Friday, December 9, 2011

DUA PULUH TIGA


“Hanya Amirullah terselamat, namun kecederaan di bahagian matanya sungguh teruk. Matanya dimasuki kaca, kerana dia yang sedang memandu ketika itu. Kepalanya pula terhentak pada stereng, dia hilang ingatan,” Qaiser menyambung bicara. Sudah lama dia tidak menceritakan hal itu, sudah lama dia cuba melupakan. Masih terbayang di mata saat dia bergegas ke hospital bersama Nadhirah. Nadhirah segera meluru ke arah wad yang menempatkan Amirullah. Iklil bersama dia ketika itu, matanya kelihatan merah dan sembab kerana menangis.
Farhan terkedu, tidak tahu hendak mengatakan apa. Patutlah dia tidak mendengar khabar perkahwinan Nadhirah walaupun pada awalnya sudah diwar-warkan akan berlangsung setelah Nadhirah tamat sekolah menengah. “Amirullah, tidak mengenali anta?” tanya Farhan. Qaiser menggeleng. “Tidak, dia masih mengenalku. Ana bertanya kepada doktor tentang itu. Dia menjelaskan, bahawa Amirullah telah melalui trauma yang sungguh teruk. Dia merasakan dirinya bersalah atas kematian kedua ibu bapanya dan adiknya yang paling kecil, Habibullah. Maka dengan itu, memorinya hanya terhad, saat di mana dia masih bahagia dengan keluarganya. Dia hanya ingat sehingga itu. Apa yang berlaku setelah umurnya melebihi 19 tahun, dia tidak ingat.”
Qaiser menyambung bicara.
Ana mengenali Amirullah sejak sekolah rendah, maka dia ingat akan ana. Tetapi, Cahaya,” Qaiser menarik nafas panjang. “Cahaya mengenalinya selepas itu, dia sudah terkeluar dari had ingatannya. Begitu juga dengan rakan barunya. Hanya kenalan lama saja masih kukuh, yang lain pergi setelah mengetahui keadaannya begitu,” jelas Qaiser.
Anterograde amnesia, selective memory loss,” bisik Farhan kepada diri sendiri. Selama beberapa minit dia begitu. Dia bukan seorang doktor, tetapi pengetahuannya sudah memadai untuk dia memahami betapa serius trauma yang dihadapi Amirullah selepas kemalangan itu.
Azan Asar berkumandang, keduanya terdiam. Qaiser memandang Farhan, “Marilah ke masijid,” ajaknya. Farhan menangguk. Dia tidak tahu apa, atau bagaimana untuk dia berkata-kata. Dia tiada di tempat Amirullah, tidak juga berada di tempat Qaiser. Malahan dia jauh dari Malaysia, ketika semua itu berlaku. 'Tuhan, adakah ini ujian untukku?' bisik hatinya. Mereka berdua menaiki kereta Farhan, lalu menuju ke masjid. Di tingkat dua, Nadhirah hanya memandang sepi kereta yang berlalu pergi itu. Air matanya masih tidak kering. Dia beristighfar, lalu menuju ke bilik air untuk mengambil wudhu'.

No comments:

Post a Comment