Saturday, December 17, 2011

TIGA PULUH

Nadhirah setia di dalam kamarnya menunggu waktu syuruk tiba. Hari itu dia amat mengantuk kerana malam sebelumnya dia sukar melelapkan mata. Dia cuba sedaya upaya untuk tidak tidur selepas Subuh dan mengingatkan diri tentang manfaat berjaga hingga terbitnya matahari. Buku Fiqh Wanita diletakkan di atas meja apabila dia terdengar telefonnya berbunyi tanda masuknya mesej. Dia sedikit keliru tentang siapa yang akan memberikan mesej seawal itu. Jam baru saja menunjukkan pukul 7. Dia menatap telefon bimbit di tangannya dan mengenali nombor yang terpapar lalu membuka mesej tersebut.
Assalamualaikum ya ukhti, 'asif menganggu masa begini. Ana cuma hendak beritahu, abang ana minta untuk berjumpa Farhan. Sudah ku katakan supaya ditunggu tamatnya graduasi, namun dia tetap bertegas. Hanya Allah mengetahui apa yang direncanakan, ana hanya menurut. InsyaAllah, kalau Farhan tidak sibuk, ana harap Cahaya boleh sampaikan padanya. Abang ingin berjumpa akhir minggu ini, insyaAllah. -Iklil Bahiyyah-”
Nadhirah terpaku. Dia beristighfar. Dalam fikirannya ligat bertanya, mengapa Amirullah ingin berjumpa Farhan secepat mungkin. Lalu dia tersenyum sendiri, 'Amirullah memang begitu,' fikirnya. Dia mengalihkan pandangan ke luar tingkap dan dihadapannya cahaya matahari terbit terbias di sebalik awan. Sudah lama dia tidak melawat Singapura sejak beberapa tahun yang lepas. Hatinya masih tidak terubat namun dia tahu itu ketentuan Allah. Nadhirah sering mengingatkan dirinya, setiap apa yang berlaku pasti ada hikmahnya. Cuba bezanya, hikmah itu akan disedari lambat atau cepat, bergantung kepada saatnya manusia itu akan bermuhasabah diri.
Perlahan-lahan Nadhirah menaip kembali mesej balasan, mengatakan kesudiannya menyampaikan hal tersebut kepada Farhan. Saat itu juga dia menaip mesej baru dan menghantarkannya kepada Farhan. Dia tidak suka mengangguhkan kerja.
Setelah berpuas hati, dia berjalan menuju ke meja solek dan membuka laci di bahagian kanan. Laci itu kosong melainkan hanya terdapat di dalamnya sebuah kotak kecil baldu berwarna biru tua. Dia mengambil kotak itu lalu duduk di atas katil. Kotak itu dibuka dan dipandangannya kini sebentuk cincin emas belah rotan. Cincin itu biasa saja pada pandangan ramai namun bagi Nadhirah, cincin itu pernah menjadi impiannya dahulu, untuk disarungkan di jarinya. Cincin itulah, yang telah dipilih oleh Amirullah untuknya satu ketika dahulu.
Nadhirah menutup kembali kotak tersebut dan meletakkannya di tempat asal. Dia tidak mahu lagi menangis, kerana tangisan itu akan menjadi sia-sia. Dia membiarkan memori itu, hanya menjadi memori dan bukanlah halangan.

No comments:

Post a Comment