Wednesday, October 26, 2011

SEBELAS

“Assalamualaikum, akhi,” Dzakirah memberi salam. Pintu rumah dibuka dan dia segera mencari abangnya. Nadhirah menyusul di belakang.
Akhi?” Dzakirah menjengukkan kepala ke dalam bilik abangnya. Kosong. Dia pelik. Jam sudah menunjukkan pukul 9.30 malam. Tidak mungkin abangnya sudah tidur. Masih awal. Namun dia juga resah kerana berpergian sehingga malam. Kalau tidak kerana Nadhirah bersunggguh mengajaknya bersiar-siar, dia hanya bercadang untuk duduk di rumah sahaja.
Nadhirah melangkah menghampiri Dzakirah, “I think they went out,” dia meluahkan pendapat. Dzakirah sekadar tersenyum di sebalik niqab. Abangnya tidak pernah keluar rumah pada waktu malam melainkan untuk urusan kerja atau ke masjid. Tapi oleh kerana abangnya tidak kelihatan di mana-mana, malah Qaiser juga tidak berada di situ, dia membuat kesimpulan mungkin sesuatu telah terjadi dan mungkin sahaja Dhamiri keluar.
La, ya ukhti. I'm still here.”
Dzakirah menoleh, sekali lagi dia tersenyum. Terus sahaja dia menghampiri Dhamiri, menyatakan segala apa yang dilakukan bersama Nadhirah sepanjang mereka di Kuala Lumpur. Matanya bercahaya kegembiraan dan cukuplah bagi Dhamiri untuk mengetahui bahawa adiknya telah memperoleh pengalaman yang baik. Dia mendengar penuh teliti tanpa menganggu dan tidak pula bertanya melainkan apa yang perlu. Nadhirah hanya memerhati kerana dia tidak memahami lahjah Arab yang digunakan mereka.
Qaiser menyentuh bahu Nadhirah, membuatkan adiknya menoleh. “Astaghfirullah, abang,” kata Nadhirah geram. “Terkejut Cahaya,” tambahnya. Qaiser senyum. “Sudah puaskah antunna berjalan?” dia bertanya. “Mungkin,” balas Nadhirah pendek. “Mungkin? Jadi ada peluang lagi untuk adik keluar dan menghabiskan duit abang?” Qaiser mengerutkan dahi. “Abang tak benarkan, bukan kerana duit, tapi kerana Dzakirah,” sambung Qaiser. “Oh, tidak sekali kami menggunakan duit abang, Dzakirah mengeluarkan duitnya sendiri. Kami membuat pertukaran wang asing setibanya kami di sana,” Nadhirah menjelaskan.
Sekali lagi Qaiser mengerutkan dahi. Sedangkan tadi dia hanya bergurau saja perihal menghabiskan duit. Bukannya dia tidak mahu adik kesayangannya keluar membeli belah, tapi dia cuma tidak mahu adiknya boros kepada sesuatu yang tidak perlu. Namun berita tentang Dzakirah menggunakan duitnya sendiri cukup untuk buat dia terkejut. Nadhirah menyedari perubahan air muka abangnya.
Dzakirah masih tidak mahu terhutang budi, mahupun duit dengan abang. Bukankah kalian akan melangsungkan akad nikah tidak lama lagi? Setelah itulah dia bersedia menerima nafkah daripada abang. Sedangkan sekarang, dia mahu membelanjakan apa yang diperolehinya sendiri,” terang Nadhirah. Tujuannya untuk menenangkan hati Qaiser.
Qaiser memahami. Dia menukar topik, “sudahkan anti solat?” Nadhirah mengangguk. “Membaca Quran?” Nadhirah menggeleng. “Bacalah,” tambah Qaiser sebelum berlalu pergi.

No comments:

Post a Comment