Sunday, January 22, 2012

EMPAT PULUH DUA


“Kamu masih muda,” kata Syed Furqon. Isterinya, Sumaiyyah hanya mengangguk disebelahnya. “Tiada ada had usia untuk berkahwin, ayah,” kata Amirullah. Dia menggetap bibirnya. “Siapa ayahnya? Kami harus tahu keturunannya,” tanya Syed Furqon. Dia sungguh mementingkan keturunan dan asal usul. Baginya, pentingnya keturunan yang baik seperti pentingnya udara kepada dirinya.
Namanya, Nur Ghazalah Nadhirah,” Amirullah mengulang nama Nadhirah. “Dia, adiknya Haq-qul Furqon.”
Adik Qaiser?” tanya Iklil Bahiyyah yang sedari tadi menyepi di sebelah Habibullah. Dia sedikit terkejut, malah apabila dia melihat reaksi ibu bapanya, mereka juga kelihatan tersentak. “Mengapa kamu tidak memberitahu kami sebelum ini?” tanya Sharifah Sumaiyyah. “Saya baru tahu, ibu,” jelasnya. “Dia, tidak pernah dilihat,” kata Sharifah Sumaiyyah. Baru sekarang dia memahami mengapa anaknya berkata dia tidak pernah melihat wajah wanita yang mahu dinikahinya. “Empat keturunan satu darah,” kata Syed Furqon. Mereka berdua diam, memikirkan sesuatu.
Amirullah mula hilang sabar, dia berdiri. “Apa pentingnya keturunan ayah? Saya mahu menikahinya. Tiada persoalan yang patut ditanya. Bukankah ayah juga bernikah dengan ibu tanpa memikirkan keturunanmu?” katanya tegas. “Abang,” kata Iklil. “Adakah begini tingkahmu terhadap ibu dan ayah? Abang baik sahaja di hadapan wanita yang abang cinta, tapi kamu berkeras terhadap ibu dan ayahmu sendiri? Cinta telah membutakan abang. Istighfar,” sambung Iklil. Dia sendiri beristighfar. Dia berasa tidak selesa apabila ketegangan mula kelihatan.
Maafkan saya,” kata Amirullah. Dia kembali duduk. Suasana diam seketika. “Haq-qul Furqon, adakah dia tahu tentang perkara ini?” tanya Syed Furqon. Amirullah mengangguk. Ibu dan ayahnya ternyata lebih mengenali Qaiser daripada dia sendiri. Ayahanda dan ibunda Qaiser bersahabat dengan mereka sebelum dia lahir lagi. Dia hanya bertemu Qaiser ketika zaman persekolahan. Amirullah menarik nafas panjang. “Bagaimana dengan keturunannya?” tanya Amirullah. Dia tahu bahawa pasti ibu dan ayahnya tahu bagaimana salasilah keluarga Qaiser.
Syed Furqon menatap wajah anaknya. Nafas yang panjang turut diambil dan dihela. “Ayahanda mereka, berdarah Pakistan dari sebelah ayahandanya kembali dan Perancis dari sebelah umminya. Ibunda mereka, lahir di sini, berketurunan Melayu dari ayahandanya dan Cina daripada umminya. Mata biru Qaiser itu dari nenda sebelah ayahandanya. Mungkin kamu dapat mengagak, seperti ibumu sendiri, keluarga mereka bukanlah dari keluarga Muslim sepenuhnya. Kedua-dua nenda Qaiser adalah muallaf,” kata Syed Furqon.

No comments:

Post a Comment