Wednesday, November 30, 2011

DUA PULUH SATU


Nadhirah berlegar di ruang tamu. Niqabnya masih menutup muka, walaupun di dalam rumah sendiri. Sedikit dia risau, Farhan akan menziarahi sebentar lagi, untuk mengetahui jawapan. “Cahaya, duduklah,” pinta Qaiser. Dia sedang membaca buku al-Hikam karya Ibn' Ata'illah. Dia beristighfar, Nadhirah masih kurang matang dalam bersabar. Nadhirah akur dengan abangya, dia duduk. Tidak lama kemudian, dia berdiri kembali. Kereta Toyota Camry milik Farhan sudah berada di hadapan rumahnya. Pembantu rumahnya segera membuka pintu, Farhan memberikan salam sebelum masuk.
Dia melihat Nadhirah, membuatkan Nadhirah tertunduk. Farhan tersenyum. “Ana lewatkah? Cahaya seperti resah menunggu, hingga tidak duduk,” tegurnya. Dia bersalaman dengan Qaiser. Qaiser tersenyum, menahan tawa. Dia teringat, Rasulullah s.a.w juga hanya tersenyum menampakkan gigi apabila gembira, tidak tertawa. “Kef Helk, ya ahi?” Qaiser bertanya. “Alhamdulillah, wa anta?” “Alhamdulillah aidhan,” balas Qaiser. Nadhirah hanya memerhati.
Mereka berdua duduk, meninggalkan hanya Nadhirah yang berdiri. “Apakah abang sudah bersedia mengetahui jawapannya?” tanya Nadhirah. “InsyaAllah, sudah. Tidaklah abang meletakkan harapan terlalu tinggi, tapi ia tetap ada,” balas Farhan. Nadhirah lega sedikit. Dia duduk di atas kerusi di penghujung meja. Farhan menatap wajah Nadhirah, walaupun tidak nampak di sebalik niqab. Dia kadang-kadang terfikir, alangkah baiknya jika dia mampu melihat menerusi niqab, untuk membaca ekspresi seseorang. Benarlah, niqab itu menjadi pelindung yang nyata bagi seorang wanita.
Iklil minta ditangguhkan, sehingga graduasi,” jelas Nadhirah lancar. Sedikit pantas perkataan yang terucap itu.
Tangguh?” ujar Farhan bingung. Dia sudah menangguhkan hasratnya itu berbulan lamanya. Kenapa perlu ditangguh lagi apabila sudah terluah? Hatinya mengeluh kecewa, namun dia segera beristighfar. Berfikir seketika. Qaiser dan Nadhirah hanya membiarkan Farhan sunyi. Mereka tahu, dia sedang menilai apa yang berlaku, memikirkan sebab mengapa ia berlaku. Sudah bertahun lamanya Farhan dikenali mereka berdua.
Tidak lama kemudian, Farhan berbicara. “InsyaAllah ada hikmah disebaliknya. Kalau begitu, kita tangguhkan dulu hajat di hati hingga graduasi tamat. Tapi selepas itu, ana akan terus menghantar rombongan ke rumah Iklil.” Qaiser diam lagi. Dia menarik nafas, “Sudahkan ana maklumkan, Iklil itu seorang yatim piatu?” katanya.

No comments:

Post a Comment