Tuesday, December 27, 2011

TIGA PULUH EMPAT


Kisah Amirullah dan Nadhirah, 7 tahun lalu.

“Nadhirah,” jerit seorang wanita berpakaian baju kurung merah dan bertudung labuh. Lagaknya seperti seorang guru disiplin sambil memegang rotan, dia memanggil-manggil nama tersebut. “Nadhirah,” ulangnya. Kali ini sahutannya bersahut. “Ya, cikgu,” balas Nadhirah. Dia memasuki kelas dan berhadapan dengan guru kelasnya itu. “Kenapa ya cikgu?” tanya Nadhirah. Dia sedang berborak dengan rakannya di koridor ketika dia mendengar namanya dipanggil. “Itu, kamu tengok apa yang ada di situ,” kata Puan Juliana sambil rotannya dihalakan ke luar tingkap di tepi kelas.
Nadhirah melangkah mendekati tingkap kelas. Kelasnya menghadap padang sekolah. Tidak semena-mena semua rakan kelasnya mengintai ke luar tingkap dan tergelak. Dia terkejut, tidak percaya dengan apa yang dilihatnya. Padang sekolah yang hijau sudah diwarnai dengan warna ungu. Apabila diperhatikan, warna-warna itu adalah bunga yang telah disusun rapi. Kelihatan beberapa orang lelaki masih sibuk menyusun bunga-bunga tersebut di tengah padang. “Kamu cuba baca apa yang pekerja-pekerja itu cuba buat,” kata Puan Juliana tegas.
C-A-H-A-Y-A,” balas Nadhirah. Walaupun huruf A yang terakhir masih dalam pembikinan, dia masih mampu membaca huruf-huruf tersebut. “Itu nama panggilan kamu bukan?” tanya Puan Juliana. Nadhirah mengangguk. “Takkan abang yang buat?” bisiknya sendiri. Puan Juliana mendengus kecil. “Saya tak kira, tak tambah, tak tolak, tak bahagi. Saya nak bunga-bunga itu dialihkan sebelum tamat sesi persekolahan. Saya benarkan kamu keluar kelas sekarang sampailah hal ini diselesaikan,” arah Puan Juliana. Muka anak muridnya itu dipandang, walaupun tidak kelihatan di sebalik niqab. Nadhirah adalah satu-satunya murid yang tidak pernah dia melihat mukanya.
Nadhirah sekadar mengangguk dan keluar daripada kelas. Uniform sekolahnya berwarna ungu kerana dia adalah pengawas. Niqabnya yang berwarna ungu juga dibuai-buai angin tika dia mempercepatkan langkah menuju ke padang. Sudah kelihatan beberapa orang guru yang mengintai untuk melihat apa yang berlaku. Tidak kurang juga rakan-rakannya yang tersenyum-senyum apabila dia melintasi kelas mereka.
Siapalah punya kerja ni,” gumamnya sendiri.
Dia sampai di padang, semua pekerja yang tadinya sibuk menyusun bunga sedang berehat di pondok. Mereka ternampak dia dan menunjukkan jari telunjuk ke arah kanan. Nadhirah melihat apa yang dimaksudkan mereka. Seorang lelaki, berpakaian kemeja putih dan seluar hitam sedang berdiri membelakangi dia. Nadhirah melangkah menghampiri.

No comments:

Post a Comment