

TIGA PULUH ENAM


“Qaiser,” satu suara memanggil. Qaiser tersenyum, Nadhirah berpaling lalu melihat lelaki itu kini sedang menghampiri mereka berdua. “Amirullah,” balas Qaiser. Nadhirah berpaling kembali pada Qaiser. “A muslim?” tanya Nadhirah. “A Malay Muslim,” balas Qaiser. Nadhirah mengecilkan kedua matanya, cuba memahami. Tanpa dia sedari, lelaki yang bernama Amirullah itu sudah berdiri di sebelah abangnya. “Cahaya, saya Muhammad Amirullah,” sapa lelaki itu sambil tangan kanannya diletakkan di atas dada, tanda memperkenalkan diri. “So you can speak in Malay?” tanya Nadhirah. “Saya tak pernah beritahu saya tak pandai berbahasa Melayu. Awak yang memulakan perbicaraan dengan bahasa Inggeris. Saya ikut sahaja,” balas Amirullah sambil tersenyum. Qaiser jua tersenyum.
Nadhirah malu sendiri. Jika wajahnya tidak dilindungi niqab, pasti ketara perubahan rona wajahnya yang sudah bertukar menjadi kemerah-merahan. “Apa yang awak lakukan di sini? Malahan melamarku di hadapan semua yang ku kenali. Bukankah lamaran itu sebaiknya melalui seorang wali? Nah, ini abangku. Bincanglah bersama dia,” kata Nadhirah sedikit tegas. Kawan sekelas sudah mula mengintai dari tingkap kelas walaupun kedengaran suara-suara guru meminta mereka duduk di tempat masing-masing. Malah, guru-guru itu juga mengarah sambil mata mereka memandang ke arah Nadhirah.
Amirullah tergelak kecil. “Sudah saya maklumkan segalanya kepada Qaiser, namun dia hanya berkata, 'tanyalah kepada tuan punya badan sendiri'. Lalu, saya datang ke mari dengan tujuan untuk bertanya kepada awak sahaja,” jawabnya. Nadhirah kini memandang Qaiser. “InsyaAllah, kita akan sambung perbincangan ini setelah tamat waktu persekolahan. Abang tidak mahu menganggu Cahaya. Amirullah, kita pulang,” kata Qaiser. Nadhirah geram melihat abangnya tenang dalam situasi seperti itu. Namun tiada apa yang mampu dia lakukan, abangnya berfikiran rasional. Perbincangan sebegitu memang seharusnya dilakukan di rumah.
Baiklah,” kata Nadhirah pendek. Dia menyalam tangan Qaiser dan masuk kembali ke kelas tanpa mempedulikan Amirullah. Seketika kemudian dia keluar kembali lalu berkata, “Your taste in choosing flowers is awkward. Those are fake, even I can see.” Pandangannya ditujukan kepada Amirullah lalu kembali meninggalkan mereka berdua di luar. Amirullah memandang Qaiser yang masih tersenyum dalam ketenangan. “She doesn't know that there is no real purple flowers to be found anywhere in Malaysia in that quantity,” katanya. Gelaknya di tahan. Mereka berdua berjalan beriiringan menuju ke kenderaan masing-masing. Meninggalkan Nadhirah di dalam kelas sedang diajukan beribu persoalan dan pekerja-pekerja yang menyusun bunga-bunga di sekeliling sekolah pula untuk. Sekolah yang sememangnya bertemakan warna ungu itu kelihatan lebih meriah dengan bunga-bunga itu.

TIGA PULUH LIMA


“Assalamualaikum,” Nadhirah memberi salam. Lelaki berbadan tegap itu tidak menoleh.
“Assalamualaikum,” Nadhirah mengulangi salam. Takut jika salamnya yang pertama tidak didengari. Kali ini lelaki itu menoleh dan mereka berdua bertentangan. Nadhirah sedikit terkejut memandang lelaki itu. Kulitnya cerah, rambutnya tidak hitam malah lebih kepada coklat gelap. Matanya pula berwarna hazel. Bibir yang merah itu mengukir senyuman lalu ternampak lesung pipit di sebelah kanan. “Mat saleh ke?” bisik hatinya.
Wa'alaikumussalam,” balas lelaki dihadapannya itu. Kedua-dua mereka menatap satu sama lain dalam jarak tiga langkah. Mereka berdua tahu, setiap murid dan guru di sekolah itu sedang melihat apa yang berlaku. Malah pekerja-pekerja yang sedang berehat juga memasang telinga. “Do I know you?” tanya Nadhirah. Dia takut lelaki itu tidak memahami bahasa Melayu. “Of course you don't,” balas lelaki itu. “Sah, mat saleh,” bisik hati Nadhirah lagi. Loghat yang digunakan adalah yang selalu digunakan oleh orang British. Dia semakin hairan dengan kehadiran lelaki itu.
What are you trying to do with those flowers?” tanya Nadhirah sambil jarinya menunjuk bunga-bunga di tengah padang itu. “I was trying to spell your name, Cahaya,” balas lelaki itu. Dahi Nadhirah berkerut. Tidak semena-mena, lelaki itu melutut dan duduk di atas satu kaki sambil mengeluarkan sebuah kotak kecil dari kocek seluarnya. Tangan kanannya menghalakan kotak itu ke arah Nadhirah sambil tangan kirinya membuka kotak itu. Kelihatan sebentuk cincin di dalamnya. “Will you marry me, Nur Ghazalah Nadhirah?”
Nadhirah tidak menjawab. Dia berpusing lalu meninggalkan lelaki itu terpaku di situ bersama semua yang melihat. Maruahnya dirasakan tercalar. Mana mungkin dia mahu dilamar sebegitu rupa dihadapan satu sekolah oleh seorang yang tidak dikenali? Dia kembali ke kelas dan tanpa disangkanya, Qaiser berada di luar pintu kelas. “Abang,” panggil Nadhirah. Qaiser mengangkat muka lalu tersenyum.
Nadhirah menghulurkan tangan lalu menyalam tangan Qaiser. “Apa abang buat di sini?” tanya Nadhirah. “Abang ingat, abang sempat halang orang nak melamar Cahaya,” balas Qaiser. Dia hanya memandang muka adiknya dengan penuh kelembutan dan kasih sayang. “Jadi abang tahulah mat saleh itu siapa?” ujar Nadhirah. Dia hairan bagaimana abangnya boleh mengetahui orang yang bukan Melayu. Tiba-tiba dia tersedar, abangnya menuntut di luar negara. 'Mungkin kenalannya di sana,' bisik hatinya.

TIGA PULUH EMPAT


Kisah Amirullah dan Nadhirah, 7 tahun lalu.

“Nadhirah,” jerit seorang wanita berpakaian baju kurung merah dan bertudung labuh. Lagaknya seperti seorang guru disiplin sambil memegang rotan, dia memanggil-manggil nama tersebut. “Nadhirah,” ulangnya. Kali ini sahutannya bersahut. “Ya, cikgu,” balas Nadhirah. Dia memasuki kelas dan berhadapan dengan guru kelasnya itu. “Kenapa ya cikgu?” tanya Nadhirah. Dia sedang berborak dengan rakannya di koridor ketika dia mendengar namanya dipanggil. “Itu, kamu tengok apa yang ada di situ,” kata Puan Juliana sambil rotannya dihalakan ke luar tingkap di tepi kelas.
Nadhirah melangkah mendekati tingkap kelas. Kelasnya menghadap padang sekolah. Tidak semena-mena semua rakan kelasnya mengintai ke luar tingkap dan tergelak. Dia terkejut, tidak percaya dengan apa yang dilihatnya. Padang sekolah yang hijau sudah diwarnai dengan warna ungu. Apabila diperhatikan, warna-warna itu adalah bunga yang telah disusun rapi. Kelihatan beberapa orang lelaki masih sibuk menyusun bunga-bunga tersebut di tengah padang. “Kamu cuba baca apa yang pekerja-pekerja itu cuba buat,” kata Puan Juliana tegas.
C-A-H-A-Y-A,” balas Nadhirah. Walaupun huruf A yang terakhir masih dalam pembikinan, dia masih mampu membaca huruf-huruf tersebut. “Itu nama panggilan kamu bukan?” tanya Puan Juliana. Nadhirah mengangguk. “Takkan abang yang buat?” bisiknya sendiri. Puan Juliana mendengus kecil. “Saya tak kira, tak tambah, tak tolak, tak bahagi. Saya nak bunga-bunga itu dialihkan sebelum tamat sesi persekolahan. Saya benarkan kamu keluar kelas sekarang sampailah hal ini diselesaikan,” arah Puan Juliana. Muka anak muridnya itu dipandang, walaupun tidak kelihatan di sebalik niqab. Nadhirah adalah satu-satunya murid yang tidak pernah dia melihat mukanya.
Nadhirah sekadar mengangguk dan keluar daripada kelas. Uniform sekolahnya berwarna ungu kerana dia adalah pengawas. Niqabnya yang berwarna ungu juga dibuai-buai angin tika dia mempercepatkan langkah menuju ke padang. Sudah kelihatan beberapa orang guru yang mengintai untuk melihat apa yang berlaku. Tidak kurang juga rakan-rakannya yang tersenyum-senyum apabila dia melintasi kelas mereka.
Siapalah punya kerja ni,” gumamnya sendiri.
Dia sampai di padang, semua pekerja yang tadinya sibuk menyusun bunga sedang berehat di pondok. Mereka ternampak dia dan menunjukkan jari telunjuk ke arah kanan. Nadhirah melihat apa yang dimaksudkan mereka. Seorang lelaki, berpakaian kemeja putih dan seluar hitam sedang berdiri membelakangi dia. Nadhirah melangkah menghampiri.

