Tuesday, December 20, 2011

TIGA PULUH DUA


Farhan menjengahkan kepala ke dalam rumah. “Assalamualaikum,” diulangi salamnya buat kali ke tiga. Dia masih berdiri di hadapan pintu, tidak mahu masuk tanpa mendapat izin. 'Di mana pula Qaiser?' bisik hatinya. Dia mengeluarkan telefon bimbit dari saku seluarnya lalu mula mendail nombor Qaiser. Beberapa saat kemudian kedengaran suara Qaiser memberi salam apabila talian disambungkan. Farhan membalas salam lalu menyatakan kehadirannya di hadapan kediaman Qaiser.
Anta di rumah ana?” tanya Qaiser. Dia mula melangkah keluar dari ruang dapur menghala ke pintu utama. Dilihatnya dari tingkap dan kelihatan kereta Farhan diparkir di hadapan rumah. Dia membuka pintu dan ternyata Farhan dihadapannya kini. Kedua-duanya tersenyum dan telefon masing-masing kembali disimpan. “Sobahul khair,” sapa Qaiser lalu menghulurkan tangan dan menyalam Farhan. “Sobahun nur, ya akhi,” balas Farhan.
Masuklah,” pelawa Qaiser. Mereka berdua memasuki ruang tamu dan terus menghala ke ruang makan. “Anta dah sarapan?” tanya Qaiser. “Belum,” balas Farhan sambil menggelengkan kepala. Dia masih tidak menjamah apa-apa sejak menerima mesej daripada Nadhirah. “Cahaya di mana?” tanya Farhan. Dia duduk di sebelah Qaiser. “Cahaya baru sahaja lepas membuat donat. InsyaAllah, sekejap lagi dia hidangkan. Ana sudah maklumkan anta ada di sini,” balas Qaiser. Buat seketika mereka berbual tentang prestasi pelajar di QU. Farhan menyatakan bahawa dia sudah selesai menanda kertas jawapan dan sudah menghantar gred pelajar ke Bahagian Akademik untuk direkodkan. Slip graduasi pula akan siap seminggu selepasnya dan graduasi pula akan dilangsungkan hujung minggu berikutnya dengan izin Allah. Qaiser mendengar dengan khusyu'.
Perbualan mereka terhenti apabila Nadhirah keluar membawa talam berisi pinggan yang dipenuhi donat dan dua gelas air minuman. Nadhirah mengambil tempat duduk di hadapan abangnya. “Makanlah dulu,” jemput Qaiser. Farhan hanya mengangguk dan mula menjamah makanan yang terhidang. Sememangnya dia tahu Nadhirah suka memasak walaupun tidak kuat makan.
Setelah bersarapan, mereka berpindah ke ruang tamu. “Amirullah nak jumpa ana,” kata Farhan walaupun dia mengetahui Qaiser tahu akan perakara itu. Qaiser memandang Farhan. “Anta risau?” tanya Qaiser. Farhan menggelengkan kepala. “Bagaimana dengan Iklil? Sedangkan dia sendiri minta ditangguhkan apa-apa selepas graduasi,” balas Farhan. Qaiser tersenyum mendengar. “InsyaAllah, ana rasa tidak ada bezanya jika berjumpa Amirullah sebelum atau selepas graduasi. Pergilah ke Singapura, ana temankan,” ujar Qaiser. Riak Farhan berubah daripada tegang kepada lega. “Syukran ya akhi, ana akan tempahkan tiket kapal terbang untuk kita,” kata Farhan. Dia menoleh ke arah dapur. “Adakah Cahaya akan ikut?” sambungnya. “Ya, insyaAllah,” balas Qaiser pendek.

No comments:

Post a Comment