Sunday, July 29, 2012

EMPAT PULUH LAPAN

"Iqra'."


“But,” Nadhirah cuba membantah. Surat yang tadinya dihadapannya sudah dipegang oleh Qaiser. “Iqra',” ulang Qaiser. Nadhirah tidak jadi meminta Qaiser membaca surat itu. Dia mula membaca surah al-Fatihah disusuli surah ar-Rahman secara tartil.
“Dan nikmat Tuhanmu yang manakah yang kamu dustakan?
Maha Suci nama Tuhanmu Pemilik Keagungan dan Kemuliaan.”
Setelah Nadhirah menamatkan bacaannya. Qaiser bangkit dari duduk lalu memberikan senyuman kepada Nadhirah sebelum melangkah keluar. Nadhirah tahu abangnya itu mahu berfikir. Naskhah al-Quran itu kembali diletakkan di atas meja kecil itu lalu dia mula mengeluarkan pakaian dari bagasi untuk disusun di dalam almari. Berbeza dengan kediamannya di Malaysia, kediaman Amirullah sederhana sekali. Terletak betul-betul di sebelah masjid dan sekitarnya pohon menghijau.
Setelah selesai mengemas, Nadhirah memakai niqab sebelum melangkah keluar dari bilik. Qaiser, Farhan dan Amirullah akan bermalam di masjid kerana tidak mahu berlakunya fitnah walaupun hanya semalam sahaja mereka berkunjung ke situ mengikut perancangan. Matanya melirik mencari kelibat Iklil. Hanya beberapa langkah dia sudah berada di hadapan pintu bilik Iklil dan segera dia mengetuk pintu dan memberi salam.
Kedengaran suara menjawab salam dan pintu bilik terbuka. Iklil Bahiyyah tersenyum melihat gerangan dihadapannya. “Cahaya selesa?” tanya Iklil. Nadhirah menganggukkan kepala. “Alhamdulillah, terima kasih sudi menerima kami sebagai tetamu,” balas Nadhirah. Iklil melebarkan senyumannya, terserlah kegembiraan di wajahnya. “Bukankah tetamu itu suatu penghormatan yang mulia kepada tuan rumah? Marilah, Cahaya, kita makan bersama. Pasti Cahaya sudah lapar bukan?” gesa Iklil sambil menarik tangan Nadhirah. Mereka berdua berjalan beriringan menuju ke dapur. Iklil membuka tudung saji dan membuka pintu peti ais untuk mengambil jus.
“Kenapa ada kuih koci?” tanya Nadhirah memecahkan kesunyian yang sementara. “Abang teringin nak makan beberapa hari lepas, tapi baru tadi Iklil jumpa gerai yang menjualnya. Cahaya suka bukan? Makanlah,” balas Iklil. Nadhirah terdiam. Ketenangan hatinya bergolak kembali namun dirahsiakan. Dia menjamah juga sedikit kuih itu bagi menjaga hati Iklil.

No comments:

Post a Comment