Sunday, July 29, 2012

LIMA PULUH SATU



Fajar menyingsing pergi. Farhan berjalan kaki cuba menenangkan diri. Setiap satu langkah diiringi istighfar. Setiap hela nafasnya bersulam duka. Sukar sekali baginya menikmati keindahan dunia yang hanya sementara ketika itu. Kehijauan taman di Bukit Batok tidak mampu melembutkan hatinya. Farhan meneruskan perjalanan. Dia berjalan hingga dia menemui sebuah masjid.
Ar-Raudhah,” bisiknya sendiri.
Sudah menjadi kebiasaan baginya untuk menziarahi rumah Allah jika berkesempatan. Perasaan hatinya ditepis. Dia melangkah menuju ke Masjid ar-Raudhah itu, mengambil wudhu' dan menunaikan solat tahiyyatul masjid. Lama dia di dalam sujudnya dan berdoa. Bukan untuk menghilangkan kesedihan, bukan pula untuk memberikan apa yang terbaik untuk dirinya. Dia berdoa, supaya Allah meredhai akan dirinya.
Adakah Engkau redha akanku ya Allah?” hatinya berbicara.
Farhan melangkah ke satu sudut di ruang solat masjid lalu duduk di situ. Dia beriktikaf, mengingaati hadith di dalam kitab Sahih Bukhari, Abdullah bin Umar r.a. berkata, "Rasulullah s.a.w biasa melakukan i'tikaf pada sepuluh hari yang terakhir dari bulan Ramadhan."
Matanya dipejamkan. Dia teringat ketika kedua ibu bapanya bertanya mengapa dia tidak mahu menjadi seorang doktor. “Farhan tidak mahu terlalu sibuk hinggakan tiada masa untuk beribadah,” balasnya ketika itu. Sememangnya dia seorang yang suka mengunjungi masjid. Di hujung minggu jika dia ketiadaan kelas mahupun apa-apa yang perlu dibuat, dia akan memandu merentasi Indonesia, berhijrah dari satu masjid ke masjid yang lain.
Matanya dibuka. Dia tidak tahu hendak berbuat apa. Sudah cukup kejutan yang diberikan Qaiser apabila dia melamar Iklil. Dia tidak mampu untuk menunggu di situ untuk bertanya. Bukan kerana dia tidak mahu mendengar sebab, tapi dia tahu dia akan menarik balik lamarannya pula. Qaiser seribu kali lebih baik daripadanya dirinya pada pandangannya. Sudahlah berjaya di usia muda, kehidupannya sangat menitik beratkan Islam.
'Siapakah aku, untuk menandinginya?' fikir Farhan sendiri.
Matanya dipejamkan. Memori lama terimbau kembali. Pertemuan pertamanya dengan Qaiser.
*****

2 comments:

  1. ada sambungan ke..sila lah dtg ke blog sy..http://ajax85.blogspot.com

    ReplyDelete
  2. nice blog. salam perkenalan :) do follow mine :)

    ReplyDelete