Monday, December 26, 2011

TIGA PULUH TIGA

Iklil meletakkan telefon bimbit di atas meja. Dia berfikir sendiri. Nadhirah baru sahaja memaklumkan kedatangan Farhan ke Singapura esok hari. Dia tidak risau akan itu, dia juga tidak risau akan kehadiran Qaiser yang menemani Farhan. Dia hanya merisaukan, kehadiran Nadhirah ke Singapura. Dia tidak tahu ingin memberi reaksi bagaimana. Adakah seharusnya dia gembira, atau pun bersedih. “Mengapa pertemuan ini mesti berlaku?” bisik Iklil sendiri. Dia beristighfar. Tidak seharusnya dia mempersoalkan ketentuan Allah. Allah Maha Mengetahui apa yang ada di langit dan apa yang ada di bumi.
Langkahnya menuju ke kamar mandi, wudhu' diambil sekali lagi walaupun dia masih dalam keadaan suci, lalu dia menunaikan solat sunat dua rakaat. Usai solat, dia membaca al-Quran. Satu-persatu ayat dibaca, satu-persatu makna dilihatnya. Pada surah ar-Rahman, ayat 13, yang paling banyak diulangi di dalam al-Quran sebanyak 31 kali. “Maka nikmat Tuhanmu yang manakah yang kamu dustakan?”
Saat itu, Iklil menangis. Mula-mula setitik air mata jatuh, dia menahan. Diikuti titisan kedua dan kemudiannya dia tidak mampu. Hari itu dia tidak mampu menahan air mata. Semuanya melepaskan diri, mengalir dan terkena titisan-titisan itu pada al-Quran yang dipegangnya. Al-Quran itu ditutup dan dirapatkan kedadanya. Iklil Bahiyyah menangis. Menangis penuh penyesalan kerana kealpaannya dengan dunia, menangis penuh kesyukuran kerana nikmat Islam yang diberikan Allah sejak lahir, menangis penuh hiba mengenangkan memori yang bakal diulang kembali.
Mengapa, Tuhan?” dia berbisik. Dia tahu soalan sebegitu tidak patut diajukan. Tapi dia tidak dapat menahan diri daripada tetap bertanya.
Tangisannya lama sekali.
Tangisannya senyap sekali.
Kerana tangisan itu lama ditahan.
Dan mulutnya ditekup dengan sebelah tangan, agar tidak kedengaran oleh Amirullah.


*****

Tuesday, December 20, 2011

TIGA PULUH DUA


Farhan menjengahkan kepala ke dalam rumah. “Assalamualaikum,” diulangi salamnya buat kali ke tiga. Dia masih berdiri di hadapan pintu, tidak mahu masuk tanpa mendapat izin. 'Di mana pula Qaiser?' bisik hatinya. Dia mengeluarkan telefon bimbit dari saku seluarnya lalu mula mendail nombor Qaiser. Beberapa saat kemudian kedengaran suara Qaiser memberi salam apabila talian disambungkan. Farhan membalas salam lalu menyatakan kehadirannya di hadapan kediaman Qaiser.
Anta di rumah ana?” tanya Qaiser. Dia mula melangkah keluar dari ruang dapur menghala ke pintu utama. Dilihatnya dari tingkap dan kelihatan kereta Farhan diparkir di hadapan rumah. Dia membuka pintu dan ternyata Farhan dihadapannya kini. Kedua-duanya tersenyum dan telefon masing-masing kembali disimpan. “Sobahul khair,” sapa Qaiser lalu menghulurkan tangan dan menyalam Farhan. “Sobahun nur, ya akhi,” balas Farhan.
Masuklah,” pelawa Qaiser. Mereka berdua memasuki ruang tamu dan terus menghala ke ruang makan. “Anta dah sarapan?” tanya Qaiser. “Belum,” balas Farhan sambil menggelengkan kepala. Dia masih tidak menjamah apa-apa sejak menerima mesej daripada Nadhirah. “Cahaya di mana?” tanya Farhan. Dia duduk di sebelah Qaiser. “Cahaya baru sahaja lepas membuat donat. InsyaAllah, sekejap lagi dia hidangkan. Ana sudah maklumkan anta ada di sini,” balas Qaiser. Buat seketika mereka berbual tentang prestasi pelajar di QU. Farhan menyatakan bahawa dia sudah selesai menanda kertas jawapan dan sudah menghantar gred pelajar ke Bahagian Akademik untuk direkodkan. Slip graduasi pula akan siap seminggu selepasnya dan graduasi pula akan dilangsungkan hujung minggu berikutnya dengan izin Allah. Qaiser mendengar dengan khusyu'.
Perbualan mereka terhenti apabila Nadhirah keluar membawa talam berisi pinggan yang dipenuhi donat dan dua gelas air minuman. Nadhirah mengambil tempat duduk di hadapan abangnya. “Makanlah dulu,” jemput Qaiser. Farhan hanya mengangguk dan mula menjamah makanan yang terhidang. Sememangnya dia tahu Nadhirah suka memasak walaupun tidak kuat makan.
Setelah bersarapan, mereka berpindah ke ruang tamu. “Amirullah nak jumpa ana,” kata Farhan walaupun dia mengetahui Qaiser tahu akan perakara itu. Qaiser memandang Farhan. “Anta risau?” tanya Qaiser. Farhan menggelengkan kepala. “Bagaimana dengan Iklil? Sedangkan dia sendiri minta ditangguhkan apa-apa selepas graduasi,” balas Farhan. Qaiser tersenyum mendengar. “InsyaAllah, ana rasa tidak ada bezanya jika berjumpa Amirullah sebelum atau selepas graduasi. Pergilah ke Singapura, ana temankan,” ujar Qaiser. Riak Farhan berubah daripada tegang kepada lega. “Syukran ya akhi, ana akan tempahkan tiket kapal terbang untuk kita,” kata Farhan. Dia menoleh ke arah dapur. “Adakah Cahaya akan ikut?” sambungnya. “Ya, insyaAllah,” balas Qaiser pendek.

TIGA PULUH SATU


Qaiser perlahan-lahan menuruni tangga ke tingkat bawah. Dia tercari-cari kelibat adiknya, Nadhirah. Tadi dia sudah menjenguk ke bilik Nadhirah setelah pulang dari masjid namun tidak dilihatnya. Dia berjalan menuju ke dapur dan menjengukkan kepala. “Cahaya,” sahut Qaiser. “Ya abang. Yallah khusy gowwah,” kedengaran satu suara menyahut kembali dari ruang memasak. Qaiser melangkah masuk ke dapur dan terlihat Nadhirah di satu sudut.
Assalamualaikum, Cahaya,” Qaiser memberi salam dan datang menghampiri. Nadhirah menjawab salam lalu tersenyum. “Sa'ah kam dilwaqti?” tanya Nadhirah. Dia mengesat peluh yang menitik di atas dahi dengan lengan bajunya lalu kembali menguli doh tepung dihadapannya. “Lagi dua puluh minit waktu Dhuha akan tiba. Mengapa Cahaya menguli tepung ini?” tanya Qaiser. Cahaya memang gemar memasak, pastu saja ada resepi yang akan dicubanya setiap kali dia berkesempatan menjejakkan kaki ke dapur.
Nadhirah hanya menganggukkan kepala apabila pertanyaannya dijawab. “Amir hendak berjumpa Farhan,” katanya pendek. Qaiser menatap wajah adik kesayangannya itu. Kali pertamanya setelah sekian lama dia mendengar panggilan itu ditujukan kepada sahabatnya, Amirullah. “Emta?” tanya Qaiser. “Sabtu,” jawab Nadhirah. Kali ini giliran Qaiser pula menganggukkan kepala. “Cahaya ikut?” tanya Qaiser lagi. Nadhirah menyepikan diri. Dia sendiri masih berfikir-fikir. Qaiser hanya memandang adiknya, mengetahui dia masih belum membuat keputusan.
Abang berniat hendak melawat Amirullah,” kata Qaiser. “Cahaya mahu ikut?” pertanyaannya diulang. “InsyaAllah,” balas Nadhirah pendek. Doh dihadapannya sudah siap diuli. Dia mula membuat bentuk bulatan sebesar separuh tapak tangan dan membuat lubang di tengahnya. “Sejak bila Cahaya tahu buat donat?” tanya Qaiser. Dia tersenyum sendiri melihat gelagat Nadhirah yang memimikkan muka serius apabila berusaha membuat donat itu sebulat mungkin. “Sejak hari ini,” balas Nadhirah. Dia tersenyum lebar memandang Qaiser. “Nak tolong?” tanya Nadhirah sambil tangannya menghulurkan doh kepada Qaiser.
Qaiser membasuh tangan dan meletakkan sedikit tepung di tangannya lalu mengambil doh di tangan Nadhirah. Mereka bersama-sama menghabiskan pembuatan kuih donat itu. Walaupun Qaiser tidak begitu minat memasak, tetapi dia tahu, satu hari nanti akan tiba masanya di mana dia perlu membantu isterinya di dapur. Dia tidak mahu ketinggalan jika ada peluang untuk berlatih sekali-sekala di dapur. Dia hanya tersenyum apabila Nadhirah membandingkan donat yang dibentuknya dengan donat yang dibentuk Nadhirah. “Tak macam donat langsung,” gumam Nadhirah sendiri.

