Saturday, December 31, 2011

TIGA PULUH TUJUH


Nadhirah memberi salam lalu terus sahaja masuk ke dalam rumah. Dia telah dijemput oleh pemandunya yang dipanggil Pak Cik Zahid di sekolah tadi. Tatkala kakinya sudah melangkah di dalam rumah, dia sudah melihat bermacam lagi jenis bunga yang berwarna putih. “Kali ini bunga betul pula,” desis hatinya. Dia tersenyum sendiri membayangkan bagaimana pembantu-pembantu rumahnya akan sibuk mengemaskan bunga-bunga itu apabila ia layu nanti.
Cahaya,” panggil satu suara. Pandangan Nadhirah melirik ke tangga dan melihat Qaiser sedang melangkah menghampirinya. Di belakang Qaiser adalah lelaki yang dikenali sebagai Amirullah itu. “Apa Amir itu buat di sini?” tanya Nadhirah. Amirullah terkejut, tiada siapa pernah memanggilnya dengan nama pendek seperti itu. Malahan kawan-kawannya semua menggunakan panggilan 'Amirullah'. “Cahaya, tak manis memanggil seseorang dengan nama yang tidak disukainya. Panggillah Amirullah,” tegur Qaiser. “Tapi...” Nadhirah cuba membantah. “Tak apa, Qaiser. Ana terima saja panggilan apa pun,” potong Amirullah. Nadhirah menjeling Amirullah. “Jangan harap nak ambil hati aku,” bisiknya di dalam hati.
Mari kita duduk dan berbincang. Cahaya sudah solat kan di sekolah tadi?” tanya Qaiser. Nadhirah sekadar mengangguk. Mereka bertiga duduk di ruang tamu. Nadhirah di sebelah Qaiser manakala Amirullah pula di hadapan mereka berdua. Amirullah memulakan bicara,
Begini, saya rasa sudah sampai masanya untuk saya mendirikan rumah tangga. Walaupun saya masih belajar, insyaAllah saya mampu untuk menyara seorang isteri. Setelah beristikharah dan mencari, saya dipertemukan dengan awak,” Amirullah memandang Nadhirah. “Saya dipertemukan dengan Nur Ghazalah Nadhirah.” “Saya rasa saya tidak pernah bertemu dengan awak,” tungkas Nadhirah. “Benar, saya hanya ternampak ketika saya sedang menemani rakan saya di Masjid Negeri minggu lepas. Bukankah awak dan abang awak juga berkunjung ke situ pada masa yang sama?” jelas Amirullah.
Nadhirah terdiam. Dia mengingat kembali kunjungannya ke Masjid Negeri minggu lepas. Sememangnya setiap hujung minggu Qaiser akan membawanya ke situ untuk solat berjemaah dan beriktikaf seharian. Pasti Amirullah terlihatnya ketika dia keluar untuk memperbaharui wudhu' ketika waktu solat seterusnya hampir tiba. “Bagaimana awak tahu siapa saya?” tanya Nadhirah lagi. “Saya bertanya kepada semua yang hadir di saat itu dan tatkala saya ternampak Qaiser di kalangan jemaah, saya juga bertanya kepada dia. Subhanallah, rupa-rupanya ternyata Qaiser abang kepada wanita berniqab yang telah mengetuk pintu hati saya,” jelas Amirullah.
Qaiser yang mendengar hanya menyepikan diri. Bibirnya tidak berhenti dari berzikir dan berselawat. Persoalan jodoh baginya belum lagi mampu dibicarakan. Dia baru sahaja mendapat surat tawaran ke Belford ketika itu.

No comments:

Post a Comment