Sunday, December 11, 2011

DUA PULUH LIMA


“Kuih koci?” tanya wanita tua itu. Nadhirah menangguk. “Ya, mak cik. Kuih koci ada?” ulang Nadhirah buat kali kedua. Dia sedikit kecewa apabila jawapannya tidak seperti yang diharapkan. “Maaf nak, mak cik tak buat kuih koci. Kuih yang mak cik jual ini saja,” jawab wanita tua itu sambil tangannya menunjukkan bekas-bekas yang dipenuhi kuih dihadapan gerainya. Nadhirah hanya memandang kuih-kuih itu tanpa berkata apa-apa. Kuih kasturi, lopes, pengat, lapis dan pelbagai lagi hanya dipandang sepi. Sudah lima gerai ditanya, namun dia masih tidak menjumpai kuih yang dihajati.
Nadhirah mengucapkan terima kasih dan berlalu pergi. Dia bingung, hendak mencari di mana lagi. Tiba-tiba dia mendengar namanya dipanggil.
“Cahaya,” suara itu memanggil lagi. Nadhirah memalingkan muka lalu ternampak Farhan menghampiri. Farhan sedang memegang beg plastik kecil bewarna merah yang berisi sesuatu. Nadhirah tersenyum lebar apabila menyedari apa yang dibawa oleh Farhan itu.
Mana abang dapat kuih koci ini?” tanya Nadhirah. Tangannya menyambut huluran beg plastik itu dari Farhan. Farhan tersenyum melihat Nadhirah yang bagaikan terpaku melihat kuih kegemarannya itu. “Ini rezeki dari sisi Allah,” jawab Farhan. “Dah, jom balik sekarang. Kasihan Qaiser sudah lama tunggu di dalam kereta,” sambungnya. Mereka bertiga membuat keputusan untuk membeli-belah di pasar berdekatan setelah Qaiser dan Farhan pulang dari masjid sesudah Asar. Qaiser hanya menanti di kereta sementara Farhan dan Nadhirah sibuk membeli juadah. Dia kurang suka untuk berada di tempat yang dipenuhi orang dan sesak.
Farhan dan Nadhirah berjalan kembali ke kereta. Farhan di hadapan dan Nadhirah beberapa langkah di belakang. Nadhirah tidak putus-putus mengucapkan hamdalah kerana telah berjaya mendapat kuih yang dihajati. Sememangnya, ramai kenalah Nadhirah mengetahui kesukaannya yang satu itu. Kuih tradisional masyarakat Melayu, kuih koci.
Kesukaannya itu berlainan sekali daripada biasa kerana dia tidak suka akan sesuatu yang manis. Walaupun dia suka membuat kek dan biskut, tetapi tidak pernah dia merasa. Dia menyukai bubur dan sup yang sedikit masin dan lauk-lauk yang pedas. Jika tidak, dia suka jika sesuatu itu tidak terasa apa pun. Seleranya berbeza dengan Qaiser yang menggemari masakan manis. Oleh itu, apabila makan di rumah, mereka makan bersama pembantu-pembantu yang ada ketika itu supaya kesemua juadah akan habis dimakan untuk mengelakkan pembaziran.
Hanya lima minit kemudian, mereka sudah berada di dalam kereta dan Qaiser memandu kembali ke kediamannya. Mereka akan berbuka puasa bersama hari itu.

No comments:

Post a Comment