Saturday, December 17, 2011

TIGA PULUH

Nadhirah setia di dalam kamarnya menunggu waktu syuruk tiba. Hari itu dia amat mengantuk kerana malam sebelumnya dia sukar melelapkan mata. Dia cuba sedaya upaya untuk tidak tidur selepas Subuh dan mengingatkan diri tentang manfaat berjaga hingga terbitnya matahari. Buku Fiqh Wanita diletakkan di atas meja apabila dia terdengar telefonnya berbunyi tanda masuknya mesej. Dia sedikit keliru tentang siapa yang akan memberikan mesej seawal itu. Jam baru saja menunjukkan pukul 7. Dia menatap telefon bimbit di tangannya dan mengenali nombor yang terpapar lalu membuka mesej tersebut.
Assalamualaikum ya ukhti, 'asif menganggu masa begini. Ana cuma hendak beritahu, abang ana minta untuk berjumpa Farhan. Sudah ku katakan supaya ditunggu tamatnya graduasi, namun dia tetap bertegas. Hanya Allah mengetahui apa yang direncanakan, ana hanya menurut. InsyaAllah, kalau Farhan tidak sibuk, ana harap Cahaya boleh sampaikan padanya. Abang ingin berjumpa akhir minggu ini, insyaAllah. -Iklil Bahiyyah-”
Nadhirah terpaku. Dia beristighfar. Dalam fikirannya ligat bertanya, mengapa Amirullah ingin berjumpa Farhan secepat mungkin. Lalu dia tersenyum sendiri, 'Amirullah memang begitu,' fikirnya. Dia mengalihkan pandangan ke luar tingkap dan dihadapannya cahaya matahari terbit terbias di sebalik awan. Sudah lama dia tidak melawat Singapura sejak beberapa tahun yang lepas. Hatinya masih tidak terubat namun dia tahu itu ketentuan Allah. Nadhirah sering mengingatkan dirinya, setiap apa yang berlaku pasti ada hikmahnya. Cuba bezanya, hikmah itu akan disedari lambat atau cepat, bergantung kepada saatnya manusia itu akan bermuhasabah diri.
Perlahan-lahan Nadhirah menaip kembali mesej balasan, mengatakan kesudiannya menyampaikan hal tersebut kepada Farhan. Saat itu juga dia menaip mesej baru dan menghantarkannya kepada Farhan. Dia tidak suka mengangguhkan kerja.
Setelah berpuas hati, dia berjalan menuju ke meja solek dan membuka laci di bahagian kanan. Laci itu kosong melainkan hanya terdapat di dalamnya sebuah kotak kecil baldu berwarna biru tua. Dia mengambil kotak itu lalu duduk di atas katil. Kotak itu dibuka dan dipandangannya kini sebentuk cincin emas belah rotan. Cincin itu biasa saja pada pandangan ramai namun bagi Nadhirah, cincin itu pernah menjadi impiannya dahulu, untuk disarungkan di jarinya. Cincin itulah, yang telah dipilih oleh Amirullah untuknya satu ketika dahulu.
Nadhirah menutup kembali kotak tersebut dan meletakkannya di tempat asal. Dia tidak mahu lagi menangis, kerana tangisan itu akan menjadi sia-sia. Dia membiarkan memori itu, hanya menjadi memori dan bukanlah halangan.

Friday, December 16, 2011

DUA PULUH SEMBILAN


Usai solat Isya' berjemaah di masjid dan menunaikan solat sunat rawatib, Amirullah bertadarus al-Quran bersama Iklil. Amirullah bersyukur kerana ummi dan abi telah menghantar dia ke ma'had tahfiz sedari dia sekolah rendah lagi. Dia telah menghafaz hampir keseluruhan al-Quran sebelum dia ditakdirkan menjadi buta. Walaupun hatinya hancur ketika itu, Iklil telah banyak membantu dengan memperdengarkan bacaan al-Quran dan dia menghafaznya begitu. Setahun setelah kemalangan itu berlaku, dia telah menjadi Hamlatul Quran. Teringat dia saat hafalannya di uji di hadapan saudara-maranya yang lain. Dia tidak dapat melihat, tapi dia mampu mendengar tangisan manusia apabila dia berjaya menghabiskan 30 juz dalam masa jam tanpa bantuan.
Setiap hari dia mengulang bacaannya, diajar oleh gurunya untuk sekurang-kurangnya mengulang khatam al-Quran seminggu sekali. Selalunya dia bertemankan ma'mum yang sudi memperdengarkan bacaannya, dan kadang-kala dia mengaji diiringi rakaman.
Amirullah mula membaca surah al-Kahfi dengan tartil.
Setelah tamat, Iklil pula membaca surah an-Nisa' dengan tadwir.
Mereka berdua berehat di ruang tamu sejam kemudian. Kedua-duanya menyepikan diri. “Qaiser ada menyatakan pendapatnya tentang pernikahan kamu?” tanya Amirullah memulakan bicara. Iklil memandang abangnya. “Tidak, adik tidak berkesempatan bertemu Qaiser. Ketika itu sedang musim peperiksaan, kami berdua sama-sama sibuk dengan hal masing-masing,” jawab Iklil lalu menundukkan kepala. “Maka pasti dia menyetujui. Diam itu tandanya setuju. Qaiser pasti tahu tentang lamaran itu, dan jika dia tidak menghalang, maka baiklah bagi pendapatnya. Adik sudah istikharah?” tanya Amirullah.
Iklil menganggukkan kepala. “Sudah, abang,” jawabnya jujur. “Dan kamu sudah solat hajat 12 rakaat sebelumnya?” tanya Amirullah lagi. “Sudah, abang,” Iklil menjawab dengan soalan yang sama. “Farhan itu jodohku, insyaAllah,” sambung Iklil. Amirullah menarik nafas panjang tatkala mendengar jawapan itu. Iklil Bahiyyah sudah mendapat petunjuk dan dia yakin akan petunjuk itu kerana Iklil tidak akan serius melakukan sesuatu tanpa kepercayaan yang kukuh.
Jikalau begitu, tiada apa lagi boleh abang katakan. Mintalah Farhan itu berjumpa abang bersama keluarganya. Segalanya akan diperbincangkan. InsyaAllah, pernikahanmu dipermudahkan,” kata Amirullah. Dia sedar, perkahwinan Iklil akan dianggap langkah bendul oleh sesetengah pihak. Namun, apa yang mampu dia lakukan. Dirinya buta, tidak akan ada yang terpikat. InsyaAllah, jodoh itu ada namun dia membuat keputusan untuk membiarkan Iklil berkahwin dahulu daripadanya.

