Tuesday, December 13, 2011

DUA PULUH ENAM


Amirullah tersenyum sendiri. Sekali lagi dia mengangkat muka, lalu memandang jauh ke dalam kegelapan. Dia memalingkan muka sedikit ke sebelah kanan, kedengaran bunyi seseorang memasak. Iklil baru sahaja pulang dari kedai runcit berhampiran dan sedang memasak juadah berbuka puasa untuknya. Walaupun dia sedikit kecewa kerana Iklil tidak menjumpai kuih koci yang diinginkan. Entah kenapa, dia teringin hendak merasa kuih itu sedangkan kuih kesukaannya adalah kuih cara berlauk.
Dia berzikir, mengingati kekasihnya, Allah s.w.t. Ketika itu dia teringat akan satu ayat.
Bercinta memang mudah. Untuk dicintai juga memang mudah. Tapi untuk dicintai oleh orang yang kita cintai itulah yang sukar diperoleh. Dia mengerutkan dahi, cuba mengingat lagi. Ayat itu telah diperkatakan kepadanya oleh seseorang. Oleh orang yang sama juga dia mendengar, “Manusia memang suka bercinta, tapi manusia sering lupa. Cinta itu bukan sekadar untuk manusia. Cinta itu juga untuk alam, untuk ilmu dan untuk nikmat. Malah yang paling penting, cinta untuk nabi kita Rasulullah s.a.w dan pencipta saya, pencipta awak, Allah s.w.t.”
Cahaya,” bisik Amirullah.
Apa abang cakap?” satu suara bertanya. Amirullah mengangkat muka, membayangkan adiknya ada di hadapannya sekarang, kerana pasti itu yang sedang berlaku. “Apa abang cakap?” tanyanya kembali. Nada suaranya tidak jauh beza dengan nada suara Iklil. Kedua-dua mereka bertanya sesuatu yang tidak pasti.
Iklil duduk di sebelah abangnya. “Tadi, adik terdengar abang cakap sesuatu, apa dia?” Iklil melanjutkan soalan. Dia pelik, kebiasaannya, setiap kali dia kembali ke Singapura, hanya perkara biasa akan berlaku. Dia akan menemani abangnya di masjid, dan mengemaskan rumah abangnya yang hanya terletak bersebelahan dengan masjid. Sejak abangnya hilang penglihatan, dia telah menggajikan seorang pembantu untuk melihat keadaan abangnya. Pembantu yang bernama Hanif itu hanya akan membantu di siang hari dan menyediakan segala keperluan untuk keesokan harinya.
Jujur, abang tak ingat abang katakan apa. Rasanya, tak sebegitu penting. InsyaAllah,” jawab Amirullah jujur. Dia tahu, ingatannya terhad. Tapi jarang sekali dia lupa sesuatu yang baru berlaku. Dia redha, mungkin Allah tidak ingin dia mengingati perkara itu. Segera dia menukar topik perbualan, “Pembelajaran adik di QU bagaimana?” tanya Amirullah. “Alhamdulillah, lagi beberapa minggu majlis graduasi akan dilangsungkan,” jawab Iklil. Dia memandang abangnya penuh kasih. “Abang, adik nak minta restu,” sambungnya.
Restu untuk apa?” tanya Amirullah. Walaupun jauh di sudut hati dia sudah dapat mengagak apa yang bakal dikatakan. “Restu untuk menikah,” jawab Iklil.

No comments:

Post a Comment