Sunday, January 22, 2012

EMPAT PULUH EMPAT


Sumaiyyah memandang suaminya setelah ketiga-tiga anak mereka masuk ke bilik masing-masing. “Abang tahu kan kita tidak mungkin menjodohkan mereka?” tanya Sumaiyyah. Syed Furqon melepaskan keluhan berat. “Pastilah, abang berada di situ ketika ayahanda Haq-Qul Furqon menulis wasiat,” balas Syed Furqon. “Kalau begitu, bagaimana hendak kita terangkan kepada Amirullah?” tanya Sumaiyyah lagi. “Kita hanya katakan kita tidak memberi restu. Wasiat itu hanya boleh dibacakan pada waktunya yang telah ditetapkan,” jawab Syed Furqon.
Sumaiyyah menganggukkan kepala setelah mendengar jawapan suaminya. Mereka berdua kekal menyepi buat beberapa ketika sebelum beransur ke bilik. Tanpa mereka sedari, Habibullah yang masih kecil itu bersembunyi di sebalik dinding. Setelah mereka menutup pintu barulah dia berlari anak ke tingkat atas lalu mengetuk salah satu pintu bilik. Dia memberikan salam. Tidak lama kemudian, pintu terbuka.
Adik mendengar perbualan ibu dan ayah lagi ya?” kata Iklil tatkala dia melihat adiknya itu. Habibullah mengangguk. “Adakah itu dosa?” tanya Habibullah. “Itu tidak sopan, Habibullah,” balas Iklil. “Masuklah,” sambungnya. Habibullah menapak masuk ke kamar Iklil. Keluasan bilik kakaknya itu sama sahaja seperti biliknya. Cuma warna temanya berbeza. Kakaknya menggemari warna coklat, namun dia lebih suka memilih warna krim.
Akh Qaiser juga menyukai warna coklat bukan? Warna kayu, dahan,” kata Habibullah. Dia duduk di sudut katil. Iklil duduk di sebelah adik bongsunya itu. “Bagaimana kamu tahu akan itu?” tanya Iklil hairan. “Abang pernah membawa ku ke rumah akh Qaiser. Besar. Sepi. Namun tidak pernah pula bertemu dengan kekasihnya abang,” jawab Habibullah jujur. “Bukan kekasih, ya Habibullah. Bercinta hanya selepas nikah,” Iklil memperbetulkan persepsi Habibullah.
Habibullah terdiam seketika. Dia berkira-kira mahu menceritakan atau tidak apa yang diketahuinya, apa yang didengarinya. Dia masih kecil, tidak memahami apa-apa. Dia tidak tahu apa itu cinta, yang dia hanya tahu cintanya kepada Allah, Rasulullah, al-Quran dan keluarga. Islam pegangan hidupnya sejak dia kecil.
Habibullah menarik nafas panjang.
Ya ukhti,” dia berkata. Iklil senyum lalu membalas dengan jawapan yang sering digunakan Habibullah apabila dipanggil sesiapa pun, “Ya saya.”
Habibullah memandang tepat ke arah Iklil lalu berkata, “Bagaimanakah sekiranya, sebenarnya, akh Qaiser itu dijodohkan untuk akak, Iklil Bahiyyah?”

No comments:

Post a Comment