Wednesday, October 26, 2011

EMPAT BELAS

Iklil melangkah keluar masjid. Kelas Kimia yang diajar Qaiser akan bermula tidak lama lagi. Sedang dia mempercepatkan langkah, dia terlihat dua manusia yang sedang berjalan tidak jauh darinya. Dia tersenyum. Kedua-duanya adalah pensayarahnya, Qaiser dan Farhan. Mereka berdua sedang menyusuri jalan yang sama dengannya, menuju ke arah kampus. Dia melambatkan gerak langkah, menjaga jarak. Dia tidak mahu kehadirannya mengganggu perbualan kedua pensyarah itu yang kelihatan agak serius. Dia menundukkan pandangan, lalu berzikir.
Ana sudah mengenali Iklil sejak hari pertama dia mendaftar di sini,” maklum Qaiser kepada Farhan. Mereka sedang berjalan menuju kampus. “Benarkah? Pastilah begitu, dia paling menonjol dalam kalangan pelajarmu. Kertas kerjanya sungguh berlainan sekali, itulah yang menarik perhatianku. Malah, dia tidak malu untuk meluahkan pendapat,” kata Farhan. Inilah kali pertama pintu hatinya diketuk oleh seorang wanita. Dia memanjatkan syukur kepada Illahi kerana ternyata wanita itu seorang muslimah yang berbudi. Hatinya sedikit ragu, adakah dia layak untuk menjadi pasangan wanita sebegitu.
Dia seorang hafizah, sebelum tiba di sini,” kata Qaiser. “Dialah yang membantu rakan-rakan yang lain untuk menghafaz al-Quran. Alhamdulillah, dengan bantuannya, ramai yang tidak merasakan belajar ilmu duniawi dan menghafaz al-Quran pada waktu yang sama satu perkara yang membebankan. Dia, seorang da'i yang baik,” tambahnya. Dia teringat waktu pertama dia melihat Iklil. Iklil tidak memakai niqab seperti beberapa orang rakan yang bersamanya ketika itu. Seratus pelajar perubatan sedang sibuk mendaftar ketika dia, yang sedang duduk, tenang membaca al-Quran. Membiarkan yang lain menamatkan pendaftaran dahulu. Kesabarannya menarik perhatian Qaiser.
Farhan mengangguk, memahami. Bertambah sedikit kerisauannya. “Adakah anta rasa dia akan menerima ana?” tanya Farhan. “Adakah anta sudah istikharah?” balas Qaiser dengan pertanyaan. “Belum, subhanallah, belum,” Farhan tertunduk. Dia baru menyedari bahawa dia masih tidak melakukan istikharah. Setiap keputusan seharusnya hendaklah dirujuk kepada yang Maha Esa. “Istikharahlah sebelum membuat keputusan. Yakni, jika benar Iklil jodohmu, tidak akan ana menghalang malah ana akan membantu,” kata Qaiser. Mereka sudah memasuki kawasan kampus. Mereka akan berpisah di situ kerana Farhan juga mempunyai kelas di bangunan lain. Sedangkan Qaiser perlu ke bangunan Sains.
Mereka berhenti sebelum berpisah, dan bersalaman. Salam diberikan dan kedua-duanya melangkah menuju destinasi masing-masing.
Iklil, masih menjaga jarak, berjalan menuju jalan yang sama dengan Qaiser. Dia tertanya-tanya apakah yang mereka bincangkan.

No comments:

Post a Comment