DUA PULUH LAPAN


Farhan melabuhkan punggung di atas katil. Dia baru saja pulang dari kediaman Qaiser. Urusannya sudah selesai, penat juga dia melayan kerenah Nadhirah dengan mencari kuih koci kegemarannyea. Namun dia turut gembira apabila melihat cahaya kegembiraan di mata Nadhirah. Dia termenung seketika sambil merebahkan badan di atas katil. Dia baru terfikir, sekian lama dia mengenali Qaiser dan Nadhirah, dia tidak pernah melihat wajah Nadhirah.
Begitukah istimewanya wanita berniqab?” bisiknya. Dia tertanya-tanya. Di QU, ramai sahaja yang memakai niqab. Kafe ikhwan dan ikhwat asing, jadi tiada kerisauan untuk membuka niqab ketika makan. Dia berfikir, mengapa seseorang itu perlu memakai niqab. Dia tahu, kebanyakannya untuk mengelakkan fitnah. Tapi tidak mungkin semua wanita menimbulkan fitnah, sedangkan persekitaran di QU amat terjaga.
Pernah juga dia bertanya kepada Nadhirah. Dia menjawab, “Cahaya memakai niqab kerana Allah. Cahaya milik Allah, jadi Cahaya ingin menjaga diri. Niqab ini, sebagai hijab antara Cahaya dan manusia. Benar, Cahaya tidak suka bergaul dengan manusia lebih dari sepatutnya. Bukan tidak mahu berkawan, tetapi ada batasnya. Hiburan dunia itu sementara. Dan rakan-rakan itu juga sebahagian daripada hiburan.”
Seorang pelajarnya menjawab, “Ana memakai niqab kerana ada seorang ikhwan menegur. Ana jujur tidak mengetahu sebabnya mengapa. Tapi dia menasihatkan kepada ana untuk memakai niqab. Jadi, ana memakainya. Pada mulanya, memang ana hairan dan sedikit membantah. Tapi lama kelamaan, hati ana menjadi lebih tenang, alhamdulillah.”
Dua jawapan yang sungguh berbeza. Ada pula yang memakai niqab setelah bertunang atau berkahwin. Ada pula memakai niqab kerana diwajibkan oleh sekolah atau disuruh keluarga. Dia merenung siling, memandang kipas yang berpusing. Dia membuat kesimpulan di dalam fikiran sendiri. Dia lebih suka jika seorang ikhwat itu memakai niqab. Pandangannya terjaga, malah dia segan juga untuk menangkat muka dan berbicara perkara tidak penting.
Kebanyakan ikhwat yang memakai niqab di QU juga menjaga diri masing-masing. Walaupun kebanyakan mereka memilik akaun di laman sosial, namun mereka tidak ada teman lelaki di dalam senarai rakan. Kesemuanya ikhwat semata.
Dia mengalihkan badan, mengiring ke sebelah kanan. Dia terfikir, mengapa pula Iklil tidak memakai niqab? Lalu dia sedar sendiri, mengira berapa kali dia melihat wajah Iklil sepenuhnya lebih dari bererapa saat. Tiada. Dia terduduk. Sedikit kagum dengan ketinggian maruah Iklil, sehingga dia sendiri, yang ingin melamarnya, tidak berani mengangkat muka menatap wajah itu.

Tuesday, December 13, 2011

DUA PULUH TUJUH


“Adik hendak menikah dengan siapa?” nada suara Amirullah bertukar serius, namun tetap tenang. Dia tahu, Iklil pasti tidak akan melakukan sesuatu tanpa mendapat restunya. Dialah wali Iklil, abangnya Iklil Bahiyyah. Dia mengenang saatnya dia membesar bersama Iklil. Nama yang telah dipilih oleh arwah abinya, yang membawa maksud mahkota yang bersinar. Dan dia pula Muhammad Amirullah. Dialah penjaga Iklil, pelindung Iklil.
Iklil mengambil masa beberapa saat sebelum menjawab, “Farhan.” “Siapa dia Farhan?” tanya Amirullah lagi. “Seorang pensyarah muda di QU. Malah, rakan baiknya Qaiser sendiri. Iklil tidak begitu mengenalinya namun, dia telah menyatakan keinginan untuk mengkhitbah daripada...” Iklil berhenti. Dia tidak tahu hendak menyambung apa. “Daripada apa?” tanya Amirullah lagi. “Daripada adiknya Qaiser,” sambung Iklil. “Oh, Qaiser ada adik ya? Tidak pernah pula abang teringat pernah bertemu dengannya,” kata Amirullah.
Buat kali ketiga untuk kepulangannya kali ini, Iklil merasa sebak. Sekian lama dia menahan perasannya dan menjadi tenang sepanjang kehidupannya di QU, dia tidak sangka perasaannya akan diuji kali ini. “Ya, Qaiser mempunyai seorang adik bernama Nur Ghazalah Nadhirah. Adik memanggilnya Cahaya, seperti apa dipanggilnya Qaiser,” jawab Iklil. “Tapi,” Iklil tersenyum sendiri. “Cahaya tetap membahasakan dirinya sebagai Ghazalah kepada adik,” sambungnya.
Kenapa pula begitu?” tanya Amirullah. Dia hairan bagaimana begitu banyak panggilan untuk seorang manusia. Namanya juga panjang, masih ada nama lain yang digunakan. “Kerana dia masih merasakan Iklil tidak sesuai untuk memanggilnya sebegitu. Jadi dia meletakkan hijab di antara kami dengan menggunakan nama Ghazalah,” terang Iklil. Sememangnya, Nadhirah tidak pernah bertemu dengannya sebelum kemalangan itu berlaku. Ketika mereka bertemu di hospital dan Nadhirah mengetahui kebenaran tentang kondisi bakal tunangnya, dia langsung tidak menegur dirinya lagi. Dia menjauhkan diri, membawa hati.
Amirullah tergelak kecil. Iklil mengerutkan dahi, lalu bertanya, “Ada sesuatu yang lucu?” Amirullah menggeleng. “Tidak,” katanya. “Cuma, abang rasa ikhwat yang bernama Nur Ghazalah Nadhirah itu pastinya seorang yang keras kepala dan tetap pendiriannya. Namun kadang-kadang, pasti ada kelembutan di sebalik kekerasan itu,” sambung Amirullah. Entah mengapa, hatinya sungguh senang berbicara tentang adik Qaiser hingga terlupa tujuan sebenar perbincangan mereka. Malahan, dia juga pantang bercakap tentang wanita yang tidak dikenali, pasti akan berdalih. Namun, insan yang digelarkan Cahaya oleh Iklil, sungguh menarik perhatiannya.
Dia tidak mengetahui, saat itu, Iklil sedang berdoa supaya ingatannya akan pulih kembali.

DUA PULUH ENAM


Amirullah tersenyum sendiri. Sekali lagi dia mengangkat muka, lalu memandang jauh ke dalam kegelapan. Dia memalingkan muka sedikit ke sebelah kanan, kedengaran bunyi seseorang memasak. Iklil baru sahaja pulang dari kedai runcit berhampiran dan sedang memasak juadah berbuka puasa untuknya. Walaupun dia sedikit kecewa kerana Iklil tidak menjumpai kuih koci yang diinginkan. Entah kenapa, dia teringin hendak merasa kuih itu sedangkan kuih kesukaannya adalah kuih cara berlauk.
Dia berzikir, mengingati kekasihnya, Allah s.w.t. Ketika itu dia teringat akan satu ayat.
Bercinta memang mudah. Untuk dicintai juga memang mudah. Tapi untuk dicintai oleh orang yang kita cintai itulah yang sukar diperoleh. Dia mengerutkan dahi, cuba mengingat lagi. Ayat itu telah diperkatakan kepadanya oleh seseorang. Oleh orang yang sama juga dia mendengar, “Manusia memang suka bercinta, tapi manusia sering lupa. Cinta itu bukan sekadar untuk manusia. Cinta itu juga untuk alam, untuk ilmu dan untuk nikmat. Malah yang paling penting, cinta untuk nabi kita Rasulullah s.a.w dan pencipta saya, pencipta awak, Allah s.w.t.”
Cahaya,” bisik Amirullah.
Apa abang cakap?” satu suara bertanya. Amirullah mengangkat muka, membayangkan adiknya ada di hadapannya sekarang, kerana pasti itu yang sedang berlaku. “Apa abang cakap?” tanyanya kembali. Nada suaranya tidak jauh beza dengan nada suara Iklil. Kedua-dua mereka bertanya sesuatu yang tidak pasti.
Iklil duduk di sebelah abangnya. “Tadi, adik terdengar abang cakap sesuatu, apa dia?” Iklil melanjutkan soalan. Dia pelik, kebiasaannya, setiap kali dia kembali ke Singapura, hanya perkara biasa akan berlaku. Dia akan menemani abangnya di masjid, dan mengemaskan rumah abangnya yang hanya terletak bersebelahan dengan masjid. Sejak abangnya hilang penglihatan, dia telah menggajikan seorang pembantu untuk melihat keadaan abangnya. Pembantu yang bernama Hanif itu hanya akan membantu di siang hari dan menyediakan segala keperluan untuk keesokan harinya.
Jujur, abang tak ingat abang katakan apa. Rasanya, tak sebegitu penting. InsyaAllah,” jawab Amirullah jujur. Dia tahu, ingatannya terhad. Tapi jarang sekali dia lupa sesuatu yang baru berlaku. Dia redha, mungkin Allah tidak ingin dia mengingati perkara itu. Segera dia menukar topik perbualan, “Pembelajaran adik di QU bagaimana?” tanya Amirullah. “Alhamdulillah, lagi beberapa minggu majlis graduasi akan dilangsungkan,” jawab Iklil. Dia memandang abangnya penuh kasih. “Abang, adik nak minta restu,” sambungnya.
Restu untuk apa?” tanya Amirullah. Walaupun jauh di sudut hati dia sudah dapat mengagak apa yang bakal dikatakan. “Restu untuk menikah,” jawab Iklil.

