Saturday, December 31, 2011

EMPAT PULUH


“Mak cik restu,” suara Mak Cik Maimunah memecahkan kesunyian yang sementara itu. Kesemua mata memandang ke arahnya. “InsyaAllah, Cahaya akan dijaga dengan baik,” tambahnya lagi. Pak Cik Zahid, Pak Hassan dan Mak Cik Embun menganggukkan kepala mereka. Ketiga-tiga mereka turut merestui perkahwinan Nadhirah. Nadhirah tersenyum, lalu mengucapkan 'Alhamdulillah' di dalam hatinya. Dia bersyukur kerana kesemua orang yang paling dikasihinya menerima dengan redha. Dia memeluk Mak Cik Embun dan Mak Cik Maimunah. Tidak lama kemudian, dia menemani mereka semua ke pintu lalu melihat mereka menaiki kenderaan masing-masing untuk pulang ke rumah.
Nadhirah memandang Qaiser disebelahnya. “Alhamdulillah,” kata Nadhirah. Qaiser senyum. “Tak sangka adik abang akan berkahwin dulu dari abang,” usik Qaiser. MataNadhirah terbeliak, dia memukul abangnya di lengan kanan. “Mana ada. Nadhirah kahwin tahun depan. InsyaAllah, sebelum itu abang kena kahwin dulu,” tingkah Nadhirah. Sebolehnya dia mahu mendirikan rumah tangga selepas Qaiser berkahwin. Dia tidak mahu dikatakan 'langkah bendul'. Walaupun dia tahu mungkin saudara-maranya tidak kisah, namun dia masih akan terasa pelik jika abangnya berkahwin selepas dia.
Qaiser menggelengkan kepala. “InsyaAllah, belum sampai masanya lagi. Bukankah abang akan melanjutkan pelajaran ke Belford tak lama lagi? Mungkin hanya seminggu dua saja abang di sini,” kata Qaiser. Dua tahun lagi barulah pembelajaran peringkat sarjananya akan tamat. Ketika itulah baru dia hendak memikirkan tentang perkahwinan.
Abang nak tinggalkan Cahaya lagi?” tanya Nadhirah sambil membuat muka sedih. Di matanya jelas terpancar kesedihan yang mula singgah di hati. Qaiser baru sahaja mendapat segulung ijazah, kini perlu lagi ke luar negara untuk menyambung pelajaran. Bukan selalu Qaiser akan kembali ke Malaysia. “Mana ada abang nak tinggalkan Cahaya, kan setiap hari abang telefon Cahaya... Tengok bil telefon itu, melambung naiknya,” gurau Qaiser mencuba untuk menghiburkan hari Nadhirah. “Orang tak suruh pun telefon,” gumam Nadhirah sendiri. Memang benar Qaiser akan menelefon dia setiap hari. Dia tidak suka sekadar bersembang di Yahoo Messenger.
Sudahlah, hanya 2 tahun sahaja lagi, abang akan terus menetap di sini. Cahaya sudah penat bukan? Pergilah ke bilik dan berehatlah. Jangan lupa untuk membaca al-Quran,” kata Qaiser menutup perbualan. “Abang kejutkan Cahaya untuk qiamullail boleh?” tanya Nadhirah. “InsyaAllah. Cahaya jangan tak bangun pula. Nanti abang renjiskan dengan air sejuk,” gurau Qaiser lagi. Sekali lagi lengannya menjadi mangsa pukulan Nadhirah. Qaiser hanya membalas dengan senyuman.

No comments:

Post a Comment