Wednesday, October 26, 2011

TIGA BELAS

Dia duduk, mengikat tali kasut di penjuru masjid. Bibirnya sentiasa berzikir, seiring dengan apa yang dilakukan. Kedengaran kicauan burung, dia memandang ke langit. “Qaiser,” satu suara memanggil. Dia menoleh, dan tersenyum. “Assalamualaikum,” sapanya. “Wa'alaikumussalam,” balas Farhan. “Anta dah solat Dhuha?” tanya Farhan. “Alhamdulillah, sudah,” balas Qaiser. “Baru saja sebentar tadi. Kelas ana seterusnya setengah jam lagi,” tambahnya. Dia memandang Farhan yang baru saja melabuhkan punggung di sebelahnya. “Bagaimana dengan kelas anta, Farhan? Ada sebarang masalah?” tanya Qaiser. Farhan tersenyum lebar. “Alhamdulillah, tiada sebarang masalah. Malah semuanya baik-baik sahaja. Peperiksaan hampir tiba, pelajar ana semuanya sedang bertungkus-lumus,” Farhan menjawab panjang lebar.
Qaiser mendengar penuh tekun. Kurang dari dua minggu, peperiksaan akhir semester di QU akan bermula. Setelah habis, semua pelajar di siitu akan bercuti selama sebulan. Dia terdiam sendiri, memikirkan sesuatu.
Diam sahaja anta pagi ini, mengapa?” tanya Farhan memecahkan kesunyian. “Oh, ana teringat. Ana hendak bertanya, apakah pelajar tahun akhir di sini akan lakukan selama beberapa bulan sebelum graduasi?” Farhan melanjutkan pertanyaan. Dia merupakan pensyarah Biologi baru di QU, menggantikan sementara pensyarah yang sedang cuti bersalin. Baru saja memperoleh Ijazah Sarjana Perubatan dari Queens University. Dia dan Qaiser mula berkenalan semasa kedua-duanya menduduki peperiksaan untuk memperoleh biasiswa.
Kebiasaanya, pelajar tahun akhir akan masih berada di QU setelah tamat cuti untuk menamatkan hafazan al-Quran dan pembelajaran hadith. InsyaAllah, menjelang graduasi, kesemua mereka sudah menghafaz al-Quran dan hadith yang diperuntukkan,” balas Qaiser. “MasyaAllah, anta sungguh menitik beratkan bekalan akhirat mereka,” kata Farhan sedikit terkejut. Barulah dia sedar mengapa setiap masa pasti saja pelajar di sini membawa al-Quran. Tidak pernah pula dia bertanya.
Sesungguhnya, kita semua musafir di dunia. Tidaklah ana mahu mereka berjaya di dunia saja, dan melupakan akhirat. Sedangkan sudah nyata akhirat itu yang patut kita kejar,” jelas Qaiser. “Berbalik kepada soalan anta, mengapa anta hendak mengetahui?” tanya Qaiser. “Oh, ana sebenarnya, ada sesuatu yang hendak ana lakukan setelah mereka tamat belajar,” jawab Farhan. Dia tunduk. Qaiser hairan, tidak pernah dia melihat Farhan begitu malu menjawab sesuatu. Lantas dia mendapat ilham dari Allah. Dia meletakkan satu tangan di atas bahu Farhan. “Adakah anta hendak melamar salah seorang pelajar ana?” tanyanya. Dia senyum. 'Pastilah itu sebabnya,' bisik hatinya.
Farhan mengusap mukanya dengan tangan kanan. Dia memandang Qaiser. “Benarlah kata anta,” jawabnya. Qaiser tersenyum lebar. “Siapakah gerangan muslimah yang sudah membuka pintu hatimu dengan izin Allah?” Qaiser bertanya.
Iklil Bahiyyah,” balas Farhan.

No comments:

Post a Comment