Friday, December 16, 2011

DUA PULUH SEMBILAN


Usai solat Isya' berjemaah di masjid dan menunaikan solat sunat rawatib, Amirullah bertadarus al-Quran bersama Iklil. Amirullah bersyukur kerana ummi dan abi telah menghantar dia ke ma'had tahfiz sedari dia sekolah rendah lagi. Dia telah menghafaz hampir keseluruhan al-Quran sebelum dia ditakdirkan menjadi buta. Walaupun hatinya hancur ketika itu, Iklil telah banyak membantu dengan memperdengarkan bacaan al-Quran dan dia menghafaznya begitu. Setahun setelah kemalangan itu berlaku, dia telah menjadi Hamlatul Quran. Teringat dia saat hafalannya di uji di hadapan saudara-maranya yang lain. Dia tidak dapat melihat, tapi dia mampu mendengar tangisan manusia apabila dia berjaya menghabiskan 30 juz dalam masa jam tanpa bantuan.
Setiap hari dia mengulang bacaannya, diajar oleh gurunya untuk sekurang-kurangnya mengulang khatam al-Quran seminggu sekali. Selalunya dia bertemankan ma'mum yang sudi memperdengarkan bacaannya, dan kadang-kala dia mengaji diiringi rakaman.
Amirullah mula membaca surah al-Kahfi dengan tartil.
Setelah tamat, Iklil pula membaca surah an-Nisa' dengan tadwir.
Mereka berdua berehat di ruang tamu sejam kemudian. Kedua-duanya menyepikan diri. “Qaiser ada menyatakan pendapatnya tentang pernikahan kamu?” tanya Amirullah memulakan bicara. Iklil memandang abangnya. “Tidak, adik tidak berkesempatan bertemu Qaiser. Ketika itu sedang musim peperiksaan, kami berdua sama-sama sibuk dengan hal masing-masing,” jawab Iklil lalu menundukkan kepala. “Maka pasti dia menyetujui. Diam itu tandanya setuju. Qaiser pasti tahu tentang lamaran itu, dan jika dia tidak menghalang, maka baiklah bagi pendapatnya. Adik sudah istikharah?” tanya Amirullah.
Iklil menganggukkan kepala. “Sudah, abang,” jawabnya jujur. “Dan kamu sudah solat hajat 12 rakaat sebelumnya?” tanya Amirullah lagi. “Sudah, abang,” Iklil menjawab dengan soalan yang sama. “Farhan itu jodohku, insyaAllah,” sambung Iklil. Amirullah menarik nafas panjang tatkala mendengar jawapan itu. Iklil Bahiyyah sudah mendapat petunjuk dan dia yakin akan petunjuk itu kerana Iklil tidak akan serius melakukan sesuatu tanpa kepercayaan yang kukuh.
Jikalau begitu, tiada apa lagi boleh abang katakan. Mintalah Farhan itu berjumpa abang bersama keluarganya. Segalanya akan diperbincangkan. InsyaAllah, pernikahanmu dipermudahkan,” kata Amirullah. Dia sedar, perkahwinan Iklil akan dianggap langkah bendul oleh sesetengah pihak. Namun, apa yang mampu dia lakukan. Dirinya buta, tidak akan ada yang terpikat. InsyaAllah, jodoh itu ada namun dia membuat keputusan untuk membiarkan Iklil berkahwin dahulu daripadanya.

No comments:

Post a Comment