Friday, December 2, 2011

DUA PULUH DUA


Farhan mengangkat muka, air mukanya menampakkan riak terkejut. “Jadi... dia tiada wali?” tanya Farhan. Suaranya sedikit bergetar. Qaiser menggelengkan kepala. “Ada, namun walinya di Singapura. Seorang imam di sebuah masjid di sana. Abangnya Iklil Bahiyyah, dan namanya,” Qaiser terhenti. Dia memandang Nadhirah, namun Nadhirah segera mengalihkan muka. Tidak disedari air mata yang bertakung, menahan sebak. “Namanya Muhammad Amirullah,” sambung Qaiser.
Amirullah?” Farhan sedikit terkejut. Dia berfikir seketika, mengenangkan kembali di mana dia pernah mendengar nama itu. Nama yang jarang sekali didengar, tapi dia pasti pernah diperkatakan oleh sesiapa kepadanya. Allah mengembalikan ingatannya, maka dia bertanya, “Amirullah yang pernah melamar Cahaya?” Nadhirah tidak dapat menahan tangis. Dia segera berlalu pergi. Seketika kemudian, terdengar bunyi pintu ditutup rapat di tingkat dua. Qaiser beristighfar. Dia tidak mahu mengeluh.
Sekali lagi minda Farhan diterjah beribu persoalan. “Apakah yang telah berlaku dan ana tidak mengetahui akannya?” tanya Farhan kepada Qaiser. Qaiser tersenyum pahit. Di matanya terpancar keresahan yang nyata, atau pun mungkin kesedihan yang menyakitkan jiwa. Dia berkata,
Benar, Amirullah abangnya Iklil Bahiyyah, adalah Amirullah yang melamar Nadhirah setelah dia tamat sekolah menengah dahulu. Dialah yang telah mengejutkan keluarganya, kerana Nadhirah baru sahaja belasan tahun. Malah Amirullah juga begitu. Baru sahaja 20 tahun, tapi sudah berniat untuk mendirikan rumah tangga. Ana tidak menghalang, kerana perkahwinan itu satu sunnah. Namun, manusia hanya merancang dan Allah menentukan. 6 tahun yang lalu, beberapa bulan sebelum QU dirasmikan, ketika itu Amirullah datang kepadaku, meminta izinku. Sungguh, ana tidak tahu mengapa, apakah tujuannya. Dia hanya memaklumkan, hasratnya ditentang keluarga, maka dia mahu membawa hati yang lara. Dia mahu berhijrah ke Turki, kerana dia tahu sekurang-kurangnya Dhamiri berada di situ.”
Farhan memotong penerangan Qaiser dengan pertanyaan, “Apa maksudmu, keluarganya menentang? Ketika itu dia masih mempunyai keluarga?”
Di saat itu hati Qaiser hampir berkecai sekali lagi setelah bertahun lamanya. “Benar,” katanya. “Keluarganya masih hidup lagi ketika itu. Sehinggalah satu kemalangan yang meragut segala kebahagian mereka, termasuk nyawa, telah berlaku.”

1 comment: