Monday, December 26, 2011

TIGA PULUH TIGA

Iklil meletakkan telefon bimbit di atas meja. Dia berfikir sendiri. Nadhirah baru sahaja memaklumkan kedatangan Farhan ke Singapura esok hari. Dia tidak risau akan itu, dia juga tidak risau akan kehadiran Qaiser yang menemani Farhan. Dia hanya merisaukan, kehadiran Nadhirah ke Singapura. Dia tidak tahu ingin memberi reaksi bagaimana. Adakah seharusnya dia gembira, atau pun bersedih. “Mengapa pertemuan ini mesti berlaku?” bisik Iklil sendiri. Dia beristighfar. Tidak seharusnya dia mempersoalkan ketentuan Allah. Allah Maha Mengetahui apa yang ada di langit dan apa yang ada di bumi.
Langkahnya menuju ke kamar mandi, wudhu' diambil sekali lagi walaupun dia masih dalam keadaan suci, lalu dia menunaikan solat sunat dua rakaat. Usai solat, dia membaca al-Quran. Satu-persatu ayat dibaca, satu-persatu makna dilihatnya. Pada surah ar-Rahman, ayat 13, yang paling banyak diulangi di dalam al-Quran sebanyak 31 kali. “Maka nikmat Tuhanmu yang manakah yang kamu dustakan?”
Saat itu, Iklil menangis. Mula-mula setitik air mata jatuh, dia menahan. Diikuti titisan kedua dan kemudiannya dia tidak mampu. Hari itu dia tidak mampu menahan air mata. Semuanya melepaskan diri, mengalir dan terkena titisan-titisan itu pada al-Quran yang dipegangnya. Al-Quran itu ditutup dan dirapatkan kedadanya. Iklil Bahiyyah menangis. Menangis penuh penyesalan kerana kealpaannya dengan dunia, menangis penuh kesyukuran kerana nikmat Islam yang diberikan Allah sejak lahir, menangis penuh hiba mengenangkan memori yang bakal diulang kembali.
Mengapa, Tuhan?” dia berbisik. Dia tahu soalan sebegitu tidak patut diajukan. Tapi dia tidak dapat menahan diri daripada tetap bertanya.
Tangisannya lama sekali.
Tangisannya senyap sekali.
Kerana tangisan itu lama ditahan.
Dan mulutnya ditekup dengan sebelah tangan, agar tidak kedengaran oleh Amirullah.


*****

No comments:

Post a Comment