Sunday, January 22, 2012

EMPAT PULUH TIGA


Syed Furqon memandang isterinya, lalu meneruskan bicara. “Ibundanya menyahut seruan Illahi ketika melahirkan adik Qaiser itu. Sejak itu, kami tidak pernah melihat keluarga mereka. Ayahandanya sudah tidak menziarah kenalannya sehinggalah satu hari, kami menerima berita bahawa dia juga sudah kembali ke rahmatullah.”
Saya tahu semua itu ayah, saya mengenalinya juga ketika saat dia kehilangan ayahnya. Tapi, saya tidak memahami mengapa kewujudan Nadhirah itu bagaikan satu rahsia?” tanya Amirullah. “Kerana wanita itu sememangnya satu rahsia. Tidakkah kamu pernah terfikir mengapa tiada nama wanita di dalam al-Quran melainkan Maryam? Kerana darjatnya wanita itu sememangnya perlu dijaga. Demi Allah, anakku. Ketika ini tiada risaunya ayah tentang keturunan dia kerana dia lebih terjaga daripadamu. Jika kamu tahu bagaimana Islam datang kepada kedua nendanya pasti sahaja kamu menangis dan tafakkur akan begitu mudahnya kamu dilahirkan menjadi seorang Muslim. Apakah penderitaan Haq-qul Furqon yang kamu tahu bahkan adakah yang kamu mahu tahu?” balas Syed Furqon. Dia berhenti.
Giliran Sumaiyyah pula melihat Amirullah yang kelihatan keliru. “Amirullah, kami risau, jika Nadhirah itu tidak mahu menerima kamu. Keluarganya berada, dan mereka diwasiatkan dengan harta yang tidak kita mampu tandingi. Bukankah mencari pasangan yang sekufu itu juga satu kemestian?” kata Sumaiyyah. “Kemestian bukan kewajipan ibu. Abang, pastikanlah dahulu jawapan Nadhirah untukmu,” kata Iklil pula. Perbualan mereka terhenti dengan bunyi deringan telefon.
Habibullah berdiri lalu mengangkat telefon dan meletakkan gagang di telinganya. Salam diberikan. Dia tersenyum seketika dan berbicara dengan yang menelefon. Seminit kemudian gagang dihalakan kepada Amirullah. Amirullah mengambilnya lalu mendengar suara di hujung talian untuk mengetahui siapa pemanggilnya. “Qaiser,” bisik Amirullah. Buat beberapa minit dia hanya mendengar apa yang dikatakan Qaiser dan kadang-kala mencelah di mana-mana. Setelah tamat perbualan, dia meletakkan kembali gagang telefon dan berpaling kepada ahli keluarganya. “Cahaya terima,” katanya. Dia tidak tersenyum. Hatinya berbelah bahagi sama ada mahu gembira atau tidak walaupun sinar kebahagiaan sudah mula bertapak di hati. Kata putus ibu dan ayahnya masih tidak diketahui.
InsyaAllah, ibu dan ayah akan berbincang dahulu berkenaan ini. Kalian boleh kembali ke kamar masing-masing,” kata Sumaiyyah. Amirullah memandang Iklil dan adiknya itu memberi isyarat supaya menurut sahaja kata ibu mereka. Dia, Iklil dan Habibullah melangkah ke bilik tidur mereka dengan penuh tanda tanya.

No comments:

Post a Comment