Friday, January 6, 2012

EMPAT PULUH SATU


Kereta Amirullah memasuki laman rumahnya. Dia keluar daripada kereta dan melangkah menuju ke pintu banglo dua tingkat itu. Dia terhenti di pintu, tanggan kanannya di atas tombol. Kedengaran suara yang merdu di telinganya. Amirullah tersenyum, alunan bacaan al-Quran itu adalah suara adiknya yang bongsu, Habibullah. Dia membuka pintu sambil memberi salam. Tiada siapa yang menyahut. Dia berjalan sedikit menuju ke arah bilik yang paling hampir dengan ruang tamu. Dia mengetuk pintu dan memberi salam sekali lagi.
Seketika kemudian, alunan al-Quran itu berhenti dan kedengaran bunyi seseorang meletakkan sesuatu dan pintu terbuka. Amirullah menundukkan pandangan sedikit dan tersenyum melihat adiknya itu yang sedang mendongakkan kepala. “Sakif Habibi,” kata Amirullah. “Ya saya,” balas Habibullah. Dia senyum lebar menunjukkan barisan gigi yang putih. “Mana ibu?” tanya Amirullah. Habibullah mengangkat kedua-dua bahunya sebagai tindakan refleks. “Tak tahu, wallahua'lam,” katanya. Dia melangkah ke dalam biliknya lalu duduk di atas katil. Senyumannya mulai pudar.
Ibu, tidak bersetuju dengan keputusan abang,” kata Habibullah. Senyuman Amirullah juga terhenti, namun dia cuba mengekalkannya. Dia melabuhkan punggung di sebelah adiknya. “Bagaimana dengan adik?” tanya Amirullah. Habibullah tidak segera menjawab. Dia memandang abangnya buat beberapa ketika. “Adakah begitu susah menurut kata ibu?” balasnya jua dengan pertanyaan. Amirullah terkesima, dia mengeluh sedikit. Adiknya yang berumur 10 tahun itu cukup pandai berkata-kata. Amirullah menggelengkan kepala. “Tidak susah, cuma payah,” balasnya. Habibullah mengerutkan dahi, tidak memahami.
Syurga itu di bawah tapak kaki ibu,” katanya menguatkan hujah. Amirullah menganggukkan kepala. “Benar, sahih,” balasnya. “Lalu?” tanya Habibullah. Amirullah senyum lalu mengangkat tangan kanannya dan mengusap kepala Habibullah. “Adik masih tidak bertemu dengan Cahaya ku. InsyaAllah, nanti kamu akan mengerti,” katanya.
Tiba-tiba satu suara membalas. “Pertemukan kami dengan dia.” Amirullah dan Habibullah kedua-duanya menoleh. Kelihatan ibu mereka sedang berdiri di muka pintu. Air mukanya tenang sahaja namun Amirullah tahu, hatinya gelisah. Baru sahaja dia memaklumkan tentang niatnya untuk berkahwin beberapa hari lepas. Dia tidak mendapat restu, namun dia berazam untuk mendapatkannya. “Namanya Nur Ghazalah Nadhirah. Saya memanggilnya Cahaya, ibu,” kata Amirullah. “Adakah kerana kecantikannya membuatkan kamu terpesona?” tanya ibu mereka. Amirullah menggeleng. “Bahkan wajahnya pun masih belum saya lihat,” balasnya. Ibunya menahan nafas. Berfikir. Maksudnya wanita yang ingin dinikahi anaknya itu berniqab. Hatinya sedikit lega. “Kalau begitu, marilah. Berbincang dengan ayah sekali lagi di ruang tamu,” katanya. Seketika kemudian mereka sekeluarga berkumpul di ruang tamu kediaman itu.

No comments:

Post a Comment