Monday, January 23, 2012

EMPAT PULUH LIMA


Tiga beg kecil memenuhi ruang belakang kereta. Qaiser dan Nadhirah menaiki Toyota Vios milik Qaiser manakala Farhan menaiki kenderaannya sendiri. Mereka bertiga akan ke KLIA untuk menaiki penerbangan 3 jam kemudian ke Singapura. Nadhirah jarang sekali memandu, malahan hanya jika terpaksa. Qaiser juga hanya memandu dalam kelajuan sederhana jika Nadhirah ada di tempat duduk penumpang kerana Nadhirah sedikit takut akan kelajuan. Pernah sahaja dahulu ketika kecil dia menolak Nadhirah di buaian dengan kelajuan yang baginya biasa sahaja, namun Nadhirah telah menangis minta diturunkan.
Setibanya mereka tiba di KLIA dan menguruskan tiket, ketiga-tiga mereka duduk di terminal penerbangan antarabangsa menanti panggilan penerbangan ke Singapura. Farhan memandang Nadhirah yang duduk tidak jauh dengannya. “Tidak mengapakah bagimu jika abang bersama Iklil?” tanya Farhan. Qaiser yang duduk di antara mereka hanya diam, berzikir di dalam hati. Nadhirah tidak memandang Farhan buat beberapa ketika. Kemudiannya dia mengangkat muka lalu berkata, “InsyaAllah, tiada apa.”
Lagipun, sudah lama Cahaya tidak bertemu dengan Amir,” tambahnya. Nama itu apabila disebut terasa pahit sedikit di bibirnya. 'Perasaan saja,' bisik hatinya. Farhan menganggukkan kepala, tanda memahami. Mereka berdua sepi kembali memikirkan hal masing-masing.
Di dalam sepi itu Qaiser berbicara,
“Selalu saja, manusia itu bersedih tatkala mengenangkan jarak antara kekasih hati. Mandi dikatakan tak basah, tidur dikatakan tak lena, makan dikatakan tidak kenyang. Bahkan itu sekadar cinta kepada manusia, cinta kepada makhluk. Sehari tak bersua bagaikan seribu tahun. Cuba fikirkan, bagaimana hubungan dengan al-Quran? Al-Quran itu juga mempunyai perasaan. Sehari kita tak baca, al-Quran juga mampu merajuk. Jika hafalan tidak diulang, ia juga bakal meninggalkan kita malah jauh sekali tak mahu kembali. Cuba fikirkan, bagaimana hubungan dengan Allah? Dia yang menciptakan kita dan menciptakan orang yang digelar kekasih itu. Setiap perasaan itu nikmat, namun ada batasannya.”
Salahkah ana jatuh cinta, Qaiser?” tanya Farhan. “Cinta itu cahaya sanubari, kurniaan Tuhan fitrah insani. Cinta itu tidak pernah meminta, tetapi memberi sepenuh rela,” balas Qaiser dengan bait-bait daripada sebuah lagu. “Tidak salah, malah kita juga akan membawanya ke jalan yang halal bukan? Cuma ana hendak mengingatkan ketiga-tiga hati di sini. Cinta mungkin penyebab segala-gala maka hendaklah kita tetap bersedia. Membezakan antara nafsu dan fitrah,” sambung Qaiser.
Perbualan mereka terhenti tatkala terdengar panggilan untuk mereka masuk ke dalam pesawat.

No comments:

Post a Comment