Sunday, December 11, 2011

DUA PULUH LIMA


“Kuih koci?” tanya wanita tua itu. Nadhirah menangguk. “Ya, mak cik. Kuih koci ada?” ulang Nadhirah buat kali kedua. Dia sedikit kecewa apabila jawapannya tidak seperti yang diharapkan. “Maaf nak, mak cik tak buat kuih koci. Kuih yang mak cik jual ini saja,” jawab wanita tua itu sambil tangannya menunjukkan bekas-bekas yang dipenuhi kuih dihadapan gerainya. Nadhirah hanya memandang kuih-kuih itu tanpa berkata apa-apa. Kuih kasturi, lopes, pengat, lapis dan pelbagai lagi hanya dipandang sepi. Sudah lima gerai ditanya, namun dia masih tidak menjumpai kuih yang dihajati.
Nadhirah mengucapkan terima kasih dan berlalu pergi. Dia bingung, hendak mencari di mana lagi. Tiba-tiba dia mendengar namanya dipanggil.
“Cahaya,” suara itu memanggil lagi. Nadhirah memalingkan muka lalu ternampak Farhan menghampiri. Farhan sedang memegang beg plastik kecil bewarna merah yang berisi sesuatu. Nadhirah tersenyum lebar apabila menyedari apa yang dibawa oleh Farhan itu.
Mana abang dapat kuih koci ini?” tanya Nadhirah. Tangannya menyambut huluran beg plastik itu dari Farhan. Farhan tersenyum melihat Nadhirah yang bagaikan terpaku melihat kuih kegemarannya itu. “Ini rezeki dari sisi Allah,” jawab Farhan. “Dah, jom balik sekarang. Kasihan Qaiser sudah lama tunggu di dalam kereta,” sambungnya. Mereka bertiga membuat keputusan untuk membeli-belah di pasar berdekatan setelah Qaiser dan Farhan pulang dari masjid sesudah Asar. Qaiser hanya menanti di kereta sementara Farhan dan Nadhirah sibuk membeli juadah. Dia kurang suka untuk berada di tempat yang dipenuhi orang dan sesak.
Farhan dan Nadhirah berjalan kembali ke kereta. Farhan di hadapan dan Nadhirah beberapa langkah di belakang. Nadhirah tidak putus-putus mengucapkan hamdalah kerana telah berjaya mendapat kuih yang dihajati. Sememangnya, ramai kenalah Nadhirah mengetahui kesukaannya yang satu itu. Kuih tradisional masyarakat Melayu, kuih koci.
Kesukaannya itu berlainan sekali daripada biasa kerana dia tidak suka akan sesuatu yang manis. Walaupun dia suka membuat kek dan biskut, tetapi tidak pernah dia merasa. Dia menyukai bubur dan sup yang sedikit masin dan lauk-lauk yang pedas. Jika tidak, dia suka jika sesuatu itu tidak terasa apa pun. Seleranya berbeza dengan Qaiser yang menggemari masakan manis. Oleh itu, apabila makan di rumah, mereka makan bersama pembantu-pembantu yang ada ketika itu supaya kesemua juadah akan habis dimakan untuk mengelakkan pembaziran.
Hanya lima minit kemudian, mereka sudah berada di dalam kereta dan Qaiser memandu kembali ke kediamannya. Mereka akan berbuka puasa bersama hari itu.

DUA PULUH EMPAT


Amirullah tersentak. Dia mengangkat kepalanya sedikit, lalu memandang jauh dalam kegelapan. Dia tidak nampak apa-apa, tidak mendengar apa-apa. Tangan kanannya meraba kawasan di sekitar mencari sesuatu. Seketika kemudian, dia mendengar bunyi derap tapak kaki datang menghampiri. Dia tersenyum, lalu memberi salam, “Assalamualaikum, siapa di sana?” Manusia itu tidak menjawab. Amirullah tenang, tangannya masih lagi mencari sesuatu. Beberapa saat kemudian, dia terjumpa tongkat yang dihajati. Dia berdiri, mengetahu tetamunya itu masih berdiri di hadapannya.
Boleh saya tahu anda siapa?” tanya Amirullah. Manusia itu tetap juga tidak bersuara. Tiba-tiba dia terasa tangannya dipegang. Amirullah mengekalkan senyumannya. “Adik.” Tangannya mengenggam tangan manusia itu.
Iklil menahan tangis. Dia tidak mampu berkata apa-apa. Setiap kali melihat abangnya, pasti dia menyalahkan diri sendiri. Kemalangan bertahun lamanya itu masih kekal dalam ingatan. Dia tidak berada di situ, tapi dia berada di sisi abangnya, mengharungi hidup setelah kematian kedua ibu bapa mereka.
Dia menyeka air mata dengan tangan yang sebelah lagi. Dia memalsukan sebuah senyuman, walaupun tidak mungkin dilihat oleh abangnya, tapi dia cuba untuk bermuka manis agar tenang sesiapa yang melihat. “Abang,” katanya. “Sudah solat?”
Amirullah tergelak kecil. “Bukankah abang imam di sini, mana mungkin abang tidak solat lagi,” jawabnya. Sungguh, dia bahagia apabila adiknya menanyakan tentang kewajipan dahulu sebelum menanyakan hal duniawi. Kali ini Iklil tersenyum ikhlas, “Abang puasa?” tanyanya lagi. “InsyaAllah, puasa,” jaawab Amirullah. Dia sedaya upaya mengamalkan puasa nabi Daud a.s. Teringat di akan sabda Nabi s.a.w. Yang diriwayatkan Imam Muslim dari Abdullah bin 'Amru r.a; “Sesungguhnya puasa yang paling disukai Allah ialah puasa Nabi Daud dan solat yang paling disukai Allah ialah solat Nabi Daud; beliau tidur separuh malam, bangun (mengerjakan solat) sepertiganya dan tidur semula sepernamnya. (Adapun puasa pula) beliau berpuasa sehari dan beliau berbuka (yakni tidak berpuasa) sehari.”
Abang nak berbuka apa nanti? InsyaAllah adik masakkan,” tawar Iklil. Dia mula memikirkan bahan masakan yang pelu dibeli. Amirullah mengambil masa untuk berfikir sebentar. Bukan selalu adiknya kembali ke Singapura. Dia menarik nafas panjang lalu berkata, “Abang teringin nak makan kuih koci.” Iklil memandang hairan abangnya, tanpa dia sedari, dia menangis sekali lagi.

Friday, December 9, 2011

DUA PULUH TIGA


“Hanya Amirullah terselamat, namun kecederaan di bahagian matanya sungguh teruk. Matanya dimasuki kaca, kerana dia yang sedang memandu ketika itu. Kepalanya pula terhentak pada stereng, dia hilang ingatan,” Qaiser menyambung bicara. Sudah lama dia tidak menceritakan hal itu, sudah lama dia cuba melupakan. Masih terbayang di mata saat dia bergegas ke hospital bersama Nadhirah. Nadhirah segera meluru ke arah wad yang menempatkan Amirullah. Iklil bersama dia ketika itu, matanya kelihatan merah dan sembab kerana menangis.
Farhan terkedu, tidak tahu hendak mengatakan apa. Patutlah dia tidak mendengar khabar perkahwinan Nadhirah walaupun pada awalnya sudah diwar-warkan akan berlangsung setelah Nadhirah tamat sekolah menengah. “Amirullah, tidak mengenali anta?” tanya Farhan. Qaiser menggeleng. “Tidak, dia masih mengenalku. Ana bertanya kepada doktor tentang itu. Dia menjelaskan, bahawa Amirullah telah melalui trauma yang sungguh teruk. Dia merasakan dirinya bersalah atas kematian kedua ibu bapanya dan adiknya yang paling kecil, Habibullah. Maka dengan itu, memorinya hanya terhad, saat di mana dia masih bahagia dengan keluarganya. Dia hanya ingat sehingga itu. Apa yang berlaku setelah umurnya melebihi 19 tahun, dia tidak ingat.”
Qaiser menyambung bicara.
Ana mengenali Amirullah sejak sekolah rendah, maka dia ingat akan ana. Tetapi, Cahaya,” Qaiser menarik nafas panjang. “Cahaya mengenalinya selepas itu, dia sudah terkeluar dari had ingatannya. Begitu juga dengan rakan barunya. Hanya kenalan lama saja masih kukuh, yang lain pergi setelah mengetahui keadaannya begitu,” jelas Qaiser.
Anterograde amnesia, selective memory loss,” bisik Farhan kepada diri sendiri. Selama beberapa minit dia begitu. Dia bukan seorang doktor, tetapi pengetahuannya sudah memadai untuk dia memahami betapa serius trauma yang dihadapi Amirullah selepas kemalangan itu.
Azan Asar berkumandang, keduanya terdiam. Qaiser memandang Farhan, “Marilah ke masijid,” ajaknya. Farhan menangguk. Dia tidak tahu apa, atau bagaimana untuk dia berkata-kata. Dia tiada di tempat Amirullah, tidak juga berada di tempat Qaiser. Malahan dia jauh dari Malaysia, ketika semua itu berlaku. 'Tuhan, adakah ini ujian untukku?' bisik hatinya. Mereka berdua menaiki kereta Farhan, lalu menuju ke masjid. Di tingkat dua, Nadhirah hanya memandang sepi kereta yang berlalu pergi itu. Air matanya masih tidak kering. Dia beristighfar, lalu menuju ke bilik air untuk mengambil wudhu'.

Friday, December 2, 2011

DUA PULUH DUA


Farhan mengangkat muka, air mukanya menampakkan riak terkejut. “Jadi... dia tiada wali?” tanya Farhan. Suaranya sedikit bergetar. Qaiser menggelengkan kepala. “Ada, namun walinya di Singapura. Seorang imam di sebuah masjid di sana. Abangnya Iklil Bahiyyah, dan namanya,” Qaiser terhenti. Dia memandang Nadhirah, namun Nadhirah segera mengalihkan muka. Tidak disedari air mata yang bertakung, menahan sebak. “Namanya Muhammad Amirullah,” sambung Qaiser.
Amirullah?” Farhan sedikit terkejut. Dia berfikir seketika, mengenangkan kembali di mana dia pernah mendengar nama itu. Nama yang jarang sekali didengar, tapi dia pasti pernah diperkatakan oleh sesiapa kepadanya. Allah mengembalikan ingatannya, maka dia bertanya, “Amirullah yang pernah melamar Cahaya?” Nadhirah tidak dapat menahan tangis. Dia segera berlalu pergi. Seketika kemudian, terdengar bunyi pintu ditutup rapat di tingkat dua. Qaiser beristighfar. Dia tidak mahu mengeluh.
Sekali lagi minda Farhan diterjah beribu persoalan. “Apakah yang telah berlaku dan ana tidak mengetahui akannya?” tanya Farhan kepada Qaiser. Qaiser tersenyum pahit. Di matanya terpancar keresahan yang nyata, atau pun mungkin kesedihan yang menyakitkan jiwa. Dia berkata,
Benar, Amirullah abangnya Iklil Bahiyyah, adalah Amirullah yang melamar Nadhirah setelah dia tamat sekolah menengah dahulu. Dialah yang telah mengejutkan keluarganya, kerana Nadhirah baru sahaja belasan tahun. Malah Amirullah juga begitu. Baru sahaja 20 tahun, tapi sudah berniat untuk mendirikan rumah tangga. Ana tidak menghalang, kerana perkahwinan itu satu sunnah. Namun, manusia hanya merancang dan Allah menentukan. 6 tahun yang lalu, beberapa bulan sebelum QU dirasmikan, ketika itu Amirullah datang kepadaku, meminta izinku. Sungguh, ana tidak tahu mengapa, apakah tujuannya. Dia hanya memaklumkan, hasratnya ditentang keluarga, maka dia mahu membawa hati yang lara. Dia mahu berhijrah ke Turki, kerana dia tahu sekurang-kurangnya Dhamiri berada di situ.”
Farhan memotong penerangan Qaiser dengan pertanyaan, “Apa maksudmu, keluarganya menentang? Ketika itu dia masih mempunyai keluarga?”
Di saat itu hati Qaiser hampir berkecai sekali lagi setelah bertahun lamanya. “Benar,” katanya. “Keluarganya masih hidup lagi ketika itu. Sehinggalah satu kemalangan yang meragut segala kebahagian mereka, termasuk nyawa, telah berlaku.”

Wednesday, November 30, 2011

DUA PULUH SATU


Nadhirah berlegar di ruang tamu. Niqabnya masih menutup muka, walaupun di dalam rumah sendiri. Sedikit dia risau, Farhan akan menziarahi sebentar lagi, untuk mengetahui jawapan. “Cahaya, duduklah,” pinta Qaiser. Dia sedang membaca buku al-Hikam karya Ibn' Ata'illah. Dia beristighfar, Nadhirah masih kurang matang dalam bersabar. Nadhirah akur dengan abangya, dia duduk. Tidak lama kemudian, dia berdiri kembali. Kereta Toyota Camry milik Farhan sudah berada di hadapan rumahnya. Pembantu rumahnya segera membuka pintu, Farhan memberikan salam sebelum masuk.
Dia melihat Nadhirah, membuatkan Nadhirah tertunduk. Farhan tersenyum. “Ana lewatkah? Cahaya seperti resah menunggu, hingga tidak duduk,” tegurnya. Dia bersalaman dengan Qaiser. Qaiser tersenyum, menahan tawa. Dia teringat, Rasulullah s.a.w juga hanya tersenyum menampakkan gigi apabila gembira, tidak tertawa. “Kef Helk, ya ahi?” Qaiser bertanya. “Alhamdulillah, wa anta?” “Alhamdulillah aidhan,” balas Qaiser. Nadhirah hanya memerhati.
Mereka berdua duduk, meninggalkan hanya Nadhirah yang berdiri. “Apakah abang sudah bersedia mengetahui jawapannya?” tanya Nadhirah. “InsyaAllah, sudah. Tidaklah abang meletakkan harapan terlalu tinggi, tapi ia tetap ada,” balas Farhan. Nadhirah lega sedikit. Dia duduk di atas kerusi di penghujung meja. Farhan menatap wajah Nadhirah, walaupun tidak nampak di sebalik niqab. Dia kadang-kadang terfikir, alangkah baiknya jika dia mampu melihat menerusi niqab, untuk membaca ekspresi seseorang. Benarlah, niqab itu menjadi pelindung yang nyata bagi seorang wanita.
Iklil minta ditangguhkan, sehingga graduasi,” jelas Nadhirah lancar. Sedikit pantas perkataan yang terucap itu.
Tangguh?” ujar Farhan bingung. Dia sudah menangguhkan hasratnya itu berbulan lamanya. Kenapa perlu ditangguh lagi apabila sudah terluah? Hatinya mengeluh kecewa, namun dia segera beristighfar. Berfikir seketika. Qaiser dan Nadhirah hanya membiarkan Farhan sunyi. Mereka tahu, dia sedang menilai apa yang berlaku, memikirkan sebab mengapa ia berlaku. Sudah bertahun lamanya Farhan dikenali mereka berdua.
Tidak lama kemudian, Farhan berbicara. “InsyaAllah ada hikmah disebaliknya. Kalau begitu, kita tangguhkan dulu hajat di hati hingga graduasi tamat. Tapi selepas itu, ana akan terus menghantar rombongan ke rumah Iklil.” Qaiser diam lagi. Dia menarik nafas, “Sudahkan ana maklumkan, Iklil itu seorang yatim piatu?” katanya.

Monday, November 28, 2011

DUA PULUH


Langkah dipercepatkan, Dhamiri mengenggam tangannya. Dia membuka pintu bilik Dzakirah, lalu terlihat kembarnya itu sedang duduk di sisi katil. Nafasnya deras, dia menghampiri Dzakirah dari belakang dan memegang bahunya. Dzakirah diam sahaja. Kelihatan di atas karpet dan katil titisan-titisan darah. Malahan kedua tangannya juga dipenuhi darah berwarna merah pekat. Tanpa dia sedari, air matanya mengalir keluar, sedikit cuma.
Sudah sampai masanya kita kembali ke Turki,” kata Dzakirah sayu. Sudah beberapa hari sejak mereka berdua meninggalkan Malaysia dan berpijak di bumi London, kediaman kedua mereka. “La,” jawab Dhamiri tegas. Dia mengambil sehelai kain lalu menghilangkan kesan darah yang ada pada kembarnya. “Sudah sampai masanya,” ulang Dzakirah. “Putuskan pertunanganku dengan Qaiser,” katanya. Saat kata-kata itu terluah, lebih banyak air mata yang mengalir keluar. Bagaikan hujan di panas hari, air mata itu seperti tidak mahu berhenti.
Simpanlah sedikit air matamu, untuk dijadikan simpanan hari esok,” kata Dhamiri. “Qaiser tidak akan menerima keputusanmu, ya ukhti.”
Dzakirah tahu itu yang akan dikatakan Dhamiri. Dia tahu, Qaiser tidak akan mahu memutuskan janji yang sudah lama diikat. Bahkan, mereka bercadang untuk bernikah tahun hadapan. “People can't kill love, but people can hate it. I'll make him hate me,” terang Dzakirah. Dhamiri terkesima. Siapakah yang lebih mengenali Qaiser daripada Dzakirah sendiri? Dia sedikit takut, untuk membayangkan, bagaimana perihal itu akan terjadi. Bagaimana Dzakirah akan membuat Qaiser yang memutuskan pertunangan, bukannya sekadar menerimanya daripada Dzakirah.
You won't dare. It'll hurt you twice as much,” kata Dhamiri. “Istighfar, ya ukhti.”
Dzakirah beristighfar. Dia merehatkan kepala di atas bahu Dhamiri. Mereka senyap seketika. “Kebahagiaan dia, kebahagiaanku. Begitu juga sebaliknya. Maka jika dia tahu penderitaanku, pasti sakit sekali hatinya. Jika, dia mengetahui. Biarlah rahsiaku tersimpan, asalkan dia mampu meneruskan hidup tanpaku. Cintaku kepadanya, ibarat cinta rumput kepada matahari. Setiapnya ia hendak tumbuh tinggi, mendekati cintanya, sedikit sahaja, pasti akan terhalang. Dicantas dek manusia. Cintaku terhalang begitu,” kata Dzakirah. Dia menutup mata, ingin berehat.
Maka cintaku kepadamu ibarat cintanya daun kepada bunga. Akan ku biarkan diriku dicantas untuk membuat dirimu kelihatan cantik, ataupun dipetik bersama tangkai dan kekal denganmu sebagai perhiasan. Ya ukhti, uhibbuki fillah. Berehatlah, akan abang uruskan pemergian kita ke Turki,” balas Dhamiri. Dia juga, tanpa disedari, mengalirkan air mata. Kediaman di Tukri kelihatan semakin jelas di mata.

Sunday, November 27, 2011

SEMBILAN BELAS


“Assalamualaikum, Iklil,” satu suara menegur. Iklil menoleh.
“Wa'alaikumussalam,” balasnya. “Nadhirah,” Iklil tersenyum. “Sibuk ke?” tanya Nadhirah. Mereka berjalan beriringan menuju ke dewan. Sebentar lagi ada forum yang bakal membahaskan tentang Al-Quran dan tafsirannya. Panel dan moderator yang berpengalaman dan sudah berpuluh tahun mempelajari kitab Allah itu telah dipilih sendiri oleh Qaiser. “InsyaAllah, tidak. Cuma sebentar lagi kan ada forum. Iklil hanya berniat menuju ke situ,” jawab Iklil, berterus-terang.
Oh, begitu. Sebenarnya, Ghazalah datang membawa hajat,” terang Nadhirah. Dia hanya membahasakan dirinya sebagai Ghazalah jika bersama pelajar QU. Jarang ada yang memanggilanya Nadhirah mahupun Cahaya. Iklil diam, menanti sambungan. Hatinya tenang sahaja, begitulah dia sepanjang masa. Tidak pernah merasa terganggu. Kerana dalam hatinya suci mengingati Allah. “Ada yang ingin bertanya, jika Iklil sudah dikhitbah orang sebelum ini. Lantas, jika belum, insyaAllah, saya mewakili pihaknya ingin taqdim. Lalu disusul dengan khitbah,” jelas Nadhirah.
Di saat itu, Iklil masih lagi terdiam. Nadhirah sedikit risau, kerana mungkin Iklil sudah ditanya sebelum ini. Manakan tidak, dia merupakan salah satu mahasiswi yang dikenali. Saidatina Aisyah r.a. pernah berkata, “wanita yang baik itu tidak dilihat dan tidak melihat.” Begitulah perihalnya Iklil Bahiyyah, namanya dikenali kerana maruahnya, kerana tinggi tatatusilanya. Walaupun begitu, jarang sekali namanya disebut, kerana perasaan malu untuk menyebut. Pekertinya adalah seperti muslimah sejati. Walaupun tidak berniqab seperti kebanyakan pelajar QU, wajahnya juga jarang dilihat. Kerana dia sering berseorang dan yang lain juga malu untuk mengangkat muka apabila berbicara dengannya.
InsyaAllah, belum,” jawabnya pendek. Nadhirah menarik lafas lega. “Namun, maaf, Iklil tidak mahu menerima sebarang khitbah buat masa sekarang. Tunggulah, setelah graduasi,” tambah Iklil. Maka Nadhirah pun bertanya, “Mengapa? Bukankah graduasi hanya sebulan sahaja lagi?”
Benar, hanya sebulan saja lagi. InsyaAllah yang ingin mengkhitbah itu sanggup menunggu,” balas Iklil. “Baiklah, akan Ghazalah sampaikan,” kata Nadhirah mengakhiri bicara. Dia tidak mempersoalkan kenyataan Iklil kerana dia sendiri tahu, setiap apa yang berlaku itu ada hikmahnya. Iklil menolak untuk menerima, malahan tidak bertanya siapa. Sungguh, dia tidak memahami tapi tidak pula bertanya.

LAPAN BELAS

Suasana di dalam kelas sepi seperti biasa. Tiada yang berbicara, hanya kedengaran coretan pena yang menulis di atas lembaran kertas. Tidak diketahui bila akan berhenti. Perkataan membina ayat, fikiran berjalan jauh mencari sesuatu. Otak ligat berfikir. Di hadapan kelas, meja pertama di bahagian sebelah kanan, Iklil sedang leka menjawab soalan Biologi. Tak disedari, hanya beberapa tapak dari dia yang memikirkan diri, ada lagi yang menumpang sekali. Membina impian di dalam sanubari.
Farhan hanya melihat dari jauh.
Tapi segera dialihkan. Bukankah Allah telah berfirman di dalam al-Quran al-Karim,
Firman Allah s.w.t maksudnya : "Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menundukkan pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka sesungguhnya Allah Amat Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang mereka kerjakan". (An Nur: 30)
Maka dia pun melihat pelajarnya yang lain. Sudah disampaikan hasrat hati kepada rakan yang paling dipercayai iaitu Qaiser. Dia belum taqdim, belum juga mengkhitbah. Dia mahu menunggu, tamatnya peperiksaan akhir di QU. Biarlah rahsia hati itu menjadi rahsia. Kerana cinta dengan nama Allah itu, adalah cinta yang mengingatkan akhirat. Dengan izinNya akan dibawa ke syurga. Cinta yang mengingatkan mati, menjadi pelindung kepada segala kemaksiatan.
Tidak lama selepas itu, masa yang terluang dipenuhi dengan tasbih dan tahmid, maka peperiksaan pun berakhir.
Iklil menghela nafas lega. Biologi adalah kertas ujian terakhirnya. Hatinya berlagu riang, mengucapkan syukur ke hadrat Illahi. Akhirnya pembelajarannya sudah sampai ke penghujung. Tiada lagi ujian, tiada lagi kelas di QU. Dia terdiam seketika. “Tiada lagi kelas di QU,” bisiknya hatinya. Kertas ujian dikumpul Farhan, lalu dia memberi isyarat untuk pelajar kelar dari lokasi ujian.
Iklil bersalaman dengan pelajar muslimah yang lain sebelum melangkah keluar kelas. Hatinya sekali lagi diulam pilu, dia bakal meninggalkan QU.

Wednesday, November 9, 2011

TUJUH BELAS

“Tapi tidak ada apakan kalau berpisah seketika?” Nadhirah mengulang pertanyaan. Dia sedikit memahami, tapi tidak pernah merasa bagi pihaknya sendiri.
Wahai Cahaya, penyeri hatiku. Itulah soalan yang hanya akan diajukan oleh mereka yang tidak memiliki cinta seperti abang terhadap bakal jodohku. Sesungguhnya Cahaya, bahkan jika Dzakirah dihadapanku, mengalihkan pandangan sedikit pun, sudah sakit hati ini. Bukan kerana marah, tapi kerana pilu. Layakkah abang untuk dia? Sungguh sempurna budi pekertinya, diasuh sejak kecil menjadi seorang puteri. Kadang kala, abang ada terfikir, ada baiknya bagi siapa yang masih tidak memiliki cinta. Tidaklah merasa sakitnya perpisahan, mahupun kemungkinan perpisahan akan berlaku,” Qaiser mengakhirkan bicara. Dia mengunci mulut. Sudah tidak mahu berkata. Sesak hatinya mengingatkan perpisahan yang tidak difahami sejuta manusia yang lain.
Dzakirah pula membuka bicara, meleraikan sepi.
Kalau benar cinta, bercintalah kerana Allah. Itu Cahaya amat pasti abang sedang lakukan sekarang. Dengan keimanan abang, percayalah pada Allah. Allah akan menjaga cinta abang yang jauh dari pandangan mata abang, tapi dekat dalam ingatan. Tiada galang gantinya penjaga yang lebih baik melainkan Allah semata-mata. Cahaya tahu abang tidak akan tenggelam dalam belaian cinta duniawi, malah abang akan membawanya ke alam yang kekal abadi. Cuma sekarang ini, dalam perantauan abang sebagai hamba Allah, telah diuji dengan perpisahan. Selama ini, Allah telah memberikan kemudahan kepada abang untuk melakukan apa sahaja, maka mungkin Allah ingin menguji dengan perasaan cinta abang yang paling kuat. Cinta kepada jodoh.”
Qaiser memandang Nadhirah, tersenyum pahit. Hatinya tertanya sejak bilakah adik kesayangannya ini pandai berbicara tentang cinta. Dia menghampiri Nadhirah, menghulur keluar tangan kanannya dan memegang tangan kiri Nadhirah. Mereka bersama berjalan menuju ke tempat letak kereta. Sudah tiada urusan mereka di KLIA. Sekilas pandang, ramai manusia memandang mereka sebagai sepasang suami isteri. Nadhirah mengeluh sendiri, moga sahaja yang memandang itu bersangka baik.
Setibanya di kereta, Qaiser duduk di tempat bahagian pemandu. Dengan berhati-hati dia memandu keluar ke jalan raya. Nadhirah senyap saja di sebelahnya. “Apa pendapat Cahaya tentang Iklil?” tanya Qaiser. Nadhirah sedikit tersentak, namun tenang. “Siapa?” tanyanya kembali. “Iklil Bahiyyah binti Syed Furqon,” balas Qaiser. “Kenapa?” tanya Nadhirah lagi. Dia runsing. “Jawab dahulu soalan abang, dan akan abang nyatakan sebabnya,” Qaiser berkata tegas. Nadhirah mengeluh. “Cahaya tidak ada sebarang pendapat tentang Iklil. Dia baik, muslimah yang baik juga. Tidak ada bezanya dengan muslimah lain di QU,” balas Nadhirah.
Bezanya, dia berjaya menambat hati Farhan,” terang Qaiser. Nadhirah menyepi.

ENAM BELAS

Pasport diletakkan kembali ke dalam beg. Dzakirah menoleh, tiada siapa. Dia memandang kembali ke depan. Dhamiri sedang menunggu. Mereka berdua sudah mengucapkan selamat tinggal kepada Qaiser dan Nadhirah. Dzakirah merasa sedikit pening. Pandangannya kabur. Dia melihat Dhamiri bergegas mendapatkannya dan memegang lengannya, mengelakkan dia dari terjatuh. Titisan darah kelihatan di tudung. “Nose bleed,” bisik Dzakirah.
Dhamiri sekadar mengangguk, mengeluarkan tisu dan menghalakannya kepada Dzakirah. Dzakirah memebersihkan darah yang tersisa di sebalik niqab. Dia menundukkan kepala, mengharapkan darah segera berhenti mengalir. Beberapa minit kemudian, dia mengangkat kepalanya, memandang Dhamiri. “Let us go,” katanya perlahan. Dhamiri mengangguk lagi. Dia masih memegang lengan Dzakirah, memimpinnya memasuki kapal terbang. Oman Air berlepas tidak lama kemudian.
Qaiser diam sahaja memandang kapal terbang itu membelah awan biru. Nadhirah menoleh memandang abangnya. Tidak tahu hendak mengatakan apa. Dirinya sendiri tidak pernah jatuh cinta, mana mungkin memahami perasaan abangnya yang sekali lagi terpaksa berjauhan dengan tunangnya sendiri. Mungkin dia boleh berkata, terdapat banyak cara untuk berhubung. Malahan sekarang zaman sudah moden, tapi dia tidak memahami mengapa abangnya masih bersedih.
Qaiser mengalihkan pandangan kepada Nadhirah. “Cahaya memikirkan apa?” tanyanya. Nadhirah sedikit terkejut, namun ditanya juga persoalan di benak hati. “Cahaya hairan mengapa abang masih bersedih berjauhan dengan Dzakirah. Sudah banyak cara boleh berhubung, setiap hari boleh bersua muka, mendengar suara. Tetapi mengapa, hatimu masih bersedih?” tanya Nadhirah. Qaiser tersenyum pahit. Dia tahu Nadhirah tidak mengerti perasaannya. Bagaimanakah dia bakal mengungkapkan kata, menghuraikan jawapan? Dia menarik nafas, berfikir-fikir.
Lalu memulakan kata.
Tidaklah seorang itu menjadi muslim sebenar sehingga dia mencintai Allah dan RasulNya melebihi cintanya pada dunia. Sungguh, cintaku kepada kedua-duanya bercambah setiap hari. Abang tidak bersedih mencintai sesuatu yang ada di hati abang. Sesungguhnya Allah dekat dengan kita, jika kita mendekatkan diri kepadaNya. Selawatlah selalu, lalu Rasul kita kekal di sini,” Qaiser meletakkan tangan di dadanya.
Tapi,” dia tertunduk. “Cinta abang kepada Dzakirah, satu nikmat Allah berikan kepada abang. Tidaklah abang sedikit pun meragui jodoh yang telah ditetapkan. Maha Suci Allah dengan segala kebesaranNya telah menciptakan seorang pasangan bagi abang. Mana mungkin, tidak abang menyayangi pilihan Allah bagi abang? Dalam semua manusia, hanya dia sahaja. Dia sahaja. Satu-satunya cinta hatiku.”
Qaiser diam seketika. Menahan perasaan, menanggung kesakitan.

Friday, October 28, 2011

LIMA BELAS

Dzakirah melihat sekeliling biliknya. Kemas dan teratur. Dia berjalan menuju ke arah almari lalu dibuka, kosong. Dia memeriksa setiap laci dan setelah berpuas hati, dia duduk di atas katil. Dia merenung dua bagasi besar di hadapannya. Hatinya sakit sekali, seperti ada sesuatu yang meremukkan, cuba menghancurkan jiwanya. Dia meletakkan tangan kanannya di atas dada dan beristighfar. Kedengaran pintu bilik diketuk. Dzakirah menarik nafas panjang dan membuka pintu.
Assalamualaikum,” Dhamiri memberi salam lalu masuk ke bilik adiknya. “Wa'alaikumussalam,” balas Dzakirah. Dia tidak mahu berbicara panjang. “Adik sudah siap?” tanya Dhamiri. Sudah dua minggu dia berada di Malaysia, sedikit sebanyak sudah boleh bercakap Melayu walaupun agak pelat sedikit. “Sudah,” balas Dzakirah. Dia mengalihkan pandangan ke luar tingkap. “Penerbangan kita lagi empat jam, marilah kita bertolak. Abang akan tunggu adik di bawah. Turunlah bila sudah bersedia,” Dhamiri mengangkat kedua bagasi Dzakirah lalu keluar dari bilik. Dia tahu, Dzakirah sedang bersedih.
Setelah Dhamiri menutup pintu, Dzakirah mengeluh sendiri. Sudah dua minggu berlalu sejak dia bertemu kembali dengan Qaiser. Cepat sahaja masa berlalu. Qaiser sedaya upaya cuba berada di rumah, menemani dia dan abangnya jika tiada kelas di QU. Nadhirah juga begitu. Walaupun begitu, dia merasakan dua minggu cukup pendek sekali untuk dia meluangkan masa di sini. Tapi apakan daya, abangnya perlu kembali bekerja. Rumah di Turki juga perlu didiami kembali.
Sekali lagi terdengar ketukan di pintu. Dzakirah membuka pintu dan melihat Nadhirah di hadapannya. Setelah memberi salam, Nadhirah memeluk Dzakirah. “Pakailah niqabmu, abang berada di bawah menunggumu,” kata Nadhirah sambil meleraikan pelukan. Kelihatan matanya merah akibat menangis. Dzakirah tetap senyap, lalu menuju ke arah meja solek dan memakai niqab. Dia memakai pakaian serba hitam. Tidak pula berhias dengan sebarang perhiasan. Dhamiri melarangnya berhias walau dengan cara apa pun. Tidak pernah dia memakai pakaian yang berbunga.
Is Qaiser here?” tanya Dzakirah semasa mereka menuruni tangga. Qaiser dan Dhamiri tidak tinggal di rumah itu sepanjang mereka di situ. Mereka bermalam di hotel di ibu kota. Selain malam ketika mereka keluar bersiar-siar, mereka berdua tidak berada di rumah waktu malam. Qaiser dan Dhamiri hanya berada di situ ketika waktu siang, dan ketika semua pembantu rumah bersama. Dia tidak mahu fitnah terjadi.
Nadhirah menjawab pertanyaan Dzakirah dengan anggukan. Abangnya juga lebih suka mendiamkan diri sejak pagi. Dia berjumpa dengan Qaiser di QU sebelum mereka berdua menuju ke rumah untuk menghantar Dzakirah dan Dhamiri. “Adakah dia merasa kesedihan yang ku rasakan?” bisik Dzakirah sendiri. Nadhirah memandang, lalu berkata, “I never seen him more happy before he met you. It saddens him to be apart from you, again.” Dzakirah diam membisu. Hatinya sedih sekali. Lalu dia berzikir. Bukankah Allah sudah berfirman, dengan mengingati Allah, bahagia akan menyusul. Dia tenang.