Sunday, July 29, 2012

EMPAT PULUH SEMBILAN


“Adik anta yang bernama Cahaya itu bersama siapa?” Amirullah bertanya kepada Qaiser. Mereka berdua sedang berehat di anjung masjid. Masing-masing sedang berzikir, menghayati ayat al-Quran di dalam surah ar-Ra'd.
Ketahuilah, dengan mengingati Allah hati akan menjadi tenang,” balas Qaiser.
Amirullah menyepi, menerima teguran. Ditepisnya perasaan ingin tahu. Entah kenapa, hatinya yang tenang selama ini terkesan dengan kehadiran seseorang yang dia tidak pernah lihat mukanya. Seingatnya dia tidak pernah bertemu, jadi apa salahnya bertanya. Tapi dia mengenali bagaimana Qaiser, seperti mana dia berbicara. Beberapa ketika kemudian dia terasa seperti Qaiser memerhatikannya. Dalam kegelapan itu dia masih mengetahui Qaiser sedang tersenyum. Bahkan, selama dia mengenali Qaiser, tidak pernah dia terlihat Qaiser bermasam muka.
Adakah diri atau nafsumu yang akan berbicara?” Qaiser menganjurkan pertanyaan. Amirullah senyap memikirkan bicara dan membetulkan niatnya di dalam hati. “Iringilah ana ke dalam kebenaran, insyaAllah 'akal dan hati masih mendahului,” balas Amirullah. “Maka dengan itu, ana memulakannya. Dengan nama Allah ana berbicara, insyaAllah niat ana ke mari berjumpa anta, adalah untuk melamar Iklil Bahiyyah binti Syed Furqon. Anta walinya, adakah anta akan terima kewalianmu?” tanya Qaiser.
Ana terima kewalianku. Ya ikhwani, adakah sebarang soalan tentang jagaanku ini?” Amirullah pula membalas. Kedengaran Qaiser mengambil nafas. Pengkhitbahan bermula.
Adakah jagaanmu itu sudah dilamar sebelum ini?
“Sudah, tapi tiada yang diterima. Maka jagaanku bukan tunangan sesiapa.”

“Adakah jagaanmu itu dara atau janda?”
“InsyaAllah sepanjang pengetahuanku dan dengan pemeliharaan Allah, seorang dara.”

“Adakah keputusan di tanganmu seorang atau anta akan bertanya kepadanya?”
“Ana akan bertanya kepadanya, insyaAllah.”

“Maka, khabarkanlah kepadanya. Dirinya dipinang oleh Farhan as-Samih, seorang yang amanah dan keimanannya hanya Allah yang mengetahui. Al-Quran di dadanya seperti mana di perlakuannya. Khabarkanlah, istikharah Farhan as-Samih menjadi tekad.”

Amirullah menganggukkan kepala. “InsyaAllah,” balasnya. Sedang dia berkira-kira mahu berdiri atau tidak, Qaiser menyambung kembali perbicaraan.

“Dan khabarkanlah kepadanya. Dirinya dipinang oleh Muhammad Qaiser Zahirul Haq-qul Furqon.”

No comments:

Post a Comment