Saturday, December 31, 2011

TIGA PULUH LAPAN


Kediaman Qaiser pada malam itu sepi seperti biasa. Namun, kali ini, semua pembantu rumah masih berada di situ. Tidak kembali ke kediaman masing-masing. Nadhirah telah meminta mereka tunggu seketika kerana dia mahu berbincang tentang lamaran Amirullah. Mereka semua baru sahaja selesai solat Isya' berjemaah dan sedang berehat di ruang tamu.
Pak Cik Zahid, Pak Hasan, Mak Cik Maimunah dan Mak Cik Embun, Cahaya hendak membicarakan sesuatu,” kata Nadhirah memulakan bicara. Keempat-empat mereka sangat dihormati oleh Qaiser dan Nadhirah. Mereka semua telah bekerja sejak Nadhirah dilahirkan dan bonda mereka menyambut seruan Illahi. Ayahanda Qaiser dan Nadhirah pula menyusul beberapa tahun kemudian kerana sakit. Qaiser dan Nadhirah telah menganggap mereka sebagai keluarga sendiri.
Cahaya nak cakap tentang mat saleh yang datang rumah tadi ke?” tanya Mak Cik Embun. Nadhirah dan Qaiser tersenyum. Ramai yang salah sangka akan keturunan Amirullah walaupun sebenarnya memang susur galurnya berdarah Inggeris-Melayu. “Mestilah tentang itu, kamu ini pun Embun,” kata Pak Hasan. “Dia datang meminang Cahaya ke?” tanya Pak Cik Zahid pula. Cahaya mengangguk. “Ya, dia datang untuk melamar saya. Sebab itulah, saya hendak bertanya, adakah pak cik dan mak cik restu,” terang Nadhirah. “Bukankah Cahaya masih bersekolah? Muda lagi nak kahwin,” kata Mak Cik Maimunah yang sedari tadi hanya mendengar sahaja.
Ketiga-tiga kepala di sebelahnya mengangguk-angguk. Mereka juga beranggapan Nadhirah masih terlalu muda untuk berkahwin. “InsyaAllah, kalau diikutkan, Cahaya akan bernikah setelah umur Cahaya 18 tahun. Sekarang hanya bertunang sahaja. Ini cincin lamaran yang diberikan Amir tadi,” kata Nadhirah sambil meletakkan kotak baldu bersaiz kecil yang berwarna biru tua di atas meja. Pak Cik Zahid mengambil kotak itu lalu dibuka. “Maksudnya dia serius dengan Cahaya...” luah Pak Cik Zahid. “Kalau begitu, pak cik setuju,” tambahnya lagi.
Dia pernah melihat wajah Cahaya?” tanya Mak Cik Embun. Cahaya menggeleng. “Kamu ini Embun, kamu dan aku pun tak pernah tengok wajah dia selepas dia memakai niqab, manakan pula lelaki mat saleh itu,” tingkah Pak Hasan. “Manalah tahu, dia pernah jumpa Cahaya masa Cahaya kecil lagi, tak pakai niqab,” kata Mak Cik Embun mempertahankan diri. Dia teringat pesanan ayahanda Nadhirah. Dia dan Mak Cik Maimunah telah diamanahkan untuk tidak membenarkan seorang pun lelaki melihat wajahnya kecuali Qaiser. Malah wanita juga tidak dibenarkan setelah Nadhirah sudah mampu memahami pemakaian niqab.
Qaiser memandang adiknya. Dia tahu Nadhirah terasa sedikit apabila Pak Hasan mengatakan begitu walaupun dia tahu Pak Hasan tidak berniat apa-apa apabila mengatakannya. Qaiser teringat kembali perbualannya dengan Nadhirah ketika dia mula memakai niqab.

No comments:

Post a Comment