Friday, October 28, 2011

LIMA BELAS

Dzakirah melihat sekeliling biliknya. Kemas dan teratur. Dia berjalan menuju ke arah almari lalu dibuka, kosong. Dia memeriksa setiap laci dan setelah berpuas hati, dia duduk di atas katil. Dia merenung dua bagasi besar di hadapannya. Hatinya sakit sekali, seperti ada sesuatu yang meremukkan, cuba menghancurkan jiwanya. Dia meletakkan tangan kanannya di atas dada dan beristighfar. Kedengaran pintu bilik diketuk. Dzakirah menarik nafas panjang dan membuka pintu.
Assalamualaikum,” Dhamiri memberi salam lalu masuk ke bilik adiknya. “Wa'alaikumussalam,” balas Dzakirah. Dia tidak mahu berbicara panjang. “Adik sudah siap?” tanya Dhamiri. Sudah dua minggu dia berada di Malaysia, sedikit sebanyak sudah boleh bercakap Melayu walaupun agak pelat sedikit. “Sudah,” balas Dzakirah. Dia mengalihkan pandangan ke luar tingkap. “Penerbangan kita lagi empat jam, marilah kita bertolak. Abang akan tunggu adik di bawah. Turunlah bila sudah bersedia,” Dhamiri mengangkat kedua bagasi Dzakirah lalu keluar dari bilik. Dia tahu, Dzakirah sedang bersedih.
Setelah Dhamiri menutup pintu, Dzakirah mengeluh sendiri. Sudah dua minggu berlalu sejak dia bertemu kembali dengan Qaiser. Cepat sahaja masa berlalu. Qaiser sedaya upaya cuba berada di rumah, menemani dia dan abangnya jika tiada kelas di QU. Nadhirah juga begitu. Walaupun begitu, dia merasakan dua minggu cukup pendek sekali untuk dia meluangkan masa di sini. Tapi apakan daya, abangnya perlu kembali bekerja. Rumah di Turki juga perlu didiami kembali.
Sekali lagi terdengar ketukan di pintu. Dzakirah membuka pintu dan melihat Nadhirah di hadapannya. Setelah memberi salam, Nadhirah memeluk Dzakirah. “Pakailah niqabmu, abang berada di bawah menunggumu,” kata Nadhirah sambil meleraikan pelukan. Kelihatan matanya merah akibat menangis. Dzakirah tetap senyap, lalu menuju ke arah meja solek dan memakai niqab. Dia memakai pakaian serba hitam. Tidak pula berhias dengan sebarang perhiasan. Dhamiri melarangnya berhias walau dengan cara apa pun. Tidak pernah dia memakai pakaian yang berbunga.
Is Qaiser here?” tanya Dzakirah semasa mereka menuruni tangga. Qaiser dan Dhamiri tidak tinggal di rumah itu sepanjang mereka di situ. Mereka bermalam di hotel di ibu kota. Selain malam ketika mereka keluar bersiar-siar, mereka berdua tidak berada di rumah waktu malam. Qaiser dan Dhamiri hanya berada di situ ketika waktu siang, dan ketika semua pembantu rumah bersama. Dia tidak mahu fitnah terjadi.
Nadhirah menjawab pertanyaan Dzakirah dengan anggukan. Abangnya juga lebih suka mendiamkan diri sejak pagi. Dia berjumpa dengan Qaiser di QU sebelum mereka berdua menuju ke rumah untuk menghantar Dzakirah dan Dhamiri. “Adakah dia merasa kesedihan yang ku rasakan?” bisik Dzakirah sendiri. Nadhirah memandang, lalu berkata, “I never seen him more happy before he met you. It saddens him to be apart from you, again.” Dzakirah diam membisu. Hatinya sedih sekali. Lalu dia berzikir. Bukankah Allah sudah berfirman, dengan mengingati Allah, bahagia akan menyusul. Dia tenang.

No comments:

Post